KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 28, 2009

Ahmad Subky Latif syor 4 cara perkemas Kepimpinan Ulama dari dicabar!

Dato' Daud Iraqi menandatangani autograf pada buku "25 Tahun Kempimpinan Ulama" yang dilancarkan sambil diperhati Dato' Dr Haron Din.

EMPAT syor diusulkan bagi menyelesaikan perbezaan pandangan yang timbul antara sesetengah ulama dan tenaga profesional mengenai jawatan-jawatan tertinggi dalam PAS.

Syor tersebut dikemukakan antara pengasas Kepimpinan Ulama, Ahmad Subky Latif ketika membentangkan kertas kerja 'Pengkisahan Sejarah 25 tahun Kepimpinan Ulama' pada sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak 23 Mei lalu.

"Oleh kerana terdapat perbezaan pandangan antara sesetengah daripada kedua-dua golongan ini tentang jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya seorang Naib Presiden mesti di kalangan Ulama dan satu pihak lagi mahu jawatan itu terbuka kepada semua, maka ada syor agar perkara tersebut diperincikan di dalam perlembagaan," katanya.

Subky menyarankan agar parti secara konvensyen membuat keputusan memberi kuasa kepada Majlis Syura Ulama kuasa merundingkan beberapa jawatan penting yang sepatutnya diperuntukkan kepada ulama dinamakan oleh Majlis Syura Ulama untuk dicalonkan oleh perwakilan.

"Perkara kedua, sekiranya berlaku kekosongan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Majlis Syura Ulama boleh menamakan seorang ulama dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memangku jawatan Presiden dan Timbalan Presiden," katanya.

Perkara ketiga pula beliau menyarankan agar Presiden dan Timbalan Presiden, apabila tamat tempoh jawatan jangan menganggap dirinya akan dicalonkan semula bagi memberi kebebasan kepada Majlis Syura Ulama untuk menilai prestasi kepimpinannya, sama ada mencalonkannya semula atau menamakan calon lain.

Dalam perkara keempat, beliau mencadangkan agar golongan non-ulamak hendaklah kembali kepada semangat Dewan Pemuda 1982 berdiri teguh di belakang kepimpinan ulama bagi mendaulatkan dan menjadikan kepimpinan ulama lebih berwibawa dan berkesan.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hasan Syukri pula menjelaskan bahawa Kepimpinan Ulama yang diasaskan pada 1982 adalah suatu aplikasi bagi memandu gerakan Islam ke arah mencapai keredhaan Allah.

Menurutnya, antara sumbangan dan pengorbanan ulama pasca 1982 ialah memperkemaskan sistem tarbiyah PAS, memperkukuh perjuangan negara Islam, mengadakan pakatan politik, menganjurkan dakwah non-muslim, memasyarakatkan PAS, mengantarabangsakan PAS, mengetenagahkan ide kerajaan Islam, mempelopori model kepimpinan ulama dalam pentadbiran kerajaan serta mengamalkan keterbukaan serta perlaksanaan syura.

Tiada ulasan: