KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 10, 2009

Krisis Dun Perak: BN patut bubar segera jika dahulukan rakyat - Mahfuz




KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar berkata, apa yang berlaku di Perak pada 2 September lalu sehingga memaksa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat mengada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sebuah hotel di Ipoh, sebagai krisis berpanjangan yang tidak ada penyelesaian sehingga sekarang.

Tegasnya, ekoran daripada tindakan rampasan kuasa yang dilakukan Barisan Nasional (BN) dan Umno dengan mengenepikan persoalan dan amalan prinsip demokrasi dalam negara ini menjadi sebab utama kemelut terus berlarutan.

Katanya, dengan mengenepikan kuasa rakyat, BN kembali berkuasa secara muslihat tanpa mendapat restu daripada rakyat dalam negeri Perak.

"Oleh sebab itu, berlaku krisis yang berlarutan dan mereka tidak boleh menuduh Pakatan Rakyat tidak menghormati kedudukan kerajaan yang ada sekarang.

"Ini kerana pada pandangan kita kedudukan kerajaan BN yang wujud di Perak sekarang ini kerajaan yang boleh dianggap kerajaan haram yang bertentangan dengan amalan dan prinsip demokrasi," katanya semasa dihubungi Harakah.

Rabu lalu, Adun Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Ipoh apabila mereka tidak dibenarkan memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk bersidang.

Persidangan tersebut berlangsung selama dua jam iaitu bermula jam 11.45 pagi dengan dipengerusikan speaker, V Sivakumar.

Seramai 24 Adun Pakatan Rakyat hadir di hotel tersebut manakala tiga orang lagi ditahan polis dan Adun Titi Serong dari PAS, Dr Khalil Idham Lim Abdullah mengerjakan umrah.

Menurut Mahfuz, sebarang pembentukan kerajaan ia bukan saja perlu dilihat keputusan yang diputuskan mahkamah tetapi harus dilihat daripada restu dokongan rakyat secara majoriti kepada parti yang memerintah.

Hakikatnya, dalam pilihan raya umum yang lalu, tidak boleh dinafikan restu rakyat kepada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional tidak pernah mendapat restu majoriti untuk membentuk kerajaan.

"Oleh sebab itu kerajaan yang ada sekarang tidak sah dan tidak berhak untuk memerintah. Ini juga bermakna kerajaan Pakatan Rakyat masih kekal kerana mendapat mandat dan restu daripada rakyat," katanya.

Justeru itu tegasnya, menjadi hak kerajaan Pakatan Rakyat untuk meneruskan tanggungjawab yang diberikan rakyat kepada mereka untuk mengadakan sidang Dun walaupun tidak boleh bersidang di Dewan Undangan Negeri.

Tegasnya, Adun Pakatan Rakyat terus menunaikan tanggungjawab mereka biarpun bersidang di hotel pada hari tersebut.

Beliau berkata, apa yang harus dilihat rakyat hari ini ialah kesan yang berpanjangan yang akhirnya tidak menguntungkan rakyat akibat rampasan kuasa yang dilakukan kerajaan BN.

Kini katanya, terserlah BN hanya mementingkan kuasa tanpa melihat kepada soal kepentingan masyarakat dan rakyat di negeri Perak.

Oleh sebab itu kata Ahli Parlimen Pkok Senata itu, sekali lagi beliau berpendapat krisis di Perak tidak ada jalan penyelesaian melainkan pembubaran DUN dengan segera.

"Maknanya BN kena kembali kepada rakyat untuk mendapat restu rakyat. Kalau rakyat merestui mereka dalam pilihan raya semula itu, kita akan terima keputusan itu.

"Jika dalam pilihan raya itu rakyat terus memilih Pakatan Rakyat semua orang harus hormati," ujarnya.

Bagaimana pun katanya, kedegilan BN untuk mengadakan pilihan raya dibayangi rasa bimbang tidak mendapat mandat daripada rakyat. Sebab itu, mereka terus berdegil untuk berkuasa.

Mahfuz menegaskan, sekiranya Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno mahukan ahli politik mengamalkan politik lebih matang maka pemimpin BN sendiri kena menerima keputusan rakyat. BN tidak boleh menyanggahi kehendak rakyat.

Tegasnya lagi, disebabkan keadaan sudah berlarutan sehingga menjadi satu krisis perlembagaan maka muktamadnya BN harus kembali kepada rakyat.

"Sekarang ini kedegilan Najib sendiri dan kedegilan pemimpin Umno dan BN untuk tidak menyerahkan mandat kepada rakyat untuk mereka menentukan," tegasnya.

BN begitu takut untuk mengadakan pilihan raya kerana mereka melihat Pakatan Rakyat memenangi sebanyak 7 kali dalam setiap pilihan diadakan dan terbaru katanya di Permatang Pasir.

Malahnya katanya keputusan yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengekal kerusi Dun Kota Seputeh baru-baru ini sebagai ukuran BN takut kalah. Ini kerana, mereka tahu momentum rakyat bersama dengan Pakatan Rakyat khususnya PAS.

BN sebenarnya takut apa yang menimpa Parti Liberal Demokratik (LDP) yang 54 tahun memerintah Jepun ditolak rakyat, akan turut dialami Umno yang lebih 50 tahun memerintah negara ini.

Tiada ulasan: