KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, April 06, 2008

PAS Sokong LANGKAH PRO AKTIF Kerajaan Selangor Terhadap SETINGGAN!

Sikap prihatin Kerajaan Selangor terhadap masa depan nasib peneroka bandar juga amat disanjung tinggi sebagai sebuah kerajaan berkebajikan.

By TARMIZI MOHD JAM

LAJNAH Hal Ehwal Pekerja & Peneroka Bandar PAS Pusat menyokong penuh langkah Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar barunya, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengurangkan bilangan setinggan di negeri ini sekaligus membebaskan mereka (peneroka bandar) daripada kitaran kemiskinan dan menjamin hak asasi rakyat untuk mendapat tempat kediaman yang selesa.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusinya, Haji Anuar Tahir kepada media hari ini.

Katanya, PAS menyedari Selangor merupakan negeri yang pesat membangun, maju dan rakyatnya perlu memperolehi rumah mampu milik.

Beliau amat berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Selangor yang berjanji tidak akan menangani isu “setinggan” sama seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dengan polisi setinggan sifar yang menekan dan menindas peneroka bandar terbabit.

Sebaliknya, ujar Anuar yang juga AJK PAS Pusat, langkah Kerajaan Selangor yang terus menekankan hak perumahan untuk semua amat dialu-alukan dengan menentukan perumahan kos rendah mencapai spesifikasi minima yang lebih baik dan kondusif.

PAS juga menyokong penuh dengan cadangan garis panduan baru yang akan diwujudkan untuk menentukan hak dan kebajikan setinggan dipertahankan pada setiap masa.

Tambahnya, sikap prihatin Kerajaan Selangor terhadap masa depan nasib peneroka bandar juga amat disanjung tinggi sebagai sebuah kerajaan berkebajikan.

"Usaha mengeluarkan mereka dari kawasan setinggan untuk memberi anak-anak mereka masa depan yang lebih baik disamping untuk menjaga kepentingan hak kepada pemilik harta (property rights) dalam kawasan yang didiami setinggan tersebut, sangat dialu-alukan demi untuk kebaikan semua pihak," tegas Anuar.

PAS juga menyokong penuh cadangan Kerajaan Selangor yang akan memperkenalkan proses rundingan dengan semua pihak terbabit, termasuk badan-badan bukan kerajaan dan sektor korporat untuk memastikan semua pihak dapat memberi input dan mendapat maklumat yang sahih mengenai rancangan kerajaan.

Kepekaan Kerajaan Selangor, kata Anuar lagi, untuk tidak meneruskan kesilapan dan kezaliman dengan penguatkuasaan berat sebelah bagi mengisi kepentingan syarikat-syarikat kroni dalam menyelesaikan isu pekerja asing dan setinggan, amat diharapkan oleh rakyat.

PAS menyokong penuh inisiatif Menteri Besar, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengambil pendekatan baru mengikut proses yang sah dengan cara berimbang terhadap implikasi sosial dan komersial untuk pembangunan Selangor.

Tiada ulasan: