KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 10, 2008

Adakah ini strategi Najib Tun Razak untuk ambil-alih "Rumah Putih" Putrajaya?

Mahfuz turut mendedahkan sudah terdapat usaha-usaha Najib untuk menumbangkan Pak Lah pada pemilihan Umno Disember ini, berikutan suara akar umbi yang makin jelas menolak kepimpinan Presiden Umno itu...

KETUA Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar mendakwa isu “liwat” yang dihadapkan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan konspirasi yang didalangi oleh kepentingan politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mempastikan perjuangannya untuk mengambil alih 'rumah putih' Putrajaya lancar.

Katanya, isu “liwat” yang diletupkan itu menjadi satu keperluan talian hayat untuk kesinambungan politik Timbalan Presiden Umno itu.

Bagi mempastikan tiada gangguan yang menghalang cita-cita Najib menggantikan Perdana Menteri, tegas beliau, Anwar dan gerakan yang dipeloporinya (Pakatan Rakyat) mesti dinyahkan dari lanskap politik perdana.

“Najib tidak melihat Pak Lah sebagai ancaman dan gangguan. Beliau seorang PM yang cukup lemah. Pak Lah tak dapat dokongan bulat dari bahagian dan akar umbi,” tegas Mahfuz ketika diwawancara oleh Harakah di Pejabat Agung PAS baru-baru ini.

Berdasarkan perkembangan terkini dalam BN, ujar beliau, Najib sebenarnya amat memerlukan talian hayat bagi mempastikan cita-citanya menjadi PM tidak terhalang seperti beberapa Timbalan Perdana Menteri di bawah Tun Mahathir dahulu.

Mahfuz yakin, jika Anwar berjaya menarik lebih ramai ahli-ahli parlimen dari BN menjelang September ini, bukan sahaja Pak Lah yang akan tersingkir tetapi turut menafikan laluan Najib untuk mengisi kerusi Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz turut mendedahkan sudah terdapat usaha-usaha Najib untuk menumbangkan Pak Lah pada pemilihan Umno Disember ini, berikutan suara akar umbi yang makin jelas menolak kepimpinan Presiden Umno itu.

Katanya lagi, orang kanan Pak Lah seperti Muhyiddin Yassin gagal direkrut dan kini punyai hubungan kurang baik menyebabkan calon yang disebut-sebut sebagai TPM sebelum nama Najib dipaksa terima, kini berganding bahu bersama Najib dalam arus pemilihan Umno tidak lama lagi.

Mahfuz turut menyifatkan langkah Pak Lah memilih Syed Hamid Albar, Menteri Keselamatan Dalam Negeri sebagai regunya, suatu yang silap dan akan memudahkan Najib menyingkirnya.

Wawancara penuh Ahli Parlimen Pokok Sena ini boleh diikuti dalam Harakah Bil 1363 (16-31 Julai) yang sudah berada di pasaran ini.

Tiada ulasan: