KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 10, 2009

Isu Kuil Seksyen 23: PAS kutuk perarakan anti agama di Shah Alam

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk demontrasi yang mengheret kepala lembu berdarah selepas solat Jumaat, 28 Ogos lalu di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam, kononnya tindakan itu dibuat kerana membantah pemindahan tapak Kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.

Demikian ditegaskan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakah.

PAS katanya memandang berat tindakan yang dianggap sebagai provokasi untuk menimbulkan huru-hara dalam negeri Selangor dengan campurtangan tangan-tangan ghaib sebagai satu cara untuk BN merampas tampuk kekuasaan Kerajaan Selangor.

Ustaz Idris menegaskan, PAS sebagai parti yang berpegang dengan prinsip Islam, tetap menghormati kebebasan beragama dan Islam tidak membenarkan umatnya menghina agama lain seperti yang dijelaskan oleh al-Quran dalam surah al-An’am ayat 108 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu maki sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan."

"Menjadi tanda tanya kepada kita. Kenapa perarakan ini, FRU tidak tembak gas pemedih mata? Adakah kerana perarakan ini bukan perarakan aman seperti yang rakyat buat bantah ISA, bantah PPSMI dan himpunan BERSIH?

"Pelik juga. Perarakan yang bersifat perkauman dan penghinaan agama lain diobiarkan sahaja oleh polis. Kenapa polis sudah hilang jantan dalam isu ini? Perkara ini mesti disiasat. Macam mana himpunan yang bersifat perkauman dan penghinaan agama dibiarkan. Ini satu budaya yang tidak sihat," ujar beliau lagi.

Beliau berkata, PAS yakin perkara ini dapat diselesaikan dengan baik melalui perundingan dan musyawarah. Kebijaksanaan Tan Sri Khalid Ibrahim yang menerajui Kerajaan Selangor mampu menyelesaikan isu ini dengan baik.

Ustaz Idris bimbang, Negeri Selangor dharurat ekoran itu tersebut dan ketika itu fungsi kerajaan Pakatan Rakyat akan hilang dan ia ditadbir oleh jawatankuasa yang lain pula, dan akhirnya mengembalikan kuasa BN di negeri ini.

Katanya, dakwaan kononnya pembangkang tidak boleh mentadbir dan memberikan kemajuan di Selangor ternyata meleset dan kini segala khurafat yang mengatakan umno sahaja boleh memerintah sudah berkubur.

Banyak idea ekonomi yang menguntungkan rakyat telah berjaya dilaksanakan, dan memang semua rakyat di Selangor amat terasa perubahan ini, ujarnya lagi.

"Ini bermakna umno sudah jauh di hati rakyat. Lafaz yang patut digunakan ialah sayonara Umno.

"PAS menyeru semua penyokong Pakatan Rakyat diminta bertenang dan kita mengharapkan pihak polis dapat menanggani isu ini secara profesional," tegas beliau.

Tiada ulasan: