KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 31, 2008

PAS tolak bentuk kerajaan Pusat dan negeri bersama Umno dan BN - Abdul Hadi


PETANG tadi, saya bergegas ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur untuk bertemu Naib Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu. Semalam, saya sudah mengadakan temujanji.

Dari pagi hingga jam 3 petang, berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat secara bersama dengan Majlis Syura Ulama di ibu pejabat PAS itu. Ada isu yang mahu diselesaikan.

Saya tiba ketika ramai wartawan media tempatan berasak-asak di tingkat empat Pejabat Agung parti itu, menunggu kemunculan Presiden PAS, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk mengadakan sidang media.

Sidang ini begitu ditunggu-tunggu kerana nilainya agak tinggi. Mesyuarat yang berlangsung selama lima jam pada sebelah pagi hingga ke petang, tentu mengandungi seribu makna untuk dikutip dan dimuatkan ke perut media.

Saya berselisih jalan, dengan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di pintu utama tingkat empat itu. Beliau turun, meninggalkan tapak sidang media. Saya menyapanya, begitu juga Roy Rasul, wartawan Harakah.

Bersama Presiden, hanya Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh. Setelah hampir 10 minit sesi jurugambar merakamkan gambar Presiden, barulah Kamaruddin membuka mulut dan Haji Abdul Hadi membacakan kenyataan media yang telah disediakan.

Seperti yang telah diduga oleh saya, PAS menolak mengadakan sebarang rundingan (kerjasama) dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat ataupun negeri.

Haji Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit. Inilah ketegasan terbaru PAS berhubung isu "muzakarah Umno-PAS" yang dilihat sebagai rundingan untuk bekerjasama dalam permainan kuasa.

"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat," tegasnya.

Pada masa yang sama, PAS mengulangi pendiriannya untuk terus kekal bersama Pakatan Rakyat dan akan memainkan peranan aktif dan positif termasuk perjuangan bersama untuk membuat perubahan.

Tiada ulasan: