KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 23, 2008

Benarkah ada tunjuk perasaan depan Pejabat Agung PAS, Jumaat ini?

Majlis Syura Ulama PAS telah memberi mandat kepada Presiden, Timbalan dan Setiausaha Agung PAS untuk merintis muzakarah Umno-PAS yang kini hangat diperkatakan kawan dan lawan...

PENGARAH Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Ishak Surin menghubungi saya tengahari semalam, bertanya dan minta mengesahkan benarkah akan ada tunjuk perasaan membantah muzakarah Umno-PAS selepas solat Jumaat ini di hadapan Pejabat Agung, Jalan Raja Laut?

Tergamam juga saya dibuatnya. Saya juga ada menerima SMS serupa yang memaklumkan tunjuk perasaan itu. Saya difahamkan PAS Kawasan Temerloh akan turun pada hari itu. Tetapi, ia tidak dapat dipastikan. Harap-harap, ada pihak PAS Temerloh yang tampil mengiyakan atau menafikan.

SMS dihantar begini: "Demo menyokong musyidul am dan menentang kerjasama umno-pas: jumaat, 25 ogos, jam 2.30 ptg di hadapan pejabat agung pas, jln raja laut. Datang beramai2." - Inilah SMS demo yang banyak diterima ahli-ahli PAS sekitar Kuala Lumpur.

Tebaran SMSnya kini agak melebar. Untuk menjaring sokongan atau menguji ketahanan. Mereka menyebelahi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang lantang mengkritik muzakarah PAS-Umno ini.

Malah, semalam tokoh ulama PAS itu minta hentikan sahaja muzakarah yang katanya akan menjadikan PAS seperti "kera sumbang" dan memporak-perandakan parti itu. Beberapa kenyataan Tok Guru Nik Aziz begitu popular di kalangan akar umbi berbanding minat serius yang ditunjukkan oleh PAS Pusat untuk terus bermuzakarah dengan musuh utamanya selama ini, Umno.

Saya dimaklumkan ada satu kes di Selayang, ahli PAS "bertumbuk" sesama sendiri kerana pro dan kontra dalam isu ini. Di Batu, mantan YDP, Shamsuddin Yaakob memberitahu saya, seorang aktivis PAS marah-marah dan tidak dapat menerima cadangan PAS nak berbaik-baik dengan Umno. Setelah dipujuk Shamsuddin, beliau tetap degil dan mengancam akan sertai PKR mengikut isterinya.

Ini sekadar gambaran, dalam proses eksplorasi muzakarah PAS-Umno yang sedang berlangsung. Di luar sana, masih ramai lagi yang menyokong langkah muzakarah PAS itu.

Yang pelik, ada juga pemimpin tertinggi PAS yang tidak tahu apa yang sedang melanda akar umbi natijah dari isu muzakarah ini...

Tiada ulasan: