KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 10, 2008

Tiada siapa boleh sekat PAS berbincang dengan Umno - Haji Hadi Awang

SAYA cukup tertarik dengan pandangan bernas, berani dan cukup berlainan sekali dari biasa yang dilafazkan oleh Presiden PAS, dalam interbiunya dengan Harakah hari ini.

Haji Hadi Awang bertanya, apakah salah PAS mengadakan perbincangan dengan Umno? Pelbagai tohmahan dilemparkan. Sebagai sebuah parti Islam, tegasnya, PAS berhak untuk mengadakan perbincangan dengan sesiapa sahaja atas dasar Islam. PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam untuk seluruh manusia bukan tertumpu hanya kepada ahli PAS semata.

Tambahnya lagi, Nabi Muhammad SAW mengajar bergerak bukan dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara ini. PAS bukan sahaja bertemu raja-raja malah tidak salah juga berjumpa Umno untuk menyampaikan mesej Islam. Jika tidak diketuk pintu hati Umno, bagaimana masej PAS mahu disampaikan?

Katanya Ahli Parlimen Marang itu lagi, PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Pimpinan secara kolektif (tiada siapapun jadi ketua) dalam Pakatan Rakyat telah bersetuju mana-mana parti diizinkan mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN bersama dengan Pakatan. Sudah tentu bukan hak monopoli sesuatu parti. Maka tidak perlu ditimbulkan isu mengapa PAS bertemu Umno.

Beliau menyarankan, dalam konteks ini, sepatutnya tiada siapa boleh melarang untuk PAS bertemu Umno atau sesiapa sahaja. Inilah 'engagement' yang disebut dalam muktamar yang menjadi lambang keterbukaan PAS.

Interbiu panjang Harakah Bil 1363 yang dimuatkan pada muka surat 4 dan 6 itu turut membicarakan beberapa isu sensitif yang cukup dikehendaki oleh akar umbi PAS selama ini. Haji Hadi nampaknya bertegas, tidak berselindung dan mengingatkan banyak pihak termasuk PKR dan DAP tentang kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang tidak seharusnya mengetepikan PAS.

1 ulasan:

Unknown berkata...

apa yang saya nampak yang menentangnya adalah di kalangan ahli PAS sendiri. bagi saya bincang tidak salah, dakwah adalah dituntut. tetapi yang dari soksek-soksek di kampung ahli PAS takut PAS diperangkap!. sebijak-bijak dato' asri (kata orang) pun terjelepuk juga di tangan UMNO!