KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Ogos 20, 2009

Polis dilihat langgar undang-undang - Suhakam


MUQQADDIMAH: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terus teguh mengatakan Akta ISA perlu dimansuhkan. Himpunan 1 Ogos lalu bagi Suhakam ianya boleh berlaku secara aman jika polis tidak cepat menggunakan kekerasan. Malangnya apabila perhimpunan yang tidak selari dengan kerajaan, polis akan berusaha sedaya upaya untuk mengagalkan usaha itu. Pesuruhjaya Suhakam, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mempunyai hujahnya sendiri terhadap sikap polis itu. Ikuti intrebiu eksklusif SALMIYAH HARUN bersama beliau di Pejabat Suhakam 6 Ogos lalu.

Tan Sri, Suhakam ada menjelaskan tentang tindakan polis pada Perhimpunan Mansuh ISA 1 Ogos lalu bertindak agak keterlaluan. Keterlaluan yang bagaimana dimaksudkan oleh Suhakam itu?

DR KHOO KAY KIM: Saya rasa kita belum sampai ke peringkat di mana pihak polis boleh menerima bahawa demonstrasi secara aman patut dibenarkan. Jadi setiap kali adanya demonstrasi, atau perhimpunan aman, ada saja masalah yang timbul.
Ini kerana polis cepat menggunakan kekerasan. Suhakam hanya boleh cuba memujuk pihak eksekutif termasuk polis untuk menerima hakikat bahawa negara sudah menerima prinsip itu dan menyatakan bahawa perhimpunan secara aman mesti dibenarkan.

Polis membuat tangkapan di awal perhimpunan, bahkan perhimpunan belum pun bermula polis sudah bertindak. Nampaknya polis yang memulakan kekecohan sebenarnya?

Sebenarnya setiap kali, tidak kiralah siapa yang melanggar undang-undang, siapa yang salah dan siapa betul hanya boleh ditentu oleh mahkamah. Memang perlu dicari jalan untuk membawa masalah itu kepada mahkamah bagi mahkamah buat keputusan.
Dalam tangkapan itu juga pihak polis menangkap orang ramai termasuk juvana dan wanita. Polis memang cuba hendak memberi alasan mengapa mereka bertindak menangkap orang ramai. Jadi pihak yang menjadi mangsa perlu mencari jalan untuk membuktikan polis bersalah, tetapi itu hanya boleh diselesaikan di mahkamah.

Jika polis tidak bertindak menangkap orang ramai dan tidak menghalang perhimpunan, sudah tentu kekecohan tidak akan timbul. Apa pandangan Tan Sri?

Saya percaya himpunan itu akan berlangsung dengan aman tanpa ada gangguan dan sekatan daripada polis. Bahkan dengan penangkapan sebelum perhimpunan sebagai cara untuk memburukkan lagi suasana perhimpunan sehingga Kuala Lumpur menjadi lumpuh.
Polis sentiasa mencari jalan untuk menjamin supaya satu-satu perhimpunan itu tidak terjadi, atau sekurang-kurangnya tidak mencapai matlamatnya. Sebab itulah di awal-awal lagi polis membuat sekatan jalan raya secara tidak langsung suasana bertambah kecoh.
Ekoran ini, orang ramai perlu mencari jalan untuk membawa kes seperti itu ke mahkamah. Jadi sekarang kita sudah sampai ke peringkat di mana kita sudah nampak polis yang selalu melanggar undang-undang.
Rakyat perlu bawa kes itu ke mahkamah dan kita tengok bagaimana tindakan mahkamah. Adakah mahkamah juga melanggar undang-undang? Keadilan bukan hanya mesti diamalkan tetapi mesti dapat dilihat dari segi pengamalannya.

Tahun 2003, Suhakam ada menegaskan ISA itu zalim dan perlu dimansuhkan. Apakah Suhakam masih teguh dengan pendirian itu?

Ya! Ya! Kita sudah berapa kali cakap. Pendirian kita tetap sama. Pendirian Suhakam tidak berubah tetapi Suhakam tidak boleh meminda undang-undang. Tindakan itu perlu dibuat di parlimen. Kalau wakil rakyat keseluruhannya setuju bahawa ISA zalim, wakil rakyat boleh pinda undang-undang itu.
Oleh itu, pengundi mesti faham siapa yang mereka pilih sebagai wakil mereka dan bila wakil rakyat sudah dipilih, mereka bukan orang besar! Mereka mesti patuh kepada rakyat.
Tindakan mereka mesti selaras dengan kehendak rakyat. Rakyat tidak tahu! Sekarang siapa yang memerintah negara? Ya, mereka tidak tahu! Itulah masalahnya. Kita kena jelaskan kepada rakyat melalui pendidikan. Di sekolah lagi mereka mesti belajar apa itu undang-undang, demokrasi dan perlembagaan.

Terlanjur Prof menyebut perlembagaan. Dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 10 (1)(b) rakyat dibenarkan berhimpun secara aman, tetapi ia seperti bercanggah dengan Akta Polis yang lebih kecil. Apa pandangan Tan Sri?

Pergi ke mahkamah! Hanya mahkamah boleh menentukan siapa benar siapa salah. Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang tertinggi dalam negara ini. Undang-undang lain yang bertentangan dengan perlembagaan adalah tidak sah, walaupun Akta Polis sekali pun.
Biasanya kalau pihak kerajaan yang mengadakan perhimpunan mereka tidak menghadapi masalah. Apabila ada pihak yang membangkang kerajaan perhimpunan itu mesti ada masalah. Mengapa ini terjadi?

Wajarkah himpunan itu dibuat dalam kawasan yang tertutup, seperti stadium sebagaimana yang dicadangkan oleh Perdana Menteri?

Memang jika perhimpunan dilakukan di dalam stadium ia senang. Bagaimanapun, demonstrasi yang dibuat itu mestilah ianya memberi kesan kepada kerajaan. Demonstrasi dibuat supaya kerajaan memberi respons.
Tetapi saya kurang yakin jika demonstrasi yang dibuat di kawasan tertutup akan diambil perhatian kerajaan. Jika rakyat hendak tahu tentang demonstrasi yang sebenar dan berkesan, kita balik pada tahun 1946 yang mana demonstrasi dilakukan merata tempat, untuk menentang Malayan Union.
Inilah demonstrasi yang cukup berkesan, British membatalkan Malayan Union. Kita imbas balik, rakyat boleh dapatkan satu gambaran jelas tentang demonstrasi apa sebenarnya berlaku.
Demonstrasi di merata tempat Semenanjung Tanah Melayu ketika itu. Tidak ada tangkapan, provokasi dan kekecohan. Berlaku dengan aman dan berkesan. Bahkan saya sangkal ada orang politik sebut demonstrasi bukan budaya kita. Ha! Ingatkan dia balik apa yang berlaku 1946.

Pada hari himpunan terbabit, Suhakam dikatakan tidak menghantar pemantau bebas seperti mana yang dibuat oleh badan bebas yang lain. Majlis Peguam ada kumpulan pemantau yang bertugas. Kenapa Suhakam tidak berbuat demikian?

Keadaan tersebut mungkin akan menimbulkan salah faham kerana mungkin wujud tanggapan bahawa Suhakam turut sama menyertai perhimpunan tersebut. Selain itu, jika hendak menghantar pasukan pemantau sudah tentu kami perlu memakai pakaian khas seperti jaket bagi memperkenalkan diri kepada orang ramai khususnya anggota keselamatan yang bertugas pada hari berkenaan.
Suhakam tidak mempunyai kuasa untuk mengubah undang-undang sebaliknya hanya menyampaikan apa jua aduan dan juga komentar orang awam kepada pihak kerajaan.

Sabtu, Ogos 08, 2009

PAS Batu anjur Muzakarah Kemerdekaan dan Multaqa hujung minggu ini

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Batu akan mengadakan Muzakarah Kemerdekaan 2009 pada 9 Ogos ini, Ahad di Markaz PAS Batu, Taman Melewar, jam 9.30 malam. Ia julung kali diadakan bagi membincangkan isu "Umno sebenarnya bukan perintis kemerdekaan" sebagai menyangkal dakwaan selama 52 tahun parti itu kononnya kemerdekaan negara dicapai dan diperjuangkan oleh Umno.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Peneranganya, Haji Jamhor Nawawi kepada Harakah. Katanya, tiga tetamu yang akan mengupas isu ini, iaitu penulis prolifik, Haji Subky Abdul Latiff, Setiausaha Partai Rakyat Malaysia (PRM), Koh Swe Yong dan seorang yang aktif dalam Angkatan Pemuda Insaf (API), Haji Ishak Surin yang kini Yang Dipertua PAS Batu. Orang ramai dijemput hadir.

Sementara itu, Multaqa Kepimpinan PAS Batu kali pertama akan diadakan sehari sebelum itu, Sabtu 8 Ogos di tempat yang sama. Lebih 150 orang pimpinan PAS semua peringkat dijangka menyertai multaqa ini bagi membincangkan ucapan dasar Presiden PAS "Islam Untuk Memimpin Perubahan".

Menurut Jamhor, semua jawatankuasa PAS cawangan seluruh Batu dan dewan-dewan kawasan dikehendaki hadir bagi membincangkan secara kolektif gerakerja parti bagi sesi ini.

Tiga isu utama akan di ketengahkan iaitu usaha memperkasakan cawangan dan keahlian, usaha menwujudkan kerjasama pintar dan usaha menumpukan secara serius isu-isu setempat oleh cawangan-cawangan untuk diambil tindakan lanjut oleh kepimpinan kawasan. Program bermula jam 9.30 malam.

Kuliah Maghrib Presiden PAS di Taman Melewar 9 Ogos, Ahad

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan kuliah Maghrib di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Ahad ini, 9 Ogos.

Program anjuran Mahtar ini adalah kesinambungan siri kuliah Maghrib yang dianjurkan setiap hari bagi mengimarahkan Markaz Tarbiyyah PAS Pusat.

Menurut Syed Mohamad Syed Hassan selaku Setiausaha Mahtar, orang ramai dijemput hadir kerana kesediaan Ustaz Hadi untuk meluangkan masa dan bersama jamaah markaz adalah peluang yang sukar dilepaskan.

T-shirt Dr Hatta disentap polis, berjaya bolos dari kepungan polis



SIAPA tidak kenal Dr Hatta Ramli? Orang yang mesti ada dalam setiap himpunan aman yang dianjurkan baik himpunan Bersih mahupun himpunan Mansuhkan PPSMI. Malah beliau juga mengetuai himpunan Protes, beberapa ketika dahulu.

Setiap himpunan yang dilalui beliau mesti ada insiden yang dihadapinya terutama ketika berdepan dengan kerakusan anggota polis yang kononya bertugas mengawal keselamatan dalam perhimpunan.

Kali ini ketika dalam himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos baru-baru ini, Hatta hampir ditangkap pihak polis sehingga menimbulkan pergelutan apabila beliau bertindak mempertahankan dirinya daripada dicekup.

Ekoran itu, berlaku tarik-menarik antara Hatta dengan lima orang polis. Mujurlah ada beberapa kawan termasuklah Dr Dzulkifli Ahmad, AJK PAS Pusat yang bersama beliau menghalang tindakan rakus polis itu.

Insiden tarik-menarik itu menyebabkan baju merah yang dipakai Hatta koyak-rabak sehinggakan mendedahkan sebahagian dadanya.

"Waktu itu tepat jam dua petang saya berdiri di atas bangku dan baru bertakbir bagi memberi pengumuman kepada jamaah masjid supaya terus bergerak ke Sogo, kemudian saya terus direntap oleh polis dari belakang.

"Berlaku tarik-menarik, dengan polis yang waktu itu memegang baju saya, sehingga koyak-rabak baju saya," katanya yang turut mengalami luka di lipatan lengan dan kecederaan di lutut yang masih bisa hingga hari ini.

Ketika berbaju koyak itu, beliau dengan segera menggapai mikrofon dan terus memberi pengumuman kepada peserta himpunan.

"Oleh kerana, saya terlepas daripada genggaman polis tadi saya terus memegang mikrofon dan terus berucap dan meminta ahli jemaah masjid terus berarak segera," katanya yang berjaya melepaskan diri dari ditangkap polis.

Melihat baju Hatta yang koyak-rabak itu, salah seorang peserta himpunan terus menanggalkan baju dan memberikan kepada beliau. Beliau terus memakai baju hitam itu dan meneruskan perarakan ke Sogo.

"Saya kena pertahankan diri saya dari ditangkap polis, sebab saya adalah komander perhimpunan di Masjid Negara. Setiap pemimpin kena ada bersama-sama rakyat," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Bagaimanapun, beliau sudah menduga ada beberapa orang polis di kiri kanannya bersedia untuk menangkapnya bila-bila masa sahaja.

Selepas insiden itu, Hatta bersama-sama peserta himpunan meneruskan perarakan sehingga di Padang Kelab Selangor dan akhirnya terpaksa patah balik ekoran berpuluh-puluh peluru gas pemedih mata meluru ke arah mereka menyebabkan mereka berpecah.

Penangkapan demi penangkapan yang dilakukan oleh polis pada hari itu, bagi Hatta ianya satu tindakan supaya keadaan perhimpunan itu menjadi tidak terkawal. Hatta pernah terkoyak seluar ketika perhimpunan Bersih, tetapi inilah kali pertama bajunya koyak-rabak dalam perhimpunan yang dihadirinya.

Bagaimanapun, penangkapan 500 lebih peserta himpunan ianya langsung tidak menjejaskan himpunan aman itu yang dihadiri hampir 50 ribu orang.

Insiden yang berlaku ke atas Hatta itu mendapat liputan beberapa akhbar termasuklah akhbar berbahasa Cina yang turut menyiarkan gambar beliau yang menjadi mangsa kerakusan polis.

Rakan Hatta yang ditahan polis termasuklah Sivarasa Rasiah dan Dr Mujahid Yusuf. Kedua-duanya Ahli Parlimen Subang dan Parit Buntar.

GMI sedang fikir, adakan satu lagi himpunan mansuh ISA!


MUQADIMAH: Himpunan MANSUH ISA, 1 Ogos lalu disifatkan sebagai satu kejayaan besar bagi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengumpul rakyat berbilang kaum bertujuan menyatakan bantahan terhadap akta itu. Himpunan itu dikatakan gagal apabila 'Deklarasi Rakyat' tidak dapat diserahkan ke Istana Negara. Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh ternyata kecewa dengan tindakan polis yang menyekat kemaraan mereka ke Istana. Ikuti temubual ringkas, ANIS NAZRI bersama beliau ketika menjawab pelbagai polemik yang timbul ekoran perhimpunan yang dikatakan haram itu.

Perhimpunan anti-ISA, 1 Ogos lalu mencetuskan kemarahan ramai pihak, termasuk para peniaga, pengguna jalan raya dan sebagainya. Bagaimana saudara jelaskan perkara ini?

SYED IBRAHIM SYED NOH: Saya percaya perkara tersebut tidak akan berlaku jika pihak polis memberikan kerjasama untuk membenarkan rakyat berhimpun dan berarak dengan aman. Kebanyakan kerosakan berlaku kerana halangan-halangan daripada polis yang menutup jalan-jalan utama.
Jika kami dan rakyat diberi laluan dengan baik dan aman, kita fikir perhimpunan dan penyerahan memorandum ke Istana Negara boleh diselesaikan dalam masa satu atau dua jam sahaja. Apa yang berlaku ini melihatkan sikap polis dalam menangani perhimpunan ini. Mereka sepatutnya faham dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia yang membenarkan rakyat berhimpun menyatakan suara mereka.

Tetapi isunya menjejaskan banyak pihak?

Kita tidak langsung berniat untuk menjejaskan perniagaan sesiapa. Bagi kami, benda ini boleh dielakkan jika polis memberikan kerjasama dengan baik. Jika sambutan Maulidur Rasul, Le Tour De Langkawi, polis boleh tutup jalan dengan kawalan yang baik, perkara yang sama boleh dilakukan untuk himpunan anti-ISA tempohari.
Kita tidak membuat sebarang rusuhan. Tiada siapa di kalangan yang ditahan pada hari tersebut dikenalpasti membawa sebarang senjata merbahaya.

Himpunan ini juga dikatakan gagal apabila Delegasi Rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak muncul-muncul di Istana Negara untuk menyerahkan memorandum, biarpun dianggarkan lebih 50 000 menyertai himpunan tersebut. Adakah saudara kecewa dengan 'kegagalan' tersebut?

Jika diambil kira halangan dan sekatan polis serta langkah pencegahan mereka terhadap himpunan ini, saya lihat ia sebagai satu kejayaan apabila rakyat tetap turun untuk menyatakan sokongan tersebut. Walaupun objektif untuk menghantar deklarasi itu tidak berjaya, tetapi bagi kami ia tetap berjaya mengumpulkan rakyat yang sedar tentang kezaliman ISA.
Bagi GMI, penglibatan ramai pihak dari seluruh lapisan masyarakat tidak mengira kaum dan peringkat usia adalah satu kejayaan besar kepada rakyat dan GMI bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan betapa rakyat mahu ISA dimansuhkan.
Dalam perhimpunan ini, kita dapat melihat, rakyat tanpa sebarang imbuhan turun secara sukarela untuk menyatakan bantahan mereka, biarpun disembur air kimia dan gas pemedih mata. Rakyat semakin sedar ISA ini satu isu besar dan perlu menyampaikan isyarat kepada kerajaan.
Saya fikir, jika Umno dibayar upah sekalipun untuk menyertai apa-apa himpunan, belum tentu dapat mengumpul sebanyak ini. Sedangkan GMI, dalam keadaan kurang berkemampuan dari segala segi, berjaya mendapatkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakyat, termasuk dari luar Kuala Lumpur. Kita tidak rasa kecewa dengan apa yang berlaku. Apa yang dikesalkan tindakan polis yang tidak memberikan kerjasama kepada kita.

Kegagalan ke Istana Negara itu mungkin menimbulkan rasa tidak puashati rakyat secara keseluruhannya. Mungkinkah GMI merancang untuk mengadakan satu lagi himpunan bagi menjayakan objektif untuk menyampaikan deklarasi tersebut?

Dalam hal ini kita akan mengadakan 'post-mortem' dalam tempoh terdekat untuk membincangkan apa yang boleh dilakukan bagi menyampaikan deklarasi rakyat kepada Yang DiPertuan Agong.
Keputusan sebelum ini kita akan menghantarnya dalam tempoh terdekat. Mungkin menggunakan pendekatan lain, atau menganjurkan satu lagi himpunan lain. Itu akan dibincangkan.
Kita sedang menunggu pandangan rakyat, termasuk mereka yang ditahan baru-baru ini berhubung rancangan seterusnya. Jika dilihat 'trend' sekarang, ramai yang inginkan satu lagi himpunan.

GMI akan adakan satu lagi himpunan serupa?

'Feedback' yang diterima daripada mereka yang ditahan pula sangat baik apabila mereka menyatakan persediaan untuk turun sekali lagi ke jalan raya jika GMI merancang untuk mengadakan himpunan lagi.
Perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang. Walaupun tahu dalam keadaan sekarang GMI akan dikenakan sebarang tindakan, bagi saya itulah harga yang perlu dibayar untuk perjuangan ini.

Perhimpunan kali ini paling teruk apabila jumlah penangkapan yang begitu tinggi, 589 orang. Pada pandangan saudara, apakah faktor itu menyebabkan perarakan ke Istana Negara tersekat?

Saya rasa itu memang bukan strategi baru polis, tetapi kali ini lebih teratur proses sekatan mereka. Ada di antara mereka yang ditahan di Masjid Negara seawal jam 10 pagi. Malah ada yang ditahan jam 3 pagi ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Ini satu taktik baru bagi polis untuk menahan sesiapa sahaja yang mereka syaki mempunyai niat untuk menyertai perhimpunan tersebut. Tapi bagi saya, ia jelas melanggar hak asasi manusia.

Tidak bolehkah berjalan-jalan dengan memakai baju hitam? Baju merah?
Itu adalah satu pencabulan hak apabila bertindak menahan hanya kerana menyangka mereka ada niat untuk menyertai himpunan tersebut.

Perdana Menteri, Najib Tun Razak menyatakan kesediaan untuk memberikan ruang untuk berhimpun menyatakan pendirian, tetapi di tempat-tempat separti stadium. Adakah GMI bersetuju dan bercadang untuk menerima 'pelawaan' tersebut?

Ini bukan cadangan baru. Pengalaman dulu ketika kita adakan himpunan di Bukit Jalil, kita ada memohon permit tapi ditolak. Permohonan permit akan ditolak dengan syarat-syarat lain yang menyusul untuk menghalang kita berhimpun.
Kita sudah ada pengalaman tersebut. Bagi saya soal lokaliti, soal kedua, ketiga atau bukan soalnya. Ia satu sikap yang jelas meremehkan rakyat Malaysia yang berhasrat menyatakan pendirian mereka berkenaan sesuatu perkara.

GMI sudah beri jaminan, himpunan ini aman. Tidak timbul soal stadium atau mana-mana temnpat?

Kita sudah memberi jaminan bahawa himpunan kita aman, dan didapati mereka yang ditahan sudah dikenalpasti tidak membawa sebarang senjata untuk menyertai himpunan tersebut.
Kita turun dengan tubuh badan, kaki, tangan dan mulut untuk menyatakan bantahan.
Persoalannya bagaimana pihak polis menangani dan mengawal situasi tersebut. Saya yakin, jika polis berkerjasama dengan baik tiada sebarang kekecohan berlaku.

Polis berpesta tembakan gas pemedih mata, water cannon



LEBIH 50,000 orang membanjiri ibu negara 1 Ogos lalu untuk menyertai perhimpunan yang menuntut agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Mansuh itu dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dengan kerjasama Pakatan Rakyat.

Pasukan polis selaku 'sayap kanan' Barisan Nasional (BN) seperti yang telah dijangkakan mengadakan pelbagai halangan termasuk mengadakan sekatan jalan raya menuju ke pusat bandar dan ke Istana Negara sejak malam sebelum perhimpunan bertujuan untuk menghalang rakyat menyuarakan hasrat mereka kepada Yang Dipertuan Agong.

Mereka berdepan dengan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan water cannon di lokasi perhimpunan di kompleks membeli-belah Sogo, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, di Masjid Negara serta di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Seawal jam 11 pagi sudah kelihatan peserta perhimpunan membantah ISA berada di lokasi-lokasi yang ditetapkan terutama di Kompleks Sogo dan juga Masjid Jamek. Setengah jam kemudian tangkapan mula dilakukan terutama di kawasan berhampiran Masjid Jamek, apabila 14 anggota Unit Amal PAS dan 17 orang awam menjadi mangsa tindakan polis.

Seorang peguam wanita yang dikenali dengan nama Puspawati Rosman dari Pusat Bantuan Guaman turut ditahan ketika sedang mengedarkan risalah undang-undang kepada orang ramai berhampiran Masjid Jamek. Beliau kemudiannya dibebaskan dalam tempoh tidak sampai sejam.

Menjelang waktu Zohor sejumlah 200 orang peserta perhimpunan membantah ISA telah ditangkap. Mereka ditahan di Masjid Jamek, Sogo dan Masjid Negara. Dalam waktu yang sama jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di hadapan Sogo menuju ke Dataran Merdeka sejauh kira-kira 1.8 km ditutup.

Kira-kira 1,000 orang berada di Masjid Negara, termasuk Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Muhammad Sabtu Osman juga kelihatan di situ.

Di Masjid Jamek, polis mengarahkan orang ramai agar bersurai selepas menunaikan solat Zohor tetapi atas dasar perjuangan menentang akta zalim ISA, rakyat yang berkumpul tetap meneruskan perarakan dengan menukar haluan yang sepatutnya ke Masjid Negara ke Sogo.

Lebih menyemarakkan semangat mereka apabila AJK PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik tiba-tiba muncul dan berdiri di atas tangga bangunan Karyaneka, hadapan pintu utama Masjiek Jamek berucap dengan penuh lantang dan tidak menghiraukan larangan polis. Beliau melaungkan takbir 'Allahuakbar' bila polis mengarahkan mereka beredar.

Di Masjid Negara, polis membuat tangkapan sehingga berlaku pergelutan dan ada yang terkoyak baju. Kira-kira 2,000 orang berjalan menuju ke Dataran Merdeka. Polis membuat benteng tangan untuk menghalang kemaraan mereka.

Hampir 5,000 berkumpul di hadapan Panggung Colesium di Jalan Tuanku Abdul Rahman bersorak 'Mansuhkan ISA' dan bertakbir. Mereka datang dari arah Dataran Merdeka menuju ke Sogo. Polis menembak gas pemedih mata bagi meleraikan lebih 5,000 orang yang berhimpun di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kira-kira 10,000 orang lagi berkumpul dekat Sogo, simpang Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pemimpin GMI menyampaikan ucapan dan membacakan deklarasi rakyat mendesak ISA dimansuhkan. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan pemimpin KeADILan, Tian Chua kelihatan berada di sini.

Orang ramai merempuh polis untuk ke Dataran Merdeka ikut jalan belakang. Kira-kira 200 terlepas bersama Dr Hatta Ramli. Polis melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata ke arah lebih 2,000 penentang ISA bersama pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli di bulatan dekat Bank Negara.

Kumpulan dari Sogo menuju sepanjang Jalan Raja Laut ke arah Dataran Merdeka selepas berhimpun dan mendengar ucapan ringkas. Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, tokoh DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berada di tangah lautan manusia di kompleks Pertama, depan Sogo.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan water cannon untuk menyuraikan perhimpunan di bulatan dekat Bank Negara. Kumpulan dari arah Sogo yang bergerak di sepanjang Jalan Raja Laut ditembak gas pemedih mata. Asap kelihatan berkepul-kepul selepas ditembak untuk menyuraikan kumpulan penentang ISA.

Polis melepas tembakan water cannon ke arah peserta perhimpunan yang cuba untuk ke Dataran Merdeka. Sebelum itu, stesen LRT Bandaraya dekat Sogo telah ditutup. Turut ditutup ialah Stesen LRT Masjid Jamek dan Pasar Seni.

Lebih 10,000 orang kelihatan bergerak menuju ke arah bangunan ibu pejabat PAS di jalan Raja Laut. Anwar, Lim Kit Siang dan Ustaz Abdul Hadi Awang ikut sama. Kira-kira 15,000 berhimpun di depan Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut. Mereka duduk di atas jalan, dipercayai untuk menghalang kenderaan polis ke situ. Mereka turut melaungkan 'Mansuhkan ISA'. Banyak juga kenderaan awam terperangkap di tengah kebanjiran penentang ISA.

Bermula dari simpang empat Jalan Sultan Islam, dekat bangunan Sime Darby penentang ISA sudah menawan Jalan Raja Laut hingga ke simpat empat ke PWTC, dekat Restoran KFC, menghala ke Chow Kit.

Kira-kira 15,000 penentang akta ISA yang berkumpul di atas jalan di depan ibu pejabat PAS diminta bersurai selepas mendengar ucapan pemimpin pembangkang, termasuk Anwar Ibrahim, tokoh popular Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar.

Polis melepaskan dua tembakan gas pemedih mata dan pancutan water cannon dari jarak jauh, ke arah penyokong anti-ISA di hadapan Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut ketika mereka sedang bersurai.

Kira-kira 20 anggota polis berada di depan ibu pejabat PAS di Jalan Laut. Bagaimanapun mereka tidak dapat bolos ke ibu pejabat PAS itu kerana petugas Unit Amal enggan membuka pintu. Kelihatan tiga trak FRU dekat situ. Khabarnya, polis masuk untuk menangkap pemimpin Pakatan Rakyat termasuklah Ustaz Hadi, Anwar, Lim Kit Siang, Syed Ibrahim, Mahfuz, Salahuddin, Mohd Sabu, Shamsul Iskandar dan beberapa pemimpin Pemuda PAS.

Pasukan polis berkenaan beredar dari situ.

Terdapat laporan mengatakan antara 10,000 hingga 15,000 penentang ISA berkumpul semula sekitar kompleks membeli-belah Sogo selepas bersurai di Pejabat Agong PAS. Mereka kemudian ditembak gas pemedih mata dan watar cannon.

Mereka mula melaungkan slogan-slogan anti-kerajaan dan membantah akta itu sejak kira-kira jam 4 petang. Perhimpunan itu berakhir pada jam 4.15 petang selepas pemimpin Pakatan Rakyat meminta mereka bersurai selepas berucap di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Polis dilaporkan ingin menyiasat 11 individu termasuk Ketua umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang, tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Muhamad Sabtu Osman dipetik berkata siasatan itu kerana mereka hadir dan berucap di depan Pejabat Agong PAS sebelum demonstrasi besar itu bersurai.

Angkatan Muda KeADILan mengecam tindakan polis mengganasi dan menangkap rakyat yang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di Kuala Lumpur hari tersebut bagi menuntut pemansuhan akta ISA.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan tersebut di luar batasan amalan demokrasi dan hak asasi rakyat untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, beliau yang turut dikehendaki polis bagi menyiasat perhimpunan besar tersebut, menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera.

Kecaman hebat ditujukan kepada kerajaan BN kerana menangkap beratus-ratus orang dan menggunakan gas pemedih mata dan water cannon untuk menyuraikan perhimpunan menentang ISA yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Lebih 60 daripada 589 orang yang ditahan dalam perhimpunan 1 Ogos lalu, yang disertai lebih 50,000 orang di pusat bandaraya Kuala Lumpur, masih ditahan, untuk dibicarakan pada 3 Ogos.

Lim Kit Siang yang turut menyertai perhimpunan anti-ISA menegaskan beliau melihat sendiri polis yang bertindak sewenang-sewenangnya melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas orang ramai.

Lim menuduh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan bertindak ‘membalas dendam' terhadapnya dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain kerana mereka mengadakan perbincangan meja bulat Parlimen minggu lalu, yang mendesak supaya KPN baru dilantik bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang selamat.

Beliau juga mengecam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak atas tindakan ganas kira-kira 10,000 anggota polis ke atas peserta perhimpunan anti-ISA 1 Ogos lalu.

"Adakah ini satu petunjuk yang pentadbiran Najib akan menjadi lebih kejam daripada kerajaan semua perdana menteri sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957?" soalnya.

Najib sebelum ini menegaskan bahawa perhimpunan bantahan semalam tidak memberi sebarang makna kerana beliau telahpun berjanji untuk menyemak semula undang-undang tersebut selepas mengambil alih pentadbiran negara April lalu.

Mengapa polis terlalu bimbang referendum rakyat terlepas ke istana


TINDAKAN pasukan polis ke atas Himpunan Mansuh ISA (Mansuh) di Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu wajar dipandang sebagai sebahagian kandungan 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Jika di zaman mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya anggota polis dari Batalion Ke-4 Pasukan Polis Hutan, Sungai Petani dikerah ke Kampung Memali, Baling, tetapi Najib menunjukkan rupa paras lebih rakus dalam konteks mempergunakan pasukan keselamatan apabila 1Malaysia pasukan polis dikerah untuk hadapi Mansuh.
Dari larangan pegawai tertinggi polis, Menteri Dalam Negeri hinggalah PM sendiri yang disiarkan berterusan di media cetak dan elektronik termasuk pelbagai halangan melalui sekatan jalan raya, perkhidmatan pengangkutan dihadkan selain tangkapan awal pada malam dan pagi 1 Ogos itu, sememangnya himpunan Mansuh seolah-olah berjaya dikekang.
Malah, kesan kawalan ketat di lokasi-lokasi ditetapkan menyebabkan bakal peserta Mansuh berselerakan di seluruh ibukota. Mereka berada dipinggiran lokasi atau dalam premis-premis tertentu.
Dari laporan diterima juga, sudah ratusan ditahan setelah didapati membawa identiti sebagai bakal peserta Mansuh. Bas-bas yang membawa rombongan pula diiringi ke balai polis tertentu.
Di Sogo dan Kompleks Pertama kelihatan seorang pegawai tinggi polis berbadan gempal berbangsa Cina sibuk mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) menangkap individu-individu tertentu.
'Special Branch' (SB) turut memainkan peranan mereka menyebabkan beberapa 'figure' ditangkap dan dibawa ke atas trak polis. Manakala ketika jam menunjukkan waktu pukul 1.30 petang, lebih 100 anggota PGA menyuraikan orang ramai di sekitar premis berkenaan.
Suasana 'sunyi' juga dilaporkan berlaku di Masjid Negara dan Masjid Jamek yang dipagari anggota polis hinggalah dibuka semula untuk solat Zohor, bahkan keadaan sesak yang biasa dilihat di Sogo dan Kompleks Pertama itu juga seakan-akan lengang.
Walaupun perarakan Mansuh dijadualkan bermula jam 2.00 petang, namun sehingga jam 1.55 petang tidak kelihatan tanda-tanda perarakan akan bermula seakan berjayanya tindakan polis.

Bagai semut keluar dari lubang

Tiba-tiba tepat jam 2.00 petang, bagaikan semut keluar dari lubang-lubangnya, para peserta Mansuh muncul dari pelbagai pintu berarak di jalan dengan laungan 'Daulat Tuanku!'. Kebanyakan mereka berlari-lari anak menyertai kelompok dipimpin Badrul Hisham Shaharin (Cikgu Bad) menjadikan jumlah kelompok itu lebih 5,000 orang dan bergerak menghindari sekatan polis. Turut serta berlari-lari menyelinap ke dalam kelompok tersebut ialah para SB.
Rupanya kelompok pimpinan Cikgu Bad merupakan kelompok awal, beberapa minit kemudian Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilihat bersama beberapa pimpinan tertinggi PAS yang lain mengetuai kelompok lebih 10,000 orang juga keluar secara tiba-tiba dari kompleks beli-belah Sogo.
Manakala Dr Mohd Hatta Ramli dilaporkan mengetuai lebih 5,000 peserta dari sekitar Masjid Negara. Juga dimaklumkan, masih ramai terpecah dalam kelompok-kelompok kecil di stesyen-stesyen Transit Aliran Ringan (LRT), Pasar Seni dan gedung-gedung perniagaan di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Polis bertindak ganas

Biarpun terpisah, barangkali kejayaan membentuk kelompok-kelompok besar menyebabkan pihak polis dari pelbagai unit antaranya PGA, Unit Anjing Pengesan (D-9), Unit Simpanan Persekutuan (FRU), SB dan lain-lain mengambil pendekatan 'menyerang' para peserta Mansuh dengan tembakan gas pemedih mata, pancutan air bertekanan tinggi dari meriam air (water cannon), pukulan belantan, tangkapan selain adegan kejar mengejar. Malah Ustaz Hadi turut jatuh menghadapi ‘serangan’ pancutan water cannon.
Cara polis memperlakukan mereka yang ditangkap wajar dipersoalkan. Bayangkan seorang peserta dipegang hampir 10 anggota PGA dan SB. Ada yang lebih dari jumlah itu malah diperlakukan dengan lebih kasar.
Walaupun peserta tidak melawan dan 'dilumpuhkan' pergerakannya, masih ada anggota polis yang mungkin 'nakal' menyiku-nyiku kepala tangkapannya. Peserta yang menunjukkan isyarat 'bendera putih' juga ada menjadi mangsa keghairahan khususnya anggota PGA. Peliknya, apakah seorang atau dua anggota polis terlatih tidak mampu menangani individu yang tidak bersenjata?
Water cannon juga bertindak memancut air hingga ke dalam premis-premis perniagaan termasuk restoran menyebabkan tidak kurang ada orang awam yang berang. Maka terlihatlah beberapa individu bebal dipercayai SB membaling botol minuman ke arah kenderaan 'kebal' itu, mengumpan provokasi.
Manakala kedapatan SB-SB yang lain berlakon melaung-laungkan cabaran kepada trak water cannon dan anggota FRU dibelakangnya. Lakonan berakhir apabila pihak beberapa PGA menangkap SB terlibat.
Di hadapan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, walaupun program Mansuh seusai tamatnya diisytiharkan bersurai, dua water cannon dan satu ketumbukan FRU berserta kira-kira 100 anggota PGA dan SB 'menyerang' peserta yang sudahpun bergerak untuk bersurai.
Kali ini lebih ganas hingga dilihat antara sesama anggota polis terpaksa menenangkan rakan-rakan mereka yang emosi. Anggota PGA yang masih muda pula kelihatan ghairah mengejar peserta muslimat hingga sejauh lebih satu kilometer dari Pejabat Agung. Apakah semua tindakan seperti ini masih dalam ruanglingkup 'Standard Operation Practise' (SOP)?

Jenayah tidak terbendung

Ternyata polis di era Najib akan diperalatkan untuk kepentingan politik BN dan disibukkan untuk menghadapi pengaruh Pakatan Rakyat. Sedangkan masih banyak jenayah yang gagal diselesaikan pihak polis.
Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein beberapa minggu sebelum ini pernah 'merungut' mengenai jurang besar nisbah antara anggota polis dan penduduk awam. Najib juga kemudiannya bertekad menangani jenayah jalanan yang turut disahut penuh azam pihak polis untuk menjayakannya.
Kehadiran ramai anggota polis di ibu negara pada hari tersebut juga tidak membantu ke arah penguatkuasaan undang-undang. Misalnya antara yang kelihatan ialah sekumpulan anggota polis beruniform tidak mengendahkan perlakuan pelanggaran undang-undang jalan raya dihadapan mereka dan boleh memberi mudarat kepada pihak lain.
Malah ada sumber memaklumkan, anggota dari beberapa agensi berkaitan pemulihan jenayah seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Penjara Malaysia turut dikerah untuk ke Kuala Lumpur dipercayai bagi tujuan berkaitan himpunan pada hari tersebut.

Lumpuh ibu negara kerana 5,000 orang?

Najib dalam ulasannya kepada media mengenai himpunan itu berkata terserah kepada pihak polis untuk tindakan susulan terhadap pimpinan pembangkang yang terlibat dalam himpunan tersebut. Tentunya bagi pihak polis, 'terserah' diungkap Najib itu perlu dilahirkan dengan tindakan yang memuaskan hati bos mereka itu.
Pemimpin BN lainnya pula memberikan merit gagal terhadap himpunan tersebut selain didakwa hanya disertai 5,000 orang. Anehnya, 5,000 yang didakwa mereka itu juga dikaitkan dengan kelumpuhan ibu negara itu selain membawa kerugian mencecah RM200 juta. Besar benar penangan 5,000 orang itu.
Malah Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyindir Najib kerana jika sekiranya hanya 5,000 orang berhimpun masakan beliau menawarkan sebuah tempat besar iaitu stadium. Sebenarnya memadai dengan sebuah dewan. Tawaran Najib itu juga ditempelak Mahfuz kerana permohonan sedemikian pernah diajukan tetapi tidak juga dibenarkan mereka. Malah sekiranya Mansuh gagal, kenapa para pemimpin BN begitu galak mengulasnya?

Siapa sebenarnya dalang?

Para pemimpin Pakatan Rakyat kata Hishamuddin akan disiasat sejauh mana 'mendalangi' himpunan tersebut. Tidak pastilah sejauh mana kamus dewan yang Hishamuddin miliki mentafsirkan maksud 'dalang'.
Bagaimana pula dengan banyak kebobrokan yang berlaku dalam negara dipimpin 50 tahun BN ini? Siapakah dalang semua itu? Yang pasti, setelah gagal menangani Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Hishamuddin tidak akan mengerti maksud 'dalang'.
Hanya rakyat dan pemimpin berjiwa rakyat sahaja mengenal 'dalang'. 'Dalang' bukan sahaja dibenci, tetapi juga cuba dijatuhkan oleh rakyat secara demokrasi kerana membiarkan negara diurustadbir secara 'dalang', bukan sepertimana 'dalang' yang memperalatkan kekuatan dan kekuasaan secara 'dalang' demokrasi.

Himpunan Mansuh ISA: Polis bertindak keterlaluan, tak ikut SOP - Salahuddin Ayob



MUQADDIMMAH: Dengan mudah PDRM menyalahkan penyokong GMI enggan bersurai dan mengadakan perhimpunan haram. Namun, Akta Polis yang membelenggu serta sikap kerajaan yang anti perhimpunan aman, menyebabkan rakyat bangkit menyuarakan rasa tidak puashati mereka. Tetapi, penyokong anti-ISA, 1 Ogos lalu diligan bagaikan penjenayah dengan tembakan bertubi-tubi gas pemedih mata dan semburan aiar tajam water cannon. Adakah ini SOP polis seperti dakwaan Tan Sri Musa Hassan? Mengapa perlu beriya-iya sangat untuk halang Deklarasi Rakyat tiba ke pangkuan Yang Dipertua Agung? Ikuti interbiu eksklusif TARMIZI MOHD JAM bersama ketua komander Himpunan Mansuh Isa PAS yang juga Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di rumahnya, di Taman Melewar.

Boleh anggarkan jumlah penyokong Himpunan Mansuh ISA, 1 Ogos lalu? Macam mana kerjasama parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan NGO?

SALAHUDDIN AYUB: Saya menganggarkan tidak kurang dari 50,000 orang telah bagi sokongan untuk memansuhkan ISA ini. Saya yakin kalau tidak ada halangan serius polis yang mengambil tindakan seawal jam tiga pagi pada hari itu, himpunan lebih berjaya.
Tidak ada masalah untuk menghimpunkan lebih dari 100,000 peserta demonstrasi sebagaimana yang kita telah rancangkan. Dan saya sebagai komander mengucapkan terima kasih terutama kepada rakyat Malaysia yang begitu prihatin terutama terhadap isu ISA ini tanpa mengira bangsa dan agama yang telah menunjukkan komitmen mereka.
Saya juga mengucapkan syabas kepada GMI sendiri yang menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang ingin melihat pemansuhan kepada ISA ini. Dokongan yang diberikan oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan KeADILan ini telah membuktikan dokongan yang kuat.
Itu telah dapat dijelmakan dengan kehadiran mereka 1 Ogos lepas dan sama-sama merasakan tembakan gas dan sama-sama merasakan betapa peritnya kita dalam perhimpunan tersebut. Dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli PAS serta pendukung parti lain amnya.
Saya melihat kesetiaan mereka kepada parti begitu membanggakan. Setiap negeri, kawasan dan cawangan telah menghantar wakil mereka ke ibu kota untuk menjayakan himpunan ini. Terima kasih kepada semua NGO yang telah memainkan peranan yang besar dalam menjayakan himpunan. Jadi, saya rasa tanpa komitmen semua pihak ini, kita tidak mungkin dapat menyaksikan himpunan seperti ini dapat dijayakan.

Kekangan pihak polis menyebabkan Deklarasi Rakyat tidak dapat disampaikan kepada Istana Negara. Perhimpunan aman dibenarkan oleh Perlembagaan tetapi Akta Polis yang lebih kecil daripada Perlembagaan telah menafikan perkara ini. Bagaimana sebenarnya boleh kita katakan tentang "perhimpunan aman" seperti yang termaktub dalam perlembagaan?

Akta Polis yang diwujudkan sebenarnya, mengikut pandangan pakar-pakar perundangan merupakan ultra-vires. Ini merupakan satu akta yang diwujudkan bercanggah dengan roh Perlembagaan itu sendiri.
Artikel 10 yang memberikan jaminan tentang hak kebebasan, hak bersuara dan hak berhimpun itu adalah jelas. Apa yang disyaratkan oleh Perlembagaan, mesti dalam keadaan aman. Perhimpuanan aman itu yang dipentingkan dan dipegang oleh Perlembagaan.
Pengalaman PAS dan Pakatan Rakyat dalam menganjurkan perhimpunan, saya ambil perhimpunan terdekat iaitu perhimpunan Bersih dan Mansuhkan PPSMI termasuk ISA. Kita telah buktikan kejayaan himpunan itu aman.
Kita telah berjaya mengotakan janji untuk wujudkan keamanan itu. Ini menyakitkan hati banyak pihak kerana himpunan aman ini tercetus penuh santai bersama keluarga dan anak-anak.

Adakah jaminan aman ini menyebabkan rakyat berduyun-duyun menyokong?

Ya. Mereka datang kerana jaminan keamanan itu. Saya sebut sebagai komander tentang tanggungjawab sebagaimana Himpunan Bersih yang dipimpin oleh Hj Mohamad Sabu juga dibuktikan dalam demonstrasi yang aman. Tetapi apa yang menyedihkan kita adalah tindakan pihak Polis Diraja Malaysia yang semacam diarahkan oleh pimpinan-pimpinan Barisan Nasional.
Mereka begitu angkuh mahu terus mengekalkan akta zalim ini yang sekali lagi mereka gunakan polis untuk kepentingan politik mereka. Saya rasa tanpa kehadiran pihak polis yang terpaksa menggunakan gas dan kekerasan, perhimpunan itu dapat berlangsung dengan aman dan kita dapat berarak ke Istana Negara dengan aman.
Tetapi apa yang kita saksikan, polis mengepung polis semua jalan ke luar di lokasi-lokasi yang kita telah tetapkan seperti di Sogo dan Masjid Jamek. Mereka kepung dan menembak dengan gas. Itu yang berlaku.
Di sini saya tekankan aspek aman itu akan terus kita kekalkan dan kita jadikan sebagai keutamaan kita. Dan sekiranya polis tidak bertindak walaupun Ketua Polis Negara mengatakan mengenai Standart Operation Procedure (SOP) itu sebenarnya ditentukan atas arahan BN dan bukan SOP dalam konteks yang kita bincangkan tadi iaitu menterjemahkan Artikel 10 mengenai hak berhimpun dan bersuara.

Tapi gambaran yang cuba polis buktikan ialah bagaimana himpunan tersebut diandaikan boleh mencetuskan huru hara. Apa pandangan saudara tentang tindakan polis dalam mengekang himpunan ini?

Jika kita melihat SOP dalam pasukan polis di negara-negara yang maju dan negara yang memang menjadikan demokrasi sebagai prinsip yang mereka perjuangkan, pernah berlaku himpunan yang lebih besar daripada itu di Eropah dan di Britain, ratusan ribu malahan jutaan rakyat menyertai himpunan.
Tetapi ia berlaku dengan aman. Aman dalam konteks polis benar-benar mengawal keamanan. Polis hanya menjalankan tanggung jawab memastikan tidak ada peserta-peserta melakukan provokasi. Polis memastikan tidak ada kerosakan harta benda awam. Polis hanya berkawal dan menentukan tidak ada pergaduhan yang berlaku yang dicetuskan oleh peserta.

Adakah SOP di sini sama?

Itu SOP tugas polis di negara maju yang mempraktik ketulenan demokrasi. Tetapi di negara kita, polis yang memulakan segala-galanya. Mengadakan terlalu banyak sekatan jalan raya di ibukota, ini tidak munasabah. Hampir semua jalan masuk ke ibukota diadakan sekatan jalan raya.
Dan apabila mereka memulakan tangkapan awal serta menembak gas pemedih mata tanpa ada satu prosedur yang jelas, adakah ini ikut SOP? Jika PDRM kita menjalankan tugas seumpama SOP di negara maju dan negara demokrasi lain, saya rasa kejadian 1 Ogos itu tidak akan berlaku.
Demonstrasi sewaktu bantahan karikatur hina Rasulullah SAW di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan kemudian ke Kedutaan Amerika berjalan aman. Polis benarkan dan mereka mengawal. Lebih 100 ribu turun. Ia dilakukan tanpa provokasi polis. Ini membuktikan perhimpunan boleh dilakukan secara aman. Jadi dalam Himpunan Mansuh ISA ini, polis buat provokasi...

Itu bukti terbaik yang cukup 'emperical'. Tambah FRU, polis trafik mengawal lalu lintas dan kita berarak dengan aman. Dan tidak ada satu pun kedai ditutup sepanjang perhimpunan tersebut. Polis boleh menggunakan media massa menyatakan kerjasama mereka dalam perhimpunan aman itu.
Satu lagi perhimpunan besar yang saya saksikan walaupun polis hadir tetapi mereka memberikan masa yang cukup. Demonstrasi yang dipimpin oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor di Dataran Merdeka. Isu penyembelihan rakyat Bosnia Herzogovina pada 1992.
Waktu itu hampir 60,000 rakyat bersembahyang di Dataran Merdeka serta berdoa. Polis tidak melepaskan gas pemedih mata dan ia berlaku dengan aman. Ini bukti jika polis bertindak dengan SOP yang standart, maka ia tidak akan menimbulkan masalah.
Saya juga ingin menambah dalam beberapa perhimpunan besar, kita telah berjaya menampilkan pasukan Unit Amal yang memainkan peranan yang cukup penting dan penuh disiplin serta mendapat pujian daripada pelbagai pihak.
Kita telah menyaksikan bagaimana Unit Amal ini cukup berjaya mengawal keselamatan pihak kita daripada mencetuskans ebarang provokasi. Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap anggota Unit Amal.

Media massa yang dikuasai BN gambarkan himpunan kali ini telah cetuskan huru hara. Gambaran buruk ini menunjukkan penganjur tidak bertanggung jawab serta menyebabkan kesesakan lalu lintas, peniaga terpaksa tutup kedai serta banyak lagi komen yang menunjukkan GMI bersalah. Bolehkah kita katakan perkara ini satu pembuktian palsu polis terhadap sesuatu perhimpunan aman?

Saya memang bersetuju dengan pandangan itu. Dan saya berlaku adil. Untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan itu kepada pihak polis, kita tidak sampai ke tahap itu. Polis akan bertindak mengikut arahan politik BN.
Isu sebenarnya ialah apabila media arus perdana menyiarkan gambar seperti ini atau mereka mempamerkan satu persembahan mereka yang menggambarkan betapa buruk gambaran demonstrasi tersebut. Ia berasaskan rasa terdesak dengan desakan untuk menghapuskan ISA.
Tekanan-tekanan yang mereka terpaksa hadapi daripada rakan-rakan BN sendiri. MCA dan Gerakan turut menghantar memorandum kepada Yang DiPertuan Agung. Jadi, di kalangan komponen BN sendiri, yang mahukan ISA dihapuskan ditambah dengan kehadiran tidak kurang 50,000 orang dalam perhimpunan itu. Najib cukup berasa tertekan dan saya yakin akhirnya mereka terpaksa menggunakan media mainstream untuk gambarkan sesuatu yang buruk tentang apa yang berlaku 1 Ogos itu.

Sekiranya sekatan jalan raya dibuat di tempat-tempat yang sama pada hari tiada demontrasipun, saja-saja buat, Kuala Lumpur pasti akan lumpuh. Sebab terlalu banyak sekatan dan lencong yang boleh mengundang kesesakan lalu lintas yang melampau.

Sekiranya berlaku sekatan dan lencongan bukan disebabkan adanya demonstrasi, seperti kejadian tanah runtuh atau banjir kilat serta pembinaan jalan di dua nadi di Kuala Lumpur iaitu di Lebuhraya Mahameru dan Jalan Kuching, kesasakn pasti terjadi. Di dua tempat ini jika berlaku musibah bukan angkara demonstrasi sekalipun, Kuala Lumpur akan sesak dan lumpuh.
Ini bermakna polis sebenarnya cuba mempengaruhi umum kononnya Kuala Lumpur lumpuh akibat demontrasi hanya dengan membanyakkan sekatan dan lencongan jalan raya. Sedangkan jika tidak ada demonstrasi pun, waktu hujan lebat akan berlaku kesesakan jalan raya. Jadi, ini satu alasan yang tidak munasabah diberikan pihak polis.

Adakah sekiranya jika polis mengawal keselamatan mengikut prosiding asal SOP lebih kurang satu atau dua jam, himpunan aman ini boleh disurai dan Deklarasi Rakyat dapat diserahkan kepada Yang DiPertuan Agung?

Saya percaya sesungguhnya jika polis memberikan kerjasama serta memberikan kami masa daripada pukul dua petang sehingga 3. 30 petang atau beri kami satu jam sahaja berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum, saya rasa kita dapat menyelesaikan dengan baik serta menyuraikan perhimpunan tersebut dengan aman.

Cukup sedih, terdapat penyokong anti ISA yang dikepung dari pelbagai sudut serta ditembak dengan gas pemedih mata dan water cannon. Apakah ini ikut SOP?

Objektif mereka ialah memastikan arahan politik menggagalkan himpunan ini. Tujuan polis ialah jangan ada sebarang himpunan. Polis bertindak lebih drastik daripada dua perhimpunan sebelum ini dengan mengepung lokasi yang telah kita isytiharkan itu.
Ia adalah untuk memastikan orang-orang yang disyaki tidak berhimpun di ketiga-tiga lokasi. Itu arahan yang mereka terima untuk menggagalkan perhimpunan ini. Iaitu jangan ada sebarang perhimpunan sebagaimana yang dirancang untuk memenuhi kehendak pimpinan BN.
Sebab itu mereka bersungguh-sungguh melakukan kepungan, tangkapan serta melepaskan gas pemedih mata. Namun begitu, ingin saya tegaskan semangat juang serta rakyat Malaysia agar akta ini dimansuhkan begitu tinggi.

Tapi pesta tembak gas pemedih mata dan sembur water cannon, agak keterlaluan. Masa bersurai singkat. Kawasan dikepung. Ini rasanya bukan ikut SOP?

Ya. Di hadapan Sogo arahan diberikan hanya dua minit. Adakah munasabah SOP cukup dua minit? Polis harus menggunakan budi bicara mereka. Di hadapan Sogo sahaja hampir 20,000 peserta. Dengan tidak menggunakan pembesar suara dan masa diberi dua minit.
Adakah ini munabah? Kemudian terus menembak gas pemedih mata. Ini tidak mengikut SOP. Di tempat yang lain juga polis tidak memberikan masa yang secukupnya untuk bersurai secara aman. Itu juga tidak mengikut SOP sebagaimana yang Ketua Polis Negara sebut.
Apa yang kita minta ialah sekiranya polis memiliki integriti yang benar-benar mereka sebagai Polis DiRaja Malaysia yang akan bertindak mengikut Perlembagaan serta boleh bertindak mengikut Akta Polis dengan memberikan permit himpunan.

Tidak mungkin polis beri permit?

Itu saya tidak pertikai. Dan berikan kami permit. Apa masalahnya untuk polis tidak memberikan kami permit. Kita mempunyai penganjur yang sah, yang memperjelaskan namanya iaitu GMI. Dan polis tahu siapa Pengerusinya iaitu Syed Ibrahim Syed Noh. Dan kita menyatakan siapakah anggota parti yang mendokong GMI iaitu PAS dan KeADILan.
Dan kita juga menyatakan NGO yang bersama dengan GMI iaitu Suaram dan NGO lain. Ada 83 buah NGO. Semua itu kita isytiharkan dan tidak kurang sepuluh sidang akhbar diadakan berkenaan dengan perhimpunan ini.
Dan ini bukan demonstrasi 'underground' dan demonstrasi yang dilakukan di luar undang-undang negara. Semua itu kita isytiharkan dan dipetik oleh mana-mana syarikat media dan blogger. Apa masalahnya untuk polis memberikan kami permit?
Jika kami melanggari sebagaimana dinyatakan dalam permit, polis boleh mengambil tindakan terhadap kami. Jika kita mempunyai rekod menganjurkan perhimpunan yang mengganggu ketenteraman awam serta membahayakan negara, polis boleh bertindak mengikut undang-undang yang ada.
Jadi, kita mempersoalkan kenapa tidak boleh memberikan kami permit, iaitu memohonnya. Polis awal-awal lagi mengatakan permit tidak akan dikeluarkan dan ini perhimpunan haram. Jadi saya mempersoalkan adakah itu sikap profesionalisma yang ingin polis tunjukkan?

Kali ini tahanan paling ramai, cecah 589 orang. Apa yang polis cuba tunjukkan?

Polis sengaja menangkap sesiapa yang mereka syaki dalam jumlah yang ramai untuk tujuan menakutkan. Mungkin modus operandinya adalah sesiapa yang datang berhampiran dengan Kuala Lumpur atau berhasrat menyertai perhimpunan ini, akan rasa takut. Ini mungkin modus operandi mereka.

Media berbahasa Melayu cuba gambarkan adanya tindakan ganas dari penyokong GMI berbanding media Cina yang terbuka dan memaparkan apa yang sebenarnya terjadi di tempat kejadian...

Itulah Umno yang hanya bergantung kepada akhbar Melayu untuk mendokong mereka. Dan ini tidak mengambil sikap untuk mendidik pemikiran rakyat tentang sesuatu itu dengan lebih rasional serta untuk menyelamatkan generasi akan datang daripada akta ini yang terus mencengkam mangsanya.
Tidak seperti sikap akhbar Cina yang lebih terbuka. Dan memang objektif penerbit akhbar Cina untuk mendidik minda dan pemikiran rakyat. Mereka memberikan input serta maklumat yang betul. Sebab itu kita melihat satu pemikiran yang berbeza antara kedua-dua akhbar ini dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.

Nampaknya motivasi pengikut-pengikut GMI terutama generasi muda sangat kuat berbanding 10 tahun yang lalu. Dan kita melihat kekuatan ini satu cabaran baru kepada kerajaan. Kebangkitanan genarasi muda?

Kita melihat dalam tiga himpunan besar yang kita buat iaitu Bersih, Mansuhkan PPSMI serta Mansuh ISA, saya berani menyatakan kira-kira 75 peratus adalah anak muda. Bermakna negara kita mempunyai masa depan yang cukup meyakinkan dan cukup cerah apabila anak-anak muda ini bersama dengan kita.
Indikator ini cukup membanggakan. Suara anak muda tidak lagi bersama dengan BN. Mereka merupakan anak muda yang dinamik, yang melihat sesuatu secara objektif dan anak muda yang mahu menentang kezaliman. Anak muda hari ini adalah mereka berjuang untuk masa depan generasi akan datang.
Ini isyarat yang ditunjukkan anak muda hari ini. Sebab itu Kementerian Pengajian Tinggi mengeluarkan ancaman terhadap IPTA dan IPTS akan mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar yang menyertai demonstrasi tersebut.

Apabila kekangan polis terhadap rakyat dalam perhimpunan tersebut berjaya, Umno dilihat menang. Tetapi ini menimbulkan kemarahan rakyatyang membuak-buak terhadap BN. Apakah imej Umno mampu dipulihkan dengan perkembangan terkini, 1 Ogos lalu?

Apa yang Najib buat untuk meningkatkan imejnya sebagai PM baru yang 'bersih' dan mesra rakyat gagal. Ada sahaja malapetaka yang mengintai Najib di sepanjang lorong-lorong serta simpang politiknya. Kematian Teoh Beng Hock, rasuah, kisal Altantunya. Lepas satu, satu. Ada sahaja badinya Najib ini.
Dan mereka cuba menutup suara dalaman yang kuat dalam BN yang mahu ISA ini dihapuskan. Mereka menggunakan PDRM yang kononnya ingin menggagalkan perhimpunan itu. Dan mereka merasakan mereka menang. Tetapi sebaliknya bagi saya, apa yang Najib buat itu tidak dapat menyembunyikan kebobrokan yang berlaku pada era Najib dan Umno itu sendiri.
Dan saya rasa dengan apa yang kita lakukan itu, satu isyarat yang jelas bahawa Najib dan Umno tidak berupaya lagi untuk memperbaiki imej mereka. Dan saya rasa dengan kebangkitan anak muda ini, inilah masanya kita mengambil alih peranan BN dan Umno.

Laporan sebuah akhbar harian menyebut pembabitan orang Melayu lebih ramai berbanding bangsa lain. Apa yang sebenarnya berlaku?

Ini bukan isu perkauman. Dalam perhimpunan seperti mendiang Teoh dan A. Kugan sebelum ini juga dihadiri oleh kami, saya sendiri serta pimpinan PAS. Jadi kita sedar himpunan ini bukan himpunan perkauman. Saya ingin tanya di sebelah pihak satu lagi (Pro-ISA), di mana mereka? Orang Melayu juga tidak menyokong mereka.
Trend politik Cina tidak turun ke jalan raya. Tetapi dalam masa yang sama pemimpin DAP, Lim Kit Siang juga ada. Sejak merdeka memanglah kita lihat orang Melayu keluar menyatakan bantahan. Tetapi trend orang Cina tidak begitu.
Mereka senyap tapi menggunakan 'silent vote' mereka. Tetapi dengan adanya Lim Kit Siang serta beberapa Ahli Parlimen DAP dan KeADILan, serta kehadiran ahli serta pimpinan Kelab Penyokong PAS, saya rasa tidak timbul soal perkauman.

Adakah kerana isu agama, maka mereka turun menentang?

Saya rasa ahli PAS ini terdidik. Yang penting apabila arahan diberikan pimpinan tertinggi mereka akan patuh. Last draw daripada Harakah sendiri menyatakan Mursyidul Am dan Presiden PAS mengatakan wajib menentang kezaliman. Dan itu yang saya rasa formula terbaik.

Bilakah 10 Deklarasi Rakyat itu akan diserahkan kepada Yang DiPertuan Agung?

Deklarasi tersebut mungkin akan dihantar 10 atau 11 Ogos ini. Kita tidak sampai ke Istana Negara bukan salah kita. Laluan kita untuk ke istana negara dihalang.

Setiausaha GMP Hasni Abas lancar Kelab Mangsa Dasar Penghapusan Jawi













BELUM pernah ditubuhkan orang, atau diasaskan oleh mana-mana organisasi di negara ini suatu kelab dengan keanggotaannya mereka yang jadi mangsa kepada sesuatu kes. Tetapi, sempena Sambutan 35 Tahun PAS Wilayah Persekutuan, Kelab Mangsa Dasar Penghapusan Jawi atau MANGSA telah dilancarkan dalam suasana ceria dan warna-warni.

Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Hasni Abas telah disarungkan t-shirt khas kelab berwarna hitam oleh pengerusi kelab, Tarmizi Mohd Jam sejurus beliau selesai memberi ucapan dan melancarkan kelab.

Sambil diperhatikan oleh Pesuruhajaya PAS, Haji Mohamad Nor Mohd, Ahli Majlis Syura PAS, Ustaz Hassan Shukri, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Salbiah Abdul Wahab, Yang Dipertua PAS, Ishak Surin serta para tetamu Karnival Keluarga Mesra Jawi, Hasni memotong riben bunting sebagai gimik pelancaran Kelab MANGSA.

Lebih 500 hadirin gamat apabila 30 keanggotaan awal kelab melafazkan ikrar untuk sedaya-upaya mempertahan dan memperkasakan tulisan jawi di negara ini. Mereka juga menuntut pihak kerajaan BN memohon maaf kepada genarasi yang dilahirkan antara tahun 1970-an hingga 1990-an yang dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan dalam tulisan jawi. Ikrar diketuai oleh Nasharuddin.

Mohamad Noor dalam ucapannya, kesal dengan tindakan Menteri Pelajaran waktu itu, Tan Sri Khir Johari yang juga Setiausaha Agung Umno yang bertindak menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah. Akibatnya, ramai genarasi selepas itu yang buta jawi dan akhirnya renggang dengan ajaran Islam yang suci.

Perkara yang sama turut diakui oleh Hasni dalam ucapan pelancaran kelab. Oleh kerana terlalu mengikut telunjuk parti-parti bukan Melayu dalam BN ketika itu, Khir Johari terperangkap dan akhirnya menjadi pemimpin Umno tidak popular akibat tindakannya itu. Walhal, Khir sudah dilihat sebagai pemimpin yang berkalibar, wibawa dan bakal pengganti kepada Tunku.

Akibat dasar penghapusan jawi ini, maka Khir dianggap sebagai musuh dan Tun Razak Husein muncul menggantikan Khir, sebagai pemimpin harapan Umno ketika itu.

Mohamad Nor dan Hasni berharap, penubuhan kelab ini mampu menyuntik pelbagai program ke arah pemerkasaan tulisan jawi di negara ini, selain dari melebarkan sayapnya ke seluruh negara.

Pelbagai acara disediakan sepanjang karnival termasuklah jagoton, membaca dan menulis jawi, mewarna, tulisan khat, rawatan kesihatan, jualan jumbo dan banyak lagi. Karnival yang diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya, Mohamad Nor Mohd.

PAS mahu JAWI pantau agenda jahat Umno kongkong masjid




KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali berkata, tidak ada ertinya jika pemilihan ahli jawatankuasa masjid dan surau di Wilayah Persekutuan hanya dimonopoli oleh orang-orang Umno saja, jika masjid dan surau mandom dari sebarang aktiviti yang boleh membangunkan ummat.

Tegasnya, ini tidak selari dengan kehendak kerajaan yang mahukan orang Melayu Islam perlu bersatu padu tetapi dalam masa sama mereka membuat kerja-kerja yang boleh memecah belahkan masyarakat Islam, malah ada yang mengongkong masjid dengan tidak membenarkan pelbagai aktiviti pengimarahan dijalankan.

Beliau yang dihubungi Harakah berkata, dari awal lagi Umno menunjukkan mereka mahu memecah belah masyarakat jika pemilihan AJK masjid dan surau hanya dimonopoli kumpulan mereka.

Dakwanya lagi, di Titiwangsa sendiri beliau diberitahu berlaku pemberian wang untuk kaum wanita datang beramai-ramai memilih calon AJK surau.

"Saya dimaklumkan memang berlaku perkara ini dan nampak sangat mereka sudah dilatih dengan politik wang. Macam mana hendak mengimarahkan masjid dan surau jika mereka yang dipilih itu disebabkan sogokkan wang," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya AJK yang dilantik itu orang yang mengimarahkan masjid bukannya kerana mewakili politik tertentu.

Baru-baru ini Badan Bertindak Imarah Masjid Surau Wilayah Persekutuan (Imarah) yang diketuai Haji Ishak Surin telah menyerahkan memorandum kepada Pengarah Jawi berhubung dengan perlantikan AJK masjid seluruh masjid Wilayah Persekutuan bagi sesi terbaru yang didakwa mendapat campurtangan Umno.

Pada 20 Julai lalu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Syed Ali Al-Habshee dipetik sebuah akhbar menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu Dr Lo'Lo berkata, bagi perlantikan AJK surau atau masjid tidak perlu dikuasai parti-parti politik sebaliknya orang yang dilantik itu perlu dipilih daripada mereka yang benar-benar memakmurkan masjid.

"Saya tidak kisah Umno, PAS atau 'non partisan' semuanya boleh pegang jawatan asalkan mereka aktif dan selalu ke masjid. Yang penting mereka mesti menjalankan tugas dan amanah mengikut arahan sewajarnya," katanya.

Namun, apa yang berlaku AJK yang dipilih itu ada yang jarang ke masjid tetapi dipilih kerana politik wang ataupun pemimpin Umno setempat. Pemilihan orang-orang seperti ini ujarnya amat tidak adil dan jelas berlaku permainan politik.

Oleh kerana itu, Dr Lo Lo mahu pemilihan AJK masjid hendaklah ditentukan ahli khariah dan dipantau sendiri pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).

"Pergi Jahanam Umno!" - Tok Guru Nik Aziz pertahan diri

KUALA LUMPUR: Perkataan 'Pergi jahanamlah Umno' yang keluar daripada mulut Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tindakbalas serangan bertali arus yang dihalakan kepada beliau kononnya beliau inginkan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan menegaskan Umno kelihatan mengelumpur kesakitan akibat 'bisa serangan' daripada Murshidul Am PAS itu walaupun serangan itu sesekali, berbanding Tok Guru Nik Abdul Aziz yang sudah 19 tahun dizalimi.

"Seluruh media Umno dan BN sejak dulu menyerang beliau, sementara beliau tidak mempunyai media secukupnya untuk menjawab segala serangan tersebut. Kerajaan Pusat tekan dan tindas kerajaan pimpinannya.

"Umno memenjarakan anaknya selama enam tahun tanpa pernah dibuktikan sebarang kesalahan di mahkamah. Sedangkan beliau tidak mampu untuk memenjarakan anak-anak pimpinan Umno biarpun untuk enam minit. Maka apa yang mampu Tok Guru katakan ialah 'Pergi Jahanam Umno!'," tegasnya.

Jelasnya, sepanjang tempoh itu Tok Guru Nik Abdul Aziz mampu bertahan dan menyerap segala tekanan yang dibebankan ke atasnya. Namun jiwanya kental, fikirannya berakal dan hatinya cekal yang membuatkan musuh seperti kehilangan akal.

Tambahnya, pandangan pimpinan Umno yang menyifatkan Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai seorang yang bongkak serta bukan pejuang sebenar kerana mereka tidak pernah dizalimi serta tidak pernah merasai penderitaan teruk sebagaimana yang dialami oleh Tok Guru Nik Aziz.

Justeru itu katanya, mereka tidak boleh menerima kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz sanggup berkata demikian.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib berpendapat kenyataan Tok Guru Nik Aziz itu ditujukan kepada mereka yang mengamalkan dasar yang bercanggah dengan Islam.

"Iblis di dalam al-Quran dikatakan bongkak kerana ia menyanggah arahan Allah. Bahkan dikatakan 'Laknatullah' kerana melanggar arahan Allah. Begitu juga pihak lain yang melanggar arahan Allah itulah kedudukan mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Baling sewaktu dihubungi Harakah.

Tambahnya lagi, apa yang ditegaskan oleh Tok Guru Nik Aziz itu juga menggambarkan negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat juga menghadapi tekanan malahan tanda tangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga tidak diterima oleh kebanyakan agensi kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terus mempertahankan kenyataannya berhubung pendiriannya untuk menolak sebarang kerjasama dengan Umno apabila beliau menyatakan dengan tegas, ‘Pergi jahanamlah Umno’.

Tok Guru Nik Aziz menegaskan, kenyataan itu diluahkan untuk mempertahankan dirinya ekoran sikap pemimpin Umno yang kini memburuk-burukkan dan menghina namanya.

“Mereka sibuk dengan kenyataan saya yang kata jahanam. Mereka tak kira tindakan mereka yang memburuk-burukkan dan menghina saya. Siapa kata seorang tok guru tak sepatutnya mengeluarkan perkataan jahanam. Dalam al-Quran ada, nabi pun ada sebut perkataan-perkataan seperti itu,” katanya.

PAS ucap takziah kepada keluarga Adun Permatang Pasir













KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir di atas pemergian ADUNnya, Ustaz Dato' Hamdan Abdul Rahman disahkan meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara, 31 Julai lalu.

Demikian satu kenyataaan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Dato' Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada media.

Katanya, pemergian allahyarham bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarganya dan penduduk Dun Permatang Pasir, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung gerakan Islam, khasnya PAS.

Allahyarham Ustaz Dato' Hamdan adalah seorang pejuang gigih yang telah lama berkhidmat kepada gerakan Islam dalam pelbagai peringkat kepemimpinan.

Selain pernah memimpin PAS Pulau Pinang selama 11 tahun, beliau turut aktif dalam beberapa gerakan dakwah termasuk ABIM pada 1970-an. Beliau juga merupakan aktivis sosial yang cemerlang sehingga diberi kepercayaan berada dalam kepimpinan PEMADAM Pulau Pinang pada satu ketika dahulu.

Allahyarham yang baru sahaja menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato’ pada 11 Julai lalu dari Kerajaan pulau Pinang merupakan ADUN Permatang pasir tiga penggal iaitu sejak tahun 1999 hingga sekarang. Beliau juga sebelumnya adalah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang hingga tahun 2003.

Sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa, allahyarham pernah berkhidmat sebagai Guru Bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah dari tahun 1965–1966, kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Pentadbir dalam Kerajaan Negeri Kedah mulai tahun 1966 sehingga 1977 dan jawatan terakhir beliau dalam kerajaan adalah Pegawai Pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja Malaysia dari tahun 1977 sehingga 1983.

"Berkat komitmen berterusan ini, allahyarham telah dipilih oleh rakyat Permatang Pasir untuk menjadi wakil rakyat sejak dari tahun 1999 lagi," ujar beliau.

Ustaz Hadi menyifatkan allahyarham sebagai seorang pemimpin yang tawaduk kerana tidak suka menonjolkan diri walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Selain mempunyai kelulusan pendidikan Inggeris di peringkat Senior Cambridge, beliau juga adalah lulusan Rubu' Thanawi dalam bidang agama serta beberapa kali mengikuti kursus dalam pengurusan kastam.

Katanya, sumbangan beliau juga sangat besar kepada negara kerana beliau pernah berkhidmat dalam Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, sebelum aktif dalam politik. .

"Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai dan penduduk Permatang Pasir dapat bersabar dengan ketentuan Ilahi ini. Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, Insya Allah," ujar Ustaz Hadi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan kegigihan dan kerja kuat allahyarham untuk Islam, rakyat dan PAS menjadi contoh ikutan ahli-ahli PAS yang lain di negara ini.

"Marilah kita sama-sama berdoa moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang soleh berkat amal jariahnya sepanjang kehidupan beliau. InsyaAllah PAS bersedia untuk mengekalkan warisan legasi kepimpinan beliau di DUN Permatang Pasir dalam tempoh terdekat," ujar beliau.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebagai penyambung warisan perjuangan beliau.

Wakil rakyat ditaja kongsi gelap, PAS cabar Khir buktikan!


KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan sikap polis yang terlalu dhaif menangani isu-isu yang melibatkan wakil rakyat ditaja oleh kumpulan kongsi gelap tertentu di negara ini, seperti pendedahan penuh maklumat seorang penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dan mantan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo yang dilaporkan media tempatan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mahu polis dan pihak berkuasa menyiasat dan bertindak segera, jika benar terdapat kemungkinan tersebut. Bagaimanapun beliau kesal, polis seolah-olah tiada maklumat berkenaan perkara yang didedahkan oleh Khir Toyo dan Kamal Affandi itu.

"Kenapa penganalisa jenayah Kamal Affandi Hashim boleh mendapat maklumat seperti itu? Kenapa pihak polis boleh mendiamkan diri sehingga perkara terperinci seperti ini lebih diketahui oleh Khir dan penganalisa jenayah yang tidak mempunyai kuasa seperti pihak polis?

"Apakah pihak polis tidak buat kerja? Tuduhan yang dibuat pula membabitkan wakil rakyat. Ini satu tuduhan yang berat. Khir dan Kamal Affandi mesti berani mendedahkan identiti wakil rakyat terbabit supaya dapat dibawa kemuka pengadilan. Kita tidak mahu wakil rakyat di negara ini menjadi wakil kongsi gelap," tegas Ustaz Idris kepada Harakah.

Ustaz Idris bimbang, jika perkara ini tidak dibendung, satu hari nanti negara akan diperintah oleh mafia dan tindakan perlu diambil segera bagi membersihkan imej dan reputasi wakil rakyat lain yang tidak terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.

"Tuduhan itu serius sebab wakil rakyat ialah mereka yang membuat undang-undang di Dewan Undangan Negeri atau pun Parlimen. Jadi imej mereka perlu segera dibersihkan. Saya cabar Khir dedahkan bukti tentang apa yang dia dakwa," ujar beliau.

Rabu lalu, Khir mendakwa kebanyakan kegiatan mencuri pasir, perjudian, spa dan pelacuran di Selangor didalangi "gerakan bawah tanah" atau kongsi gelap.

Malah dakwa Khir semasa beliau menjadi MB Selangor dahulu, hanya 700 premis hiburan beroperasi tetapi di bawah kerajaan Pakatan Rakyat hari ini terdapat 4000 pusat hiburan haram.

Sebelum itu, seorang penganalisis jenayah, Kamal Affandi mendedahkan pada sebuah akhbar harian tempatan, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir wakil rakyat ditaja oleh kumpulan-kumpulan kongsi gelap tertentu untuk menghalalkan kegiatan haram di kawasan mereka.

Hasil analisis dan pemerhatian pihaknya mendapati, banyak kegiatan haram antaranya pusat judi, hiburan, spa dan pelacuran tumbuh di kawasan terlibat selepas wakil rakyat berkenaan memenangi pilihan raya.

Menurut Kamal Affandi, tindakan wakil rakyat itu yang menghalalkan kegiatan haram di kawasannya dianggap sebagai membalas jasa golongan berkenaan.

Sehubungan itu, Ustaz Idris mahu pihak kerajaan tidak menyambung kontrak Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara kerana gagal membenteras masalah jenayah yang makin berleluasa di negara ini.

"Kalau benarlah laporan yang dibuat oleh Kamal Affandi dan dakwaan Khir Toyo maka layaklah Tan Sri Musa tidak disambung perkhidmatan kerana gagal membenteraskan jenayah," tegas beliau.

Antara Kartika, ‘Mantoya’ dan kerajaan Malaysia yang Islamik?

ADA beberapa pemerhatian dan kesimpulan dapat dibuat ekoran berlangsungnya perbahasan agak hangat mengenai isu hukuman sebat ke atas seorang pesalah meminum arak baru-baru ini.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu, menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap model sambilan dari Sungai Siput, Perak, Kartika Sari Dewi Shukarno. Beliau didapati bersalah atas dakwaan meminum arak di sebuah resort di Cherating, Pahang, pada 11 Julai 2007.

Difahamkan hukuman enam sebatan, denda RM5,000 dan penjara tiga tahun adalah hukuman maksimum diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah seluruh negara di bawah Akta Mahkamah Syariah. Kartika dikatakan wanita pertama di negara ini dijatuhi hukuman maksimum itu.

Keputusan itu mengundang pertikaian beberapa pihak. Seorang menteri bagi hal ehwal wanita dilaporkan terkejut dengan tindakan hakim, terutama membabitkan hukuman sebat itu.

Beberapa pihak lain turut melontarkan pandangan mereka, menerusi media cetak dan siber. Ada hujah bersandarkan undang-undang, ada yang merujuk hak asasi manusia. Ada pula menggunakan logik akal. Tidak kurang juga menghuraikannya dari sudut agama. Segala perbahasan pro dan kontra itu membawa kepada beberapa pemerhatian dan kesimpulan.

Pertama, umat Islam tidak harus terkeliru mengatakan hukum digunapakai dalam memutuskan kes tersebut adalah hukum Islam. Meski pun dinamakan hukum syariah, ia sebenarnya masih jauh dari menepati syariat Islam sebenar.

Menurut hukum Islam, peminum arak hendaklah disebat. Jumlah maksimum pernah dilaksanakan Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Abu Bakar ialah 40 sebatan. Saidina Umar pula menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan.

Jumlah maksimum enam sebatan dalam undang-undang syariah Malaysia masih terlalu jauh untuk menyamai apa yang dimaktubkan dalam hukum hudud Allah. Ertinya, pelaksanaannya tidak boleh dijadikan bukti sudah menyempurnakan tuntutan pelaksanaan hukum Islam sebenar. Bagaimana pun dari segi semangat pelaksanaannya, ia suatu pendekatan dialukan.

Kedua, hukuman itu dibantah orang Islam dan bukan Islam. Kalangan bukan Islam selalunya atas hujah hak asasi manusia. Ada pun bagi yang Islam, apakah penentangan mereka atas kemanusiaan juga? Ataukah memang dengan niat membantah pelaksanaan hukum Islam (mengambil kira fahaman mereka kononnya kanun syariah adalah hukum Islam)?

Jika atas niat menentang pelaksanaan hukum Islam, tidakkah itu sudah menjebak diri kepada pertikaian akidah?

Kebetulan pula seminggu-dua ini umat Islam negara kita tiba-tiba menzahirkan sikap sangat prihatin terhadap hukum Islam. Gara-gara seorang pemimpin politik pembangkang Islam memegang lilin dalam satu sidang media mengenai kematian kontroversi seorang pemuda Cina, seluruh negara mempertikaikan perbuatan beliau dari sudut akidah.

Malah para pemimpin yang selama ini tidak mengambi berat pelanggaran hukum Tuhan yang berleluasa dalam pemerintahan mereka sendiri pun tiba-tiba begitu beriya-iya mahu tahu apa pandangan dan hukum Islam mengenai perbuatan memegang lilin itu.

Mengambil semangat positif mereka yang begitu prihatin terhadap hukum Islam dalam kes lilin itu, maka elok juga ditanya apa hukumnya bagi seorang Islam membantah hukuman sebat pesalah meminum arak jika ia di atas hasrat membantah pelaksanaan hukum Islam?

Apakah perbuatan itu tidak menyentuh soal akidahnya? Kita rasa itu juga perlukan penjelasan dan penerangan para ulama dan mufti.

Ketiga, wujud salah faham ketara berhubung kaedah pelaksanaan hukum sebat itu. Dalam hal ini, pendekatan diambil sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Ahad (26 Julai) lalu wajar dipuji.

Ia menyiarkan dua kumpulan gambar urutan pergerakan tangan penyebat, satu untuk pesalah sivil dan satu pesalah syariah. Perbezaannya ketara, bukan sahaja pada saiz rotan digunakan, malah teknik dan kekuatan hayunan ketika menyebat.

Keempat, sepertimana diharapkan Kartika sendiri, hukuman ke atasnya akan menyedarkan dirinya dan pihak lain agar tidak mengulangi kesalahan sama. Kita pula mengharapkan pihak yang melakukan kesalahan serupa dikenakan hukuman sama, sebagai pengajaran kepada umat Islam lain.

Ya lah, bukankah kita kerap baca cerita artis terlibat kemalangan dalam perjalanan pulang dari disko? Ada juga kes pergaduhan antara personaliti tersohor di luar bar. Itu hanyalah secebis contoh perlakuan buruk orang terkenal yang dikaitkan dengan pengaruh alkohol.

Satu contoh klasik, ada seorang menteri besar ke majlis rasmi kerajaan terhoyong-hayang memakain pakaian “Mantoya”. Mungkin wajar ditanyakan, mengapa hanya Kartika diseret ke mahkamah? Mengapa pembesar mabuk yang disaksikan ratusan mata itu tidak didenda dan disebat sama?

Kelima, kes Kartika membuka ruang kepada kita merenung betapa ia sebenarnya hanyalah satu titik kecil dalam lautan hitam pelanggaran hukum Tuhan, khususnya berkaitan pengambilan arak.

Contohnya, sepertimana ditegaskan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, sudah sampai masanya pihak berkuasa di Malaysia ‘menyebat’ Pengurus MAS yang menyebabkan semua mereka yang berada dalam satu-satu penerbangan terlibat secara langsung dengan arak.

“Begitu juga perlu ‘disebat’ pihak terbabit (Umno) yang berpuluh-puluh tahun membiarkan orang-orang Islam terlibat secara langsung dengan arak,” katanya.

Najib lebih utamakan politik dari hapuskan selesema babi


SETAKAT rencana ini ditulis, sudah berlaku empat kematian akibat selesema babi atau influenza A (H1N1), tetapi tidak kedengaran kenyataan keras Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, ke arah melaksanakan ‘perintah berkurung’ dalam usaha pencegahan habis-habisan.

Jika setakat kenyataan demi kenyataan Menteri Kesihatan, Dato' Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican untuk mengumumkan penambahan jumlah mereka yang dijangkiti, ia tidak mampu untuk memberi kesedaran secukupnya kepada rakyat.

Jika perlu satu langkah paling drastik hendaklah dimulakan, supaya usaha berjaga-jaga dan langkah-langkah pencegahan optimum dapat dilaksanakan segera. Negara ini bukan tidak pernah dilanda wabak seperti ini tetapi dalam kes H1N1, kerajaan dilihat seperti hilang pertimbangan dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Rakyat seperti tidak memperdulikan. Orang ramai seperti tidak terkesan dan lebih parah lagi, publisiti media yang diterima mereka yang bertanggungjawab terhadap isu ini seperti sia-sia.

Perdana Menteri perlu menangguhkan buat sementara semua cerita 1Malaysia, NKRA atau KPI jika wabak ini menjadi semakin serius. Malaysia tidak memerlukan kehadiran Dato' (Melaka) Sharukh Khan untuk menyumbang kepada YAKEB jika keadaan kesihatan rakyat terancam.

Apakah sebenarnya keutamaan sekarang? Adakah kita mahu terus mewar-warkan slogan demi slogan sedangkan wabak H1N1 tidak berjaya dibendung. Yang ada, sepanduk di sekitar hospital melarang kanak-kanak di bawah 12 tahun melawat pesakit di dalam wad. Pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk pelawat sendiri tidak ‘bertopeng muka’ bagi menunjukkan betapa seriusnya langkah-langkah pencegahan.

Berita penutupan dan perubahan cuti semester beberapa IPTA sudah membuktikan wabak ini menular dengan begitu pantas. Namun, pelajar-pelajar yang diberikan cuti ini ke mana? Adakah mereka ‘berkuratin’ di rumah masing-masing atau mereka merayau-rayau menghabiskan cuti mereka itu?

Apa yang lebih menyedihkan, ketika Malaysia dilanda wabak ini, Kementerian Belia dan Sukan ‘membenarkan’ pasukan Manchester United mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Malaysia.

Penonton yang membanjiri stadium khabarnya mencecah 80 ribu. Apakah ketika ini Kementerian Kesihatan melalui menterinya, Tiong Lai dan Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Ismail ada memberi ‘pesanan’ kepada Kementerian Belia dan Sukan bahawa ‘wabak H1N1’ sedang melanda Malaysia?

Rakyat juga mendengar dan menyaksikan perhimpunan Jemaah Tablig di Nilai yang khabarnya berjumlah 200 ribu semuanya. Ketika itu wabak ini sedang menular. Walaupun tiada bukti bahawa mereka ini membawa (mengimpot) virus ini tetapi apakah langkah-langkah pencegahan yang dilakukan ketika itu?

Di Malaysia, ramai yang melihat politik lebih penting dari mencegah penyakit yang sedang menyerang. Di negara ini juga orang lebih suka bercakap ‘mencari pengundi muda’ lebih penting dari nasib kanak-kanak sekolah yang terpaksa ‘diberi cuti mengejut’ kerana serangan wabak ini.

Kakitangan kementerian Kesihatan sendiri tidak menunjukkan betapa wabak ini sedang serius dan mereka tidak memakain penutup mulut dan hidung seperti suatu ketika dahulu apabila jerebu menyerang Malaysia.

Mungkin, budaya orang kita, jerebu mereka nampak hingga menyebabkan mereka sanggup bertopeng tetapi H1N1 hanya mereka dengar dan menonton TV sahaja yang menyebabkan mereka anggap ia sebagai tidak serius.

Terbaru Universiti Sains Malaysia (USM) menangguhkan kuliah pengajian kejuruteraan di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal selama tujuh hari.

Begitu juga dua IKM di Kedah, iaitu IKM Alor Setar dan Sik ditutup sementara, sementapa ILP di Ledang dan UPSI di Tanjung Malim, Politeknik, IKBN, 4 sekolah, 2 kem PLKN di Negeri Sembilan diberitakan turut diberi pelepasan kerana wabak ini.

Ini mengambarkan bahawa wabak virus selsema babi ini sudah cukup serius. Namun, tidak ada satu arahan ‘serius’ dari Perdana Menteri dilihat mengenai perkara ini jika dibandingkan dengan gembar-gembur NKRA, 1Malaysia dan KPI.

Cukuplah! Jangan sampai Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga suatu masa nanti terpaksa ditutup kerana wabak ini baru suatu langkah drastik mahu diambil, kerana ketika itu mungkin ia sudah terlambat. Lebih membimbangkan, ramai yang risau jika Kementerian Kesihatan juga akhirnya nanti diserang wabak ini hingga menyebabkan kenyataan-kenyataan yang saban hari dibuat tidak lagi mampu dibuat jika langkah-langkah pencegahan hanya mahu dilaksanakan secara ‘kenyataan-kenyataan santai’ seperti mengumumkan keputusan peperiksaan sekolah rendah.

Ketika Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mengeluarkan kenyataan bahawa semua peperiksaan diteruskan walaupun jangkitan influenza A semakin membimbangkan seolah-olah ‘ada yang bercanggah’ dengan kehendak Kementerian Kesihatan.

Jika bapa mangsa wabak ini, Ramli Abdul Aziz, 45 tidak menyangka demam anaknya Nur Syazwana yang meninggal akibat jangkitan ini ia masih boleh dimaafkan tetapi Ramli mungkin tidak mengambil berat tanda-tanda awal demam anaknya atau dia tidak faham apakah yang memerlukan dia perlu segera membawa anak ke hospital untuk mendapat rawatan.

Dari pengalaman sedih Ramli, membuktikan pihak kerajaan telah gagal memberi kefahaman kepada rakyat jelata mengenai tanda-tanda awal serangan virus H1N1 ini. Jika rakyat faham, kemungkinan kematian dapat dielakkan walaupun sudah ditakdirkan ajalnya.