KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

PAS Sarawak giat persiapan pilihan raya negeri 2010


KUALA LUMPUR: PAS Sarawak akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan akan berusaha keras untuk memenangi pilihan raya umum ke 13 nanti.

Pesuruhjayanya, Ustaz Othman Musthapa berkata, dalam memburu kemenangan tersebut beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dikenal pasti untuk PAS bertanding dalam pilihan raya negeri yang dijangka pada 2010 ini.

"Insya-Allah PAS akan berusaha meletakkan seberapa ramai calon dan kemungkinan besar kita akan letakkan lebih daripada sepuluh calon untuk pilihan raya negeri akan datang," katanya kepada Harakah.

Beliau berkata, bagi merealisasikan kejayaan tersebut, PAS negeri banyak cawangan ditubuhkan di samping menggerakkan jentera pilihan raya di kawasan-kawasan yang dijangka akan menang.

"Antara yang kita target PAS boleh menang seperti Batang Sadung dan Batang Lupar. Tambahan pula melihat kepada sokongan, tsunami politik sekarang ini beralih kepada Pakatan Rakyat," ujarnya mengulas persiapan PAS Sarawak untuk hadapi pilihan raya negeri yang dijangka tahun depan.

Ustaz Othman berkata, mereka juga berjaya menambahkan bilangan ahli setiap hari dan kini berjaya menubuhkan Kelab Penyokong PAS dari kalangan orang Iban dan Bidayuh.

Kelab tersebut katanya, ditubuh di Batag Lupar dan setakat ini bilangan ahlinya seramai 170 orang.

Bagi merampas kerusi BN di Sarawak, katanya, mereka tidak keseorangan sebaliknya turut dibantu pimpinan PAS Pusat yang sama-sama turun ke Sarawak dan banyak mengisi program untuk persediaan menghadapi pilihan raya ini.

"Kita adakan khusus dan seminar pilihan raya. Kita jemput pimpinan PAS Pusat untuk hadir bersama-sama bagi memberikan input," katanya.

Antara pimpinan PAS Pusat yang turun ke Sarawak termasuklah Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Razak, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Wahid Endut.

Tiada ulasan: