KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 31, 2008

Muzakarah: PAS tidak sekali-kali masuk BN - Nasharuddin Mat Isa


Bermula interbiu Presiden PAS dan kemudian pendedahan Perdana Menteri tentang adanya pertemuan Umno-PAS dan diperakui oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Ia telah menimbulkan kekeliruan dan pro-kontra bukan sahaja di kalangan ahli PAS tetapi para penyokong Pakatan Rakyat. Bagi menjelaskan keserabutan itu, Harakah sempat mengejar Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dicelah kesibukan Sidang Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan lanjut. Ikuti interbiu eksklusif saya, TARMIZI MOHD JAM dan wartawan Harakah, ROY RASUL serta pemberita pelatih, NUHA RAHIM bersama beliau di lobi Parlimen baru-baru ini.

Harakah: Perdana Menteri telah mendedahkan tentang adanya pertemuan Umno-PAS baru-baru ini dan ia telah diperakui oleh Presiden, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang. Macam mana kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat apabila isu muzakarah ini sudahpun diketahui umum.

Nasharuddin: Namanya pun muzakarah. Bukan untuk membuat sebarang keputusan. Tidak ada apa-apa keputusan dibuat dalam muzakarah ini. Mengapa pula timbul persoalan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat? Sebab sebagaimana disebut Presiden PAS, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, tak ada siapapun yang boleh menghalang hasrat PAS untuk berbincang dengan sesiapapun termasuk Umno. Soal kedudukan PAS dalam Pakatan tidak berbangkit. Kita masih mengekalkan peranan kita dalam Pakatan. Kita masih bergerak di atas Pakatan itu. Cuma, kita juga tidak dapat menafikan ada timbul sedikit isu-isu yang bagi saya, ramai orang tahu yang melibatkan pentadbiran di negeri-negeri khasnya negeri Selangor dan sebagainya yang sekarang ini dalam proses untuk diperbaiki.

Maksudnya tiada sebarang keputusan dicapai…

Kita bermuzakarah bukan untuk membuat keputusan. Sebarang keputusan mesti dirujuk semula kepada parti. Soalan saya, salahkah kita untuk berbincang dengan sesiapa saja? Kalau kita salah, maknanya duduk dalam Pakatan Rakyat pun tidak boleh. Itupun salah! Kerana duduk dalam Pakatan Rakyat melibatkan perbincangan, melibatkan muzakarah. Jadi persoalan saya ialah salahkah kita berbincang atau muzakarah? Jika salah kita berbincang, maknanya kita terus tutup dan tidak boleh bertemu dengan sesiapa. Isu yang timbul ialah ahli-ahli dan semua pihak patut faham iaitu muzakarah dengan Umno ini bukan untuk membuat keputusan. Ia hanya perbincangan.

Sekarang telah heboh diperkatakan tentang muzakarah Umno-PAS ini. Macam mana perkembangannya setakat ini…

Kita tidak menafikan memang ada pertemuan dengan Umno. Ia telah diperakui oleh Dato’ Seri Presiden dalam kenyataannya. Semua pertemuan dilaporkan ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura. Apa yang lebih penting sekali adalah mandat telah diberikan dan keputusan dipersetujui sebulat suara di peringkat Majlis Syura Ulama supaya kita membuat dan melangsungkan perbincangan dengan sesiapa saja. Mandat telah diberikan kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung untuk terlibat dalam muzakarah itu.

Nama Ustaz banyak dikaitkan dengan pertemuan ini…

Sebabnya saya banyak terlibat dan mandat diberikan kepada saya selaku Timbalan Presiden. Saya menjalankan amanah sebagai ahli yang diberi mandat oleh Majlis Syura. Saya tidak boleh buat sebarang keputusan. Keputusan kena balik semula kepada parti. Kalau keputusan Majlis Syura itu sudah dipertikaikan, ini menimbulkan banyak persoalan juga. Kenapa dipertikaikan keputusan Majlis Syura itu?

Tapi, Musyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dalam kenyataan terbarunya mahu usaha muzakarah dihentikan.

Saya berpegang kepada apa yang Dato’ Seri Presiden PAS sebut dalam intrebiunya di Harakah dan beberapa kenyataan media sebelum ini. Pertamanya, ini adalah keputusan Majlis Syura Ulama. Keduanya, kita bersedia untuk melanjutkan muzakarah dengan sesiapa saja termasuklah Umno.

Mungkin satu penjelasan patut diberikan berhubung kenyataan Presiden PAS sebelum meninggalkan Institut Jantung Negara (IJN), tentang mengadakan pertemuan dengan Umno bagi membincangkan isu-isu Melayu dan Islam…

Bagi saya ini bukan satu kenyataan yang baru daripada Presiden PAS atau dari parti kerana sebelum daripada ini pun telah ada perjumpaan-perjumpaan sedemikian dan saya merasakan Presiden menyebut kenyataan itu berdasarkan landskap politik Malaysia yang semakin aktif dan semakin banyak berlaku perubahan.Bagi saya, Presiden sudah pasti mengamati perkembangan suasana yang berlaku dalam negara kita dan beliau melihat bahawa isu ini perlu diketengahkan. Atas sebab dasar PAS itu sendiri yang merupakan Islam dan menjadi dasar yang akan terus kita pertahankan. Apa saja usul ke arah memperkukuhkan dasar itu, bagi saya perlu dipertingkatkan. Termasuklah dengan mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan sesiapa saja. Termasuk dengan Umno.

Tadi Ustaz sebut dapat mandat dari parti, bukan peribadi… Macam mana idea ini boleh timbul?

Dalam beberapa majlis saya menyebut bahawa sebenarnya Majlis Syura Ulama yang bersidang pada 23 April (2008) lepas telah membincangkan perkara ini. Hasil daripada kertas kerja yang dibentang oleh Al-Fadhil Dato' Dr Harun Din (Timbalan Mursyidul Am PAS) yang bertajuk Tahaluf Siasi: Pasca Pilihan Raya Umum ke 12. Pada mesyuarat tersebut telah dibincangkan beberapa perkara yang berkaitan tahaluf siasi dan masa depan politik serta peranan PAS yang menyangkut tentang masa depan Islam, umat Islam dan orang Melayu.
Dalam mesyuarat tersebut telah capai satu keputusan dan saya bacakan di sini keputusan itu berbunyi: “Majlis Syura Ulama yang bersidang pada 23 April 2008 mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti, bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malysia berlandaskan Islam”.
Jadi mandat diberikan Majlis Syura Ulama, institusi tertinggi di dalam parti dan di dalam Mesyuarat Majlis Syura yang terakhir, bukan saja perkara ini dipertegaskan kembali tetapi juga dikembangkan untuk membuat apa yang kita sebut “explorasi” (penerokaan) kepada pekembangan ini dengan mempertegaskan lagi keputusan ini. Jadi, ini merupakan satu mandat yang diberikan Majlis Syura Ulama kepada individu-individu yang telah disebut tadi. Dan saya memang tidak menafikan berlaku pertemuan-pertemuan dan perbincangan-perbincangan yang bagi saya normal. Orang berbincang di lobi parlimen dan sebagainya serta tempat-tempat lain untuk mulakan bincang isu ini.

Kita lihat keputusan Majlis Syura ini agak kontroversi jadi bagaimana PAS melihat isu ini. Tidakkah ia boleh menggoncang parti. Sebab kita tengok penerimaan akar umbi…

Saya tidak nampak kontraversi tentang keputusan ini kerana pada peringkat ini apa yang diputuskan adalah mandat diberikan untuk membuat explorasi. Bukan mandat diberikan untuk membuat keputusan. Ini kerana struktur di dalam parti kita, muktamar merupakan kata putus kepada perkara-perkara dasar yang hendak dibuat. Majlis Syura memberikan semacam satu ‘lesen’ untuk kita membuat explorasi itu dan ia sekarang sedang berjalan.Kita lihat pula selepas saja Presiden PAS membuat kenyataan dalam Harakah baru-baru ini tentang suasana politik terkini, hubungan dengan PAS dengan Pakatan Rakyat dan lain-lain, maka dengan ini timbul reaksi yang cukup positif.
Saya lihat sendiri kenyataan bertulis yang keluar dari Dewan Muslimat, Dewan Ulama dan beberapa pemimpin pemuda malah mewakili Dewan Pemuda beberapa buah negeri. Maklumat dan apa yang saya dengar diperingkat bawah (akar umbi), mereka memberi respon yang cukup positif tapi sudah pastilah ia memerlukan sedikit masa lagi untuk dibuat penerangan sebab perkara ini baru. Saya juga menerima respon cukup baik dan banyak daripada orang yang bukan ahli PAS.
Daripada golongan korporat, daripada pegawai-pegawai kerajaan, daripada orang-orang Umno dan pemimpin-pemimpin Umno yang menyatakan seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah suratkhabar berbahasa Inggeris baru-baru ini, PAS merupakan ‘king maker’ dalam konteks politik. Isu ini bukan hanya sekadar politik 'for sale'. Isu yang ada di hadapan kita adalah tentang suasana masa depan Islam, orang Islam dan secara keseluruhannya di Malaysia ini.

Sebelum inipun, Musryidul Am PAS, nampaknya mengenakan syarat untuk mengadakan muzakarah itu. Mesti dengan Umno bukan dengan Perdana Menteri semata-mata. Itu peribadi, katanya. Boleh Ustaz jelaskan sedikit.

Saya bersetuju dengan kenyataan Yang Amat Berhormat Tok Guru. Ini kerana kita lihat bagaimana Tok Guru mencadangkan supaya benda ini sepatutnya datang dari bottom-up daripada bawah ke atas. Tapi, sudah tentulah sebagai pemimpin, bagi saya, pemimpin yang mencetuskan pandangan ini. Kita lihat bila saja Presiden PAS mencetuskannya, kita menerima respon yang cukup baik daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kita lihat, sudah banyak pihak mula respon. Jadi sudah ada. Isunya sekarang sudah ada maklum balas yang menampakkan satu perkara yang cukup positif untuk kebaikan negara. Saya melihat isu ini adalah untuk kebaikan agama, kebaikan Islam dan kebaikan negara.

Dari segi semangatnya, apa yang PAS harapkan selepas pertemuan atau muzakarah ini…

Seperti mana yang saya sebut tadi, peringkat sekarang masih lagi peringkat explorasi. Kita lihat, kita risik, kita bincang. Belum ada lagi sesuatu yang bersifat, keputusan. Bagi saya, apa yang kita harapkan sudah tentu sesuatu yang baik untuk Islam. Jadi, bagi saya sesuatu yang baik untuk Islam itu harus dijadikan asas kepada pertemuan ini agar ia menguntungkan Islam, umat Islam dan perjuangan kita. Itu yang menjadi asas.
Maknanya, kalau sesuatu yang baik untuk Islam itu tidak kita ambil peluangnya maka kita mungkin melalaikan tanggungjawab kita. Perjuangan kita selama ini, sejak tahun 1951 ditubuhkan, kita perjuangan Islam dan menggunakan politik sebagai salah satu wadah kita. Sekarang ini dengan suasana dan keadaan yang ada, kalau ini merupakan sesuatu yang baik untuk Islam, bagi saya kenapa tidak?
Tapi dengan jelas isunya bukan masuk Umno, isunya bukan masuk Barisan Nasional dan kita adalah sebuah parti yang punya kewibawaan kita sendiri. Kita ada atlamat perjuangan kita sendiri. Islam tetap menjadi dasar kita, asas perjuangan kita dan sudah tentulah pintu yang ada di hadapan kita terbuka luas untuk kita melihat sesuatu yang baik untuk perjuangan dalam parti kita.

Tadi Ustaz sebut bukan masuk BN. Bukan masuk Umno. Tetapi yang selalu dibangkitkan soal ‘bimbang’. Cerita 'pembulian' BN ketika PAS dalam komponen itu dulu, cukup menakutkan. Itu dalam konteks kerjasama. Kali ini muzakarah. Boleh Ustaz komen tentang rasa ‘bimbang’ yang dicetuskan banyak pihak ini.

Kalau menafikan ataupun menidakkan ruang untuk bermuzakarah dan berbincang ini, bagi saya itu bercanggah dengan dasar Islam itu sendiri. Kalau kita lihat dalam Al-Quran dan sejarah perjuangan para anbiya' dan hatta Firaun yang toghut itu pun, diperintahkan Allah SWT, nabinya sendiri untuk pergi berbincang dengan Firaun dan Nabi tidak pernah dalam kontek Rasulullah SAW menutup pintu hiwar. Hiwar ini atau perbincangan dengan sesiapa saja, perbicangan dengan musuh, dengan masyarakat, dengan ahli dan sebagainya. Saya melihat pintu ini tidak boleh ditutup. Kita mestilah membuka ruang yang luas untuk berbincang. Cuma kita kena jelas pendirian kita, kita kena jelas pendirian kita.

Kenyataan Presiden PAS dalam wawancara Harakah baru-baru ini telah menimbulkan pro dan kontra. Bagaimana Ustaz melihat beberapa isu yang ditimbulkan itu?

Bagi saya ini adalah sesuatu yang positif. Pro dan kontra biasa. Kitasebuah harakah ummah, sebuah harakah yang didokong oleh massa yang berbagai-bagai. Ini tanda kematangan. Cuma satu konsep yang perlu saya peringatkan kepada ahli kita, juga ada dalam parti dididik dengan konsep as-samu'ah wa ta’ah, yakni ketaatan, apa yang disebut sebagai wala' dalam keputusan yang dibuat oleh pimpinan dan sudah tentulah konsep wala' ini benda yang telah menjadi sesuatu yang telah dididik kepada ahli-ahli PAS. Kita tidak membuat sesuatu itu mengikut kehendak peribadi.
Dan kita lihat Tok Guru (Tuan Guru Abd Hadi Awang) membuat kenyataan ini bukan untuk peribadi beliau. Ini adalah untuk maslahah ummah. Dan bila kita sebut konsep maslahah, maslahah ammah, maslahah umum, hendaklah didahulukan daripada maslahah... maslahah individu. Ini maslahah untuk ummah, maslahah untuk agama, maslahah untuk negara yang saya lihat dalam senario politik masa sekarang ini sudah semacam sedikit perlu kita membuat satu tindakan dan langkah yang bijak untuk memastikan kesinambungan Islam dan ummat Islam.

Respon kepimpinan lain dan juga akar umbi…

Telah saya sebutkan tadi, kita lihat banyak kenyataan yang telahkeluar dari dewan-dewan. Misalnya Dewan Muslimat, Dewan Ulama'. Bagi saya, bila telah ada arahan daripada Majlis Syura yang menjadi sebagai badan tertinggi parti, itu adalah sesuatu penting. Respon daripada pimpinan sudah tentulah pelbagai. Kita sentiasa mengadakan perbincangan-perbincangan. Ini sudah tentu akan menghasilkan berbagai pendekatan, berbagai pandangan. Bagi saya, itu adalah sesuatu yang normal, nanti parti akan memutuskan, insya Allah.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

I'm thankful with your blog it is very useful to me.

Tanpa Nama berkata...

that's way too cool.