KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 19, 2009

Mengapa ahli parlimen pembangkang didiskriminasikan oleh pemimpin yang kononnya memperjuangkan demokrasi

MUQADIMAH: Ahli parlimen pembangkang terus didiskriminasikan dalam membelanjakan peruntukan Kerajaan Pusat. Akibatnya, mereka terpaksa mengutip derma, cari syarikat-syarikat swasta yang mahu menaja untuk program tertentu di kawasan parlimen mereka. Apakah ini martabat seorang ahli parlimen yang diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya?
Peruntukan yang disalurkan melalui Ketua Bahagian Umno sekali gus menghalang tanggungjawab sebagai ahli parlimen untuk rakyat mereka. Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohammad Husain mengakui mereka didiskriminasi. Ikuti wawancara wartawan, SALMIYAH HARUN bersama beliau di lobi Parlimen.


Peruntukan dari Kerajaan Pusat tidak disalurkan ke tempat yang betul. Keadaan ini sekali gus menyekat usaha dan tanggungjawab Ustaz terhadap rakyat. Jadi, bagaimana Ustaz menangani masalah ini?

Ini menjadi masalah utama kepada mana-mana wakil rakyat pembangkang pada masa ini. Peruntukan kami tak dapat. Agak sukarlah kita hendak jalankan tugas sebab di parlimen kita memerlukan peruntukan yang besar.
Kalau Adun dapat RM500,000. Kita di parlimen sudah tentu lebih besar sikit. Apa yang menjadi masalah peruntukan itu diberi kepada Ketua Umno Bahagian. Jadi kita sebagai wakil rakyat terpaksa mencari sumber kewangan sendiri, sama ada melalui syarikat swasta yang menderma, mencari sponsor atau menjalankan kutipan derma untuk melaksanakan kerja-kerja sebagai wakil rakyat.
Kita terpaksa usaha sendiri untuk dapatkan sumber kewangan. Apa yang jelas, kerajaan BN pada hari ini seolah-olah tidak boleh menerima realiti bahawa kita sudah ramai di parlimen yang sama-sama membangkitkan masalah ini.

Sebagai wakil rakyat, sudah tentu Ustaz mendapat mandat daripada rakyat di Parlimen Pasir Puteh. Apakah tindakan Kerajaan Pusat ini sudah bertentangan dengan slogan mereka 'rakyat didahulukan.."?

Sebagai wakil rakyat kita mempunyai tanggungjawab yang besar. Rakyat yakin dengan kita sebab itulah mereka memberi mandat kepada kita. Apa yang cuba dilakukan kerajaan ini kesannya bukan kepada kita, tetapi rakyat.
Macam rakyat di kawasan saya, yang tidak mendapat peruntukan sudah tentu tidak sama dengan wakil rakyat BN. Apa yang menjadi persoalan mengapa kita perlu mendapat pengesahan daripada Umno?
Inilah masalahnya, apabila saluran yang digunakan tidak betul. Yang menjadi mangsa adalah rakyat. Akhirnya menafikan hak rakyat yang memilih kita dalam pilihan raya. Tindakan Kerajaan Pusat ini telah mencemarkan sistem demokrasi yang mereka laungkan selama ini. Di mana slogan "rakyat di dahulukan, pencapaian di utamakan"?
Kita jangan mendiskriminasikan hak rakyat. Kita sebuah negara demokrasi dan 50 tahun sudah merdeka. Misalnya di Australia kedudukan ketua pembangkang mereka diberi sama taraf dengan ketua kerajaan yang mana mereka diberi peruntukan yang sama dengan pemimpin kerajaan. Ternyata peruntukan untuk setiap pimpinan pembangkang sentiasa ada. Macam mana kita sebuah negara yang dilaungkan sebuah negara demokrasi tetapi tidak wujud pun perkara ini sebagaimana negara-negara lain.

Apakah ini satu tindakan yang cuba di lakukan kerajaan untuk menyekat pembangunan di kawasan parlimen pembangkang?

Saya tidak nafikan. Kalau inilah tindakan mereka memang tidak betullah. Sebagai Kerajaan Pusat sepatutnya perkara ini tidak timbul. Sesiapa yang dipilih menjadi wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan, peruntukan rakyat itu mesti disalurkan. Kami bukannya hendak bolot peruntukan itu. Jangan salurkan kepada kami, salurkan melalui saluran yang betul seperti mana sebelum ini.

Dewan rakyat menolak usul Ahli Parlimen Bandar Kucing, Chong Chieng Jen yang mahukan sebanyak RM10 dipotong dari gaji Timbalan Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohamad Ya'cob, sebagai pengajaran kerana tidak memberi peruntukan kepada parlimen pembangkang. Apa komen YB?

Setakat sepuluh ringgit tu, sikit je... bukannya banyak. Macam kami Ahli Parlimen PAS, potong 25 peratus daripada elaun ahli parlimen. Kami boleh lakukan. Takkan menteri tak boleh yang dapat gaji beribu-ribu nak potong sepuluh ringgit.
Apabila kita desak mahu potong gaji mereka, mereka tidak mahu tetapi, dalam masa yang sama mereka sedar atau tidak mereka boleh menyekat duit rakyat berjuta-juta ringgit. Saya menyokong sepenuhnya usul Bandar Kucing yang mengusulkan 'potong RM10 gaji Timbalan Menteri Kewangan' sebagai satu pengajaran kepada menteri terbabit bahawa mereka telah menafikan hak rakyat yang memilih wakil rakyat mereka khususnya di parlimen pembangkang. Sekali gus mereka menunjukkan sikap yang tidak prihatin terhadap rakyat.

Apa yang patut Kerajaan Pusat lakukan dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini?

Kerajaan Pusat janganlah melihat siapa pemimpin itu. Apa yang pentingnya adalah rakyat. Sama ada pembangkang atau kerajaan itu tidak timbul. Soal kepentingan dan kebajikan rakyat harus diutamakan.
Nampaknya, Kerajaan Pusat sendiri yang mencipta slogan rakyat di dahulukan tetapi dalam masa yang sama menafikankan slogan itu. Apa maknanya? Saya merayu tengoklah kepentingan rakyat, ke tepikan soal pembangkang atau kerajaan. Kembalilah kepada dasar kerajaan yang sebenar.
Saya minta kita gunakan saluran yang betul supaya peruntukan itu sampai kepada rakyat yang sepatutnya. Saya faham peruntukan itu memang tidak disalurkan kepada wakil rakyat, tetapi ikutlah saluran yang betul sebelum ini bukannya melalui Umno Bahagian.

Masjid Beijing di Rantau Panjang cetusan idea kreatif Tok Guru Nik Aziz

DI PANDANG dari jauh seumpama tokong Cina. Bentuk atapnya yang melentik di bahagian hujung betul-betul seperti tokong. Dari jauh bangunan unik itu sudah kelihatan.

Terdapat tujuh bumbung melentik seumpama itu. Tambahan pula warna merah dicatkan di bingkai kayu di bawah atap. Warna terang tersebut juga dilihat di tokong-tokong Cina.

Cuma menara membezakan di antara tokong dan masjid. Menara yang diukir di atasnya seperti serban seorang lelaki. Ia dapat dilihat dari jauh.

Atapnya berwarna hijau tua dan dinding masjid kekuningan. Kaum Tionghua meluah rasa terharu apabila terpandang binaan masjid tersebut.

Mereka mengakui keunikan reka bentuknya tidak pernah disaksikan di negara ini melainkan di China.

Apabila anda memasuki ke ruang solat, ramai yang terpegun. Seni ukuran hasil kerja tangan pengukir dari Uzbekistan cukup mengagumkan. Warna biru muda dan kuning dengan ukiran Timur Tengah tidak puas mata memandang.

Begitu juga mimbar khutbah, sekali lagi terserlah senibina Cina hasil kerja tangan tukang tempatan.

Seorang pelancong Tionghua dari Ipoh berani mengatakan suatu pemikiran baru berjaya dilahirkan di Kelantan.

Siapa yang mencetus idea tersebut. Mungkin ia tidak menjadi kejutan lagi. Itulah idealisme yang ada pada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang ulama yang juga ketua kerajaan.

Pelancong berkenaan kelihatan begitu ghairah merakam gambar Masjid Beijing. Sikap teruja tidak mampu disembunyikan lagi.

Bagi sesetengah orang, melancong ke luar negara sekadar memenuhi impian untuk berseronok dan membeli belah. Sebaliknya lain pula bagi Menteri Besar Kelantan.

Idea baru dicetus ketika pertama kali melawat China semasa awal menerajui kerajaan negeri negeri.

Hari ini idea yang sudah lama dicetus akhirnya menjadi kenyataan. Ia tersergam indah di depan mata sendiri. Tidak perlu lagi perlu ke Beijing untuk bersolat di masjid seumpama tokong Cina.

Perletakan batu asas pembinaan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra disempunakan Sultan Kelantan pada 2004. Selepas enam tahun kemudian masjid tersebut ia berdiri megah di tapak bekas sawah padi seluas lebih tiga ekar. Kedudukannya tidak jauh dari pekan Rantau Panjang.

Sawah tersebut telah ditambun sehingga ke paras kepala. Kerja-kerja menambun mengambil masa agak lama. Di atas tanah itulah didirikan masjid tersebut yang lebih dikenali sebagai Masjid Beijing di kalangan penduduk tempatan.

Kini makin popular pekan Rantau Panjang sebagai destinasi pelancongan utama di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob menjelaskan pembinaan masjid itu mengambil masa agak lama memandangkan atap terpaksa diimport dari negara China.

“Disebabkan bahan binaan terpaksa diimport dari luar negara menyebabkan masjid tersebut mengambil masa untuk disiapkan berbanding jadual asal,” katanya di sini.

Biarpun kelihatan begitu unik dan luar biasa, namun belanja pembinaannya sebanyak RM8.8 juta. Sedangkan peruntukan keseluruhan disediakan kerajaan berjumlah RM10 juta.

Masjid Beijing dilengkapi dengan bilik rawatan, dua kelas fardhu ain, enam unit kedai, dewan makan, perpustakaan dan parkir yang luas.

Masjid berkenaan mulai digunakan sepenuhnya pada Ramadan lalu apabila program Ihya Ramadan disusun sepanjang bulan puasa.

Imam yang menghafal 30 juzuk al Quran mengetuai solat Tarawih. Ustaz Mohd Arif Mohd Salleh, 18 lepasan Madrasah Tahfiz al Quran Darul Riyad bersama Ustaz Mohd Sharif Che Man dari Pusat Kebajikan dan Pengajian al Quran Banggol Kulim dilantik menjadi imam.

Mohd Arif pernah muncul naib johan pertandingan hafazan kategori lima juzuk pada 2005 peringkat kebangsaan.

Beliau melahirkan rasa kagum kerana dipilih menjadi imam di masjid yang begitu unik tersebut.

Pada Ramadan tahun lepas solat Tarawih juga sudah diadakan di masjid berkenaan ketika pembinaan sedang berjalan. Imam ketika itu Cina Muslim, Mohamad Ali yang berasal dari negara China.

Masjid Beijing sekarang diurus jawatankuasa sementara yang dipengerusi Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang. Timbalan pengerusi anggota parlimen Rantau Panjang, Hajah Siti Zailah Mohd Yusof, Kamarulzaman Mat Zain (setiausaha), Wan Hanafi Wan Jaffar (bendahari).

Mohamad berkata, pada Ramadan lalu bilangan jemaah begitu ramai sehingga melimpah ke bahagian luar.

“Tarikan utama penduduk tempatan mendirikan solat di sini kerana bacaan imam dan suara bilal yang begitu lunak,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bilalnya Mat Hassan Abdul Rahman dan Wan Daud Wan Salleh. Selain itu terdapat dua tukang sapu yang berkhidmat sepenuh masa. Terdapat juga dua pengawal keselamatan.

Masjid tersebut juga disedatkan dengan aktiviti agama terutamanya kuliah.

Malam Selasa kuliah oleh Ustaz Khairul Ikwan, malam Rabu (jemaah Tabligh), malam khamis (Ustaz Mustafa) dan malam Sabtu (Ustaz Hamdi).

Mohamad berkata, setiap bulan sebanyak RM4,000 dibelanjakan bagi pengurusan masjid tersebut termasuk elaun imam, bilal dan kakitangan lain.

Wan Hanafi berkata, jumlah sumbangan orang ramai kepada tabung khas masjid sekarang berjumlah RM14,000 yang diwujudkan sejak Ramadan lalu.

Katanya juga jumlah pelancong yang mengunjungi masjid tersebut juga lebih 10,000 orang bermula sejak awal Ramadan lalu.

“Ketika masjid ini sedang dibina pun sudah ramai pelancong yang datang. Mereka datang sambil membeli belah di kawasan bebas cukai di Rantau Panjang,” ujarnya.

Anggota jawatankuasa masjid berkenaan, Mohamad Jusoh pula memberitahu pelancong yang datang termasuk dari Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Perak, Terengganu dan banyak lagi negeri lain.

Manakala dari luar negara termasuk Indonesia, Afrika dan Thailand. Malah katanya, penduduk Cina dari Johor datang dengan sebuah bas bagi melihat dari dekat Masjid Beijing.

Pesara guru, Haji Shamsuddin Yassin, 58 berharap masjid tersebut dijadikan sebagai tempat solat Jumaat pada masa akan datang memandangkan bilangan jemaah semakin ramai.

Beliau juga meluahkan rasa terkilan kepada pihak berkuasa tempatan yang melarang kawasan berdekatan masjid dilekatkan poster mengalu-alukan sesuatu program biar pun dimiliki wakil rakyat.

Sedangkan katanya mesej wakil rakyat kepada masyarakat lebih mudah tersebar apabila dipasang berhampiran masjid, memandangkan bilangan pengunjungnya ramai.

Seorang lagi penduduk, Aris Mahmood, 32 mahu pengurusan masjid berkenaan diletak di bawah jawatankuasa yang dikendalikan sendiri kerajaan negeri.

Mohamad berkata, Masjid Beijing pada perancangannya akan dijadikan sebagai tempat kuliah tetap pada setiap pagi Jumaat seumpama Medan Ilmu di Kota Bharu.

“Masjid ini juga akan dijadikan tempat berkumpul saudara kita yang baru menganut Islam. Dianggarkan terdapat seramai 200 saudara baru di Rantau Panjang. Program tersebut akan dikendalikan dengan kerjasama Perkim Bahagian Kelantan,” katanya.

Keunikan masjid itu dapat dilihat apabila sebuah dokumentasi yang dikendalikan Jakim dan RTM menjadikan masjid itu lokasi penggambarannya.

Masjid Beijing dijangka dirasmikan pada sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan pada Mac tahun depan. Inilah koleksi terbaru keunikan Kelantan selepas Kota rehal di Kota Bharu.

Ternyata ulama berjaya mencipta ketamadunan baru selepas hampir 20 tahun bertapak kukuh di Serambi Mekah.

Bekas PM pula diheret dalam skandal berprofil tinggi PKFZ

Oleh NEO CHEE HUA

KEDUA-DUA bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi diheret ke dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), apabila mereka didakwa mengetahui apa yang berlaku dalam projek tersebut.

Pendedahan ini dilakukan oleh bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang ketika menghadap prosiding yang dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC), menurut laporan PAC terhadap projek pembangunan PKFZ.

Ling menyebut nama Mahathir

Menurut laporan prosiding pada 15 Julai 2009, Ling Liong Sik memaklumkan bahawa kos tanah dan kuasa menentukan nilai tanah tidak berada dalam bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, tetapi pada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Valuation and Property Services Department) di bawah Kementerian Kewangan.

"Saya ingat, kami melalui banyak perbincangan berhubung harga tanah ini. Saya amat jelas dengan ini. Saya memberitahu kepada kabinet banyak kali, kami di Kementerian Pengangkutan hanya untuk menyatakan bahawa kami mahu tanah itu," jelasnya.

Mantan Menteri Pengangkutan ini menyambung,"berhubung dengan kos, penilaian harga, itu bukan fungsi Kementerian Pengangkutan. Kami tidak mempunyai Jabatan Penilaian. Kos dan penilaian adalah masalah yang perlu diselesaikan oleh Kementerian Kewangan. Mereka mempunyai Jabatan Penilaian, kesemuanya diuruskan di sana, bukannya di Kementerian Pengangkutan."

Malah, Ling Liong Sik terus menyebut nama bekas PM Mahathir Mohamad, selaku Menteri Kewangan dan orang yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Ling berkata, "saya rasa Mahathir yang mempengerusikannya (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta), pada masa yang sama juga seorang Menteri Kewangan. Beliau sangat jelas keadaannya. Ini kenyataan dalam kes ini." (I think Tun Dr. Mahathir who chaired it, and he was the finance minister also. He saw it very clearly. That was the facts of the case.)

Menurut laporan PAC, seandainya tanah PKFZ dibeli dengan Akta Pengambilan Tanah 1960, maka projek ini akan menjimatkan RM645.87 juta. Bertitik tolak daripada itu, kos PKFZ (tidak termasuk faedah) seharusnya berjumlah RM442.13 juta, dan bukannya RM1.088 bilion.

Pada masa yang sama, laporan juga menunjukkan bahawa tanah itu ditukar tangan dengan RM47.76 sekaki persegi, 67% lebih tinggi daripada anggaran Jabatan Penilaian.

OC Phang menuding jari kepada Abdullah, Chan

Selain itu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang ketika menghadiri prosiding PAC pada 2 September 2009, memaklumkan bahawa bekas PM Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Menteri Pengangkutan, Chan Kong Choy yang meluluskan agar PKFZ dibangunkan dengan hanya satu fasa (Single Phase). Sementara pembelian tanah itu dijalankan di bawah arahan Ling Liong Sik.

PC Phang berkata, Abdullah dan Chan Kong Choy memberi arahan sedemikian (membangun dengan Single Phase) kepada LPK setelah dicadangkan oleh Jebel Ali Free Zone International (Jafza).

Menurut OC Phang, PKFZ dibangunkan dengan dua fasa mengikut rancangan asal. Fasa pertama melibatkan tanah seluas 500 ekar. Tugas asal LPK adalah untuk membangunkan tanah yang seluas 500 ekar ini, disusuli dengan fasa kedua kemudiannya.

Namun, PM dan Menteri Pengangkutan pada ketika itu (Abdullah dan Chan) memberi arahan kepada LPK pada 3 Mac 2004, membangunkan 1000 ekar tanah sekaligus mengikut cadangan Jafza.

Selain itu, PC Phang berkata kesemua kementerian yang terlibat mengetahui hal ini, malah kabinet telah meluluskan untuk membeli 1000 ekar tanah secara "willing sell willing buy" dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd.

"Kerajaan mengetahui segala-gala ini. Kementerian Pengangkutan tahu, Kementerian Kewangan tahu, agensi pusat... Saya amat gusar (I'm quite annoyed), kes pembelian tanah ini ditujukan kepada saya. Saya menganggap saya mempunyai hak untuk gusar..."

Sebagaimana yang diketahui, Kementerian Kewangan pernah mengarahkan agar tanah ini dibeli dengan Akta Pengambilan Tanah, agar harganya lebih murah. Tetapi LPK pula membeli dengan harga RM25 sekaki persegi, harga satu kali ganda lebih tinggi daripada KDSB.

OC Phang menjelaskan, LPK menjalankan pembelian ini setelah menerima surat arahan daripada Ling Liong Sik.

Penulis adalah Penolong Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Kerugian Projek Landasan Berkembar libatkan Ketua Hakim Negara patut disiasat segera

Oleh NEO CHEE HUA

PROJEK Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh yang mengalami peningkatan kos pembinaan sebanyak RM1.43 bilion, seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, bakal disiasat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) pada minggu depan.

Apa yang mengejutkan, salah seorang watak utama dalam projek ini ialah Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Pengerusi PAC, Azmi Khalid (gambar kanan) memaklumkan kepada media pada 29 Oktober, bahawa Ketua Pengarah Audit Negara telah memberi penjelasan ringkas mengenai laporan audit tersebut. PAC akan bermesyuarat pada minggu depan, dan menyiasat kes mengikut keutamaan.
Menurut Azmi Khalid, kes terbesar ialah Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh yang mengalami peningkatan kos sebanyak RM1.43 bilion. Sebagaimana yang diketahui, PAC bakal memanggil kementerian (Pengangkutan) dan semua kontraktor yang terlibat dalam projek tersebut untuk disoal siasat.

Sekali imbas, peningkatan kos projek kerajaan adalah sesuatu yang lumrah menurut Laporan Ketua Audit Negara. Fokus sememangnya ditumpukan kepada penyelewengan dan angka peningkatan kos/kerugian. Tetapi, apa yang lebih penting, siapa yang terlibat dalam projek tersebut?

Dalam skandal sedemikian, tidak kurang ahli politik dan pegawai awam kanan yang terlibat, dengan menggunakan status diri yang istimewa, dan kelebihan hubungan berkepentingan untuk memanipulasi maklumat dan sumber, lantas mengaut keuntungan diri tanpa disedari rakyat.

Mereka yang seharusnya "memimpin melalui teladan" ini, sebaliknya menyabit kesalahan walaupun bertauliah, lebih menjejaskan negara berbanding dengan kerugian dari segi kewangan.
Antara watak utama dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ini ialah Ketua Hakim Negara, Zaki Azmi yang memegang tampuk kuasa kehakiman.

Zaki Azmi dikaitkan dalam projek ini kerana salah satu kontraktor yang terlibat dalam projek ini ialah Emrail Sdn Bhd. Tun Zaki Azmi ialah pemegang saham terbesar dengan 58% dalam syarikat ini, malah menyandang jawatan Pengerusi, ketika projek ini dalam proses pembinaan.

Projek bernilai RM4.3 bilion

Menurut perkiraan asal Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh, nilai projek ini berjumlah RM4.34 bilion, terbahagi kepada Pakej Infrastruktur dan Pakej Sistem, dipertanggungjawabkan kepada dua kontraktor yang berlainan.

Antaranya, DRB-Hicom Berhad memperolehi Pakej Infrastruktur. Mengikut rancangan asal, projek ini bermula pada Julai 2000, dan perlu berakhir pada Jun 2003. Selain itu, Pakej Sistem diberikan kepada Mitsui-MTS, tempoh yang diberikan ialah antara Januari 2001 hingga Oktober 2004.

Di bawah Pakej Infrastruktur yang dikendalikan DRB-Hicom Berhad, terdapat empat sub-kontraktor. Antaranya, Emrail Sdn Bhd mendapat kontrak projek Lay Track. Maklumat menunjukkan bahawa Emrail Sdn Bhd telah mendapat kontrak yang jumlahnya bernilai RM700 juta (nilai pada tahun 2007) dalam projek Landasan Berkembar Elektrik ini.

Tiga sub-kontraktor yang lain ialah Perspec Prime (M) Sdn Bhd (kejuruteraan awam), UEM Bhd (pembinaan jambatan) dan IJM Bhd (pembinaan bangunan).

Namun, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, kelewatan projek disiapkan, peralatan dibeli melebihi keperluan, perolehan tren tidak diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur dan lain-lain masalah, telah mengakibatkan projek ini berakhir dengan menelan RM5.77 bilion, dengan peningkatan kos sejumlah RM1.43 bilion.

Menurut kontrak asal, projek ini perlu disiapkan dalam tempoh 35 bulan, iaitu antara Julai 2000 hingga Jun 2003. Kemudiannya, untuk menyelaraskan had tempoh antara DRB-Hicom Berhad dengan Mitsui-MTS, DRB-Hicom Berhad telah mendapat lebihan 177 hari, iaitu dari 16 Jun hingga 10 Disember 2003.

Emrail paling lewat siapkan projek

Namun demikian, Laporan Ketua Audit Negara 2009 menunjukkan Pakej Infrastruktur yang dipertanggungjawabkan kepada DRB-Hicom Berhad hanya menyiapkan 76.8% daripada projek tersebut, pada hari terakhir had tempoh, iaitu 10 Disember 2003.

Laporan syarikat perunding yang dilantik Kementerian Pengangkutan, KS-Opus menunjukkan masalah penangguhan dalam projek Pakej Infrastruktur semakin serius antara November 2002 hingga Oktober 2003.

Antaranya, Emrail Sdn Bhd hanya menyiapkan 56.9% daripada projeknya pada 10 Disember 2003, merupakan syarikat yang paling serius dalam masalah lewat siap. Tiga kontraktor yang lain masing-masing mencatat antara 71.4% hingga 76.7% daripada projek. Sebagaimana yang diketahui, Kementerian Pengangkutan telah menamatkan kontrak DRB-Hicom Berhad pada 5 Ogos 2005, setelah diluluskan Kementerian Kewangan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, penyelewengan di atas bukan sahaja mengakibatkan kelewatan projek ini disiapkan, malah kemudahan infrastruktur gagal digunakan sepenuhnya kerana tidak dapat diselaraskan. Dari segi kos, sehingga 10 Disember 2008, kerajaan perlu membayar RM5.77 bilion untuk projek ini, RM1.43 bilion lebih tinggi dari kos asal.

Lebih penting, kerajaan perlu menanggung kos bernilai RM1.14 bilion, kerana menurut perjanjian antara kerajaan dengan DRB-Hicom Berhad, pampasan maksima yang boleh dituntut oleh kerajaan daripada kontraktor ialah RM 257.99 juta

Punca peningkatan kos Projek Landasan Berkembar

Walaupun Tun Zaki Azmi kini menyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara, malah mungkin telah memutuskan hubungannya dengan Emrail Sdn Bhd, namun seandainya dilihat dari tempoh proses pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh, Zaki Azmi bagaimanapun tidak boleh mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab tertentu.

Menurut Laporan Kewangan Kumpulan Fima Berhad tahun 2006, Zaki Azmi dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Emrail Sdn Bhd pada 22 Ogos 2002 (Zaki Azmi adalah Pengerusi Kumpulan Fima Berhad pada tahun 2006).

Tempoh ini kebetulan dalam proses pembangunan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh (Julai 2000 hingga Jun 2003). Emrail adalah salah satu kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek pembinaan landasan keretapi.

Latar belakang Emrail

Syarikat Emrail Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 1973, menumpukan kepada pembinaan landasan untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad. Sebelumnya ditukar nama kepada Emrail Sdn Bhd, syarikat ini bergelar Time Salam Engineering, iaitu anak syarikat kepada UEM Engineering Bhd.

UEM Engineering Bhd ialah syarikat GLC (Government Linked Company) yang berhubungan rapat dengan Umno. UEM Engineering Bhd namanya Renong Group sebelum ini. Semasa krisis ekonomi tahun 1997, Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad mengerah sumber negara untuk bail out syarikat yang hutangnya menggunung, tetapi dilihat sebagai lambang maruah orang Melayu ini.

Menurut laporan New Straits Times pada 26 Mei 2000, Emrail telah menjalankan satu penstrukturan semula yang penting pada Mei 2000, iaitu membeli syarikat Noblemax Resources Sdn Bhd.

Melalui pembelian ini, Pengerusi Noblemax Resources, Hari Narayanan menjadi pemegang saham terbesar merangkap Naib Pengerusi Emrail, sementara Ahmad Kamil Jaafar pula menjawat Pengerusi Eksekutif.

Kemudian, Zaki Azmi secara rasminya menyertai Emrail, menggantikan Ahmad Kamil Jaafar sebagai Pengerusi, dan menguasai syarikat ini bersama Hari Narayanan.

Jika dilihat dari sudut tempoh, pembelian syarikat ini oleh Zaki Azmi, selain membolehkan dirinya menikmati "durian yang runtuh", memperolehi Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ini tanpa perlu melakukan apa-apa, malah beliau juga menyedari hubungan Emrail dengan Keretapi Tanah Melayu Bhd, dan kelebihan Emrail untuk mendapatkan projek Landasan Berkembar Elektrik Utara-Selatan.

Menurut laporan Bernama pada 21 April 2007, Emrail Sdn Bhd berniat untuk mendapatkan Projek Landasan Berkembar Utara-Selatan (Northern And Southern Double-tracking Projects). Pemegang saham terbesar (58%) merangkap Pengerusi Emrail ketika itu, Zaki Azmi berkata kepada wartawan, "Bos kami ialah kerajaan, tiada orang akan membina landasan kecuali kerajaan." - (Baca Laporan Bernama: Emrail Aims For Northern And Southern Double-tracking Projects)

"Kami telah menyiapkan Projek Landasan Berkembar Rawang-Ipoh untuk kerajaan. Perlu diingatkan bahawa Emrail adalah satu-satunya syarikat bumiputera yang membina landasan di Malaysia. Kami berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menyerahkan projek landasan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas kepada kami," tambah Zaki Azmi.

Punca peningkatan kos mendadak

Di samping itu, menurut satu tulisan berjudul "Plugging that leak in public sector spending" yang disiarkan pada 16 Mac 2009, di laman web rasmi Ketua Setiausaha Negara, kelewatan projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan mengakibatkan projek ini tertunda lebih setahun daripada jangkaan, dan peningkatan kos yang mendadak.

Seterusnya, berlaku pula perselisihan antara kerajaan dengan kontraktor (termasuk DRB-Hicom Berhad), menjurus kepada keengganan Kementerian Kewangan membayar pampasan selebihnya setelah projek disiapkan.

Selain itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, punca utama peningkatan kos adalah pemohonan kontraktor untuk dapatkan wang daripada kerajaan secara berterusan. Misalnya, DRB-Hicom Berhad menuntut kos lebihan sebanyak RM808.68 juta daripada kerajaan berikutan daripada pengubahsuaian projek landasan (yang dikendalikan Emrail Sdn Bhd). Namun, pemohonan ini tidak diluluskan Kementerian Kewangan.

Walau bagaimanapun, DRB-Hicom Berhad merayu kepada Perdana Menteri pada Julai 2005 untuk mendapatkan RM425.17 juta, akhirnya diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada April 2006 dengan RM425.00 juta, sebagai pampasan kepada penamatan kontrak. Sehingga akhir tahun 2008, kerajaan telah memperuntukkan lebihan sebanyak RM371.78 juta kepada DRB-Hicom Berhad.

Menurut laporan Bernama pada 22 November 2004, Menteri Pengangkutan ketika itu, Chan Kong Choy dipetik berkata, kerajaan telah membayar RM20 juta secara terus kepada sub-kontraktor termasuk Emrail, untuk mempercepatkan perkembangan projek tersebut.

Sementara itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, sehingga Mei 2005, kerajaan telah membayar secara terus RM 453.16 juta kepada sub-kontraktor, untuk mempercepatkan kelajuan proses agar Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan. Kesemua "pembayaran terus" ini di luar perhitungan kos asal.

Dengan kata lain, lebihan pembayaran inilah menyebabkan peningkatan kos secara mendadak.

Penulis adalah Penolong Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Nizar Jamaluddin mahu siasat segera skandal babitkan pemimpin atasan negara

MUQADDIMAH: Skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh serta skandal pita video V.K Lingam dikatakan antara kes berprofil tinggi dan kosnpirasi peringkat atasan. Sejauh mana kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyingkap dan menamatkan skandal ini? Wartawan, NYZA AYOB mendapatkan reaksi Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Seri Nizar Jamaluddin memperkatakan isu ini. Beliau Ahli Parlimen Bukit Gantang dan juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Dalam isu PKFZ, mengapa siasatan oleh SPRM tidak dimulakan ke atas pengakuan Pengerusi Kuala Dimensi Tan Sri Tiong King Sing yang mengakui memberi RM10 juta kepada Presiden MCA, Dato' Seri Ong Tee Kiat?

DATO' SERI NIZAR JAMALUDDIN: Saya berpendapat isu ini melibatkan bekas pimpinan Umno dan bekas pimpinan MCA sama ada Adun-Adun atau menteri-menteri. Pada awalnya, walaupun Najib sendiri memberikan laluan supaya kes ini dibongkar sedalam-dalamnya serta didedahkan, tetapi akhirnya apabila diketahui ramai pimpinan Umno dan MCA terlibat dalam kes ini, maka terdapat usaha dalaman komponen kedua-dua parti BN ini untuk mengekang supaya jangan diteruskan siasatan itu.
Kalau dulu semangat berkobar-kobar untuk mendedahkan, kononnya Ong Tee Keat kata sampai ke lubang cacing bagi menunjukkan pentadbiran Najib ini bersih dan dapat menghapuskan rasuah. Walaupun didedahkan Ahli Parlimen Bintulu yang juga Pengerusi Kuala Dimensi, Dato' Seri Tiong King Sing, SPRM hanya mengambil tindakan sekadar temubual dan pertemuan dalam waktu yang singkat sahaja. Akhirnya ia terbantut di tengah jalan.

Mengapa agaknya siasatan tersebut terhenti di tengah jalan?

Saya berpendapat siasatan tersebut terhenti kerana terdapat ramai pimpinan Umno di peringkat negeri serta pusat terlibat. Maka itulah sebabnya SPRM barangkali diarahkan memberhentikan atau melengah-lengahkan siasatan.

Laporan tentang kegagalan PKFZ ini telah dibuat dalam Laporan Audit 2003 lagi, kenapa tiada tindakan awal diambil?

Sewaktu itu, pimpinan BN di bawah Dr Mahathir. Kemudian di bawah Abdullah Badawi. Kedua-dua mereka adalah Menteri Kewangan. Jadi, mereka mendapat surat daripada Presiden MCA yang secara kebetulan adalah Menteri Pengangkutan. Apa-apa sahaja kelulusan dan sokongan daripada menteri akan diluluskan oleh Menteri Kewangan.
Oleh kerana ia melibatkan Menteri Kewangan, ia mencemarkan identiti Perdana Menteri sendiri yang pada masa yang sama adalah Menteri Kewangan. Empat pucuk surat yang dibuat oleh Chan Kong Choy (bekas Menteri Pengangkutan) itu merupakan surat sokongan supaya diluluskan apa sahaja yang dilakukan Kuala Dimensi Sdn Bhd.
Akhirnya, yang membayar dan meluluskan ialah Menteri Kewangan. Menteri Kewangan sebagai Presiden Umno telah membuat cerminan atau persepsi yang tidak elok. Walaupun kes ini ditangguhkan dari 2003, tetapi bertentangan dengan konsep asal PKFZ tetapi akhirnya ia meningkat berbilion-bilion.
Apa sahaja tuntutan-tuntutan palsu disokongan Chan Kong Choy diluluskan oleh Kementerian Kewangan yang melibatkan Perdana Menteri serta pimpinan Umno. Dan pada ketika itu tidak diambil tindakan.

Satu lagi skandal terbesar membabitkan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh. Kegagalan dikesan sejak Jun 2003 di peringkat infrastruktur. Mengapa ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak mahu siasat kes ini?

Skandal ini juga melibatkan pemimpin Umno. Sekurang-kurangnya Dr Mahathir turut terlibat. Isu tersebut juga melibatkan Kerabat Di Raja dan ada usaha-usaha tertentu untuk memberhentikan siasatan terhadap kes ini apabila ia tidak selari dengan perbelanjaan asal.
Ia juga melibatkan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi. Namanya dikatakan terlibat dengan syarikat Emrail Sdn Bhd, salah satu kontraktor yang terbabit dalam dalam projek tersebut.
Sebab itu saya dapati kes jambatan berkembar ini mempunyai unsur-unsur yang sama dengan PKFZ. Jika kita lihat apa yang berlaku pada landasan berkembar ini, mungkin kes ini setaraf dengan PKFZ malahan lebih dasyat lagi. Ia tidak mempunyai siasatan lanjut sebagaimana PKFZ dan tidak ada suruhanjaya bagi menyiasat kes ini. Tetapi pada asasnya, ia turut melibatkan orang tertentu dan kenamaan tertentu.

Kerajaan kerugiaan RM1.43 bilion dalam pembinaan landasan berkembar ini. Pihak mana yang harus dipertanggungjawabkan dan mengapa DRB-Hicom selaku pihak yang gagal melaksanakan projek infra tidak diheret ke SPRM dan mahkamah?

Oleh kerana ia melibatkan pihak berprofil tinggi, saya rasakan pihak SPRM gagal menyiasat penyalahgunaan kuasa ini. Projek landasan ini melibatkan kenamaan terkenal, sebab itu saya fikir isu ini cuba 'ditahan'.

Jadi Dato' Seri, apabila Pengerusi PAC, Dato' Seri Azmi Khalid mengatakan akan memanggil Menteri Pengangkutan dan semua kontraktor yang terlibat untuk disoal siasat, apakah Dato' Seri yakin PAC juga akan memanggil sama Tun Zaki Azmi?

Saya berpendirian sekiranya ada usaha menarik indiividu tertentu khususnya yang dinyatakan itu, ini mencerminkan satu usaha yang positif serta melambangkan konsep 1Malaysia yang dilaungkan Dato' Seri Najib.
Tetapi jika ia hanya satu kenyataan retorik dan tidak ada usaha yang betul-betul serius, itu mencemarkan lagi Najib Tun Razak. Dan biarlah apa yang dikatakan pihak SPRM sendiri, teruskan usaha tersebut tanpa ada gangguan dan rasa takut daripada pihak atasan.
Itu yang patut dibuat. Dan di parlimen pun, kita mahukan SPRM tidak bertanggung jawab kepada Jabatan Perdana Menteri tetapi sebaliknya kepada parlimen. Tetapi apabila ia berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, ia boleh diperkotak-katik oleh pihak-pihak tertentu.

Dato' Seri, beralih kepada kes pita video V.K Lingam. Merujuk jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz baru-baru ini terhadap isu tersebut, adakah itu menggambarkan ketelusan dalam sistem penghakiman di Malaysia?

Saya fikir ini merupakan perkara yang amat malang kepada rakyat Malaysia dan institusi kehakiman. Sejak zaman Abdullah Badawi lagi, satu Suruhanjaya Diraja telah dibentuk dan siasatan memakan wang berjuta ringgit.
Keputusan juga telah dibuat dan siapa orang yang terlibat dalam isu ini. Dan bagi isu V.K Lingam, mereka terpaksa mengambil tindakan sebagaimana disyorkan Suruhanjaya Diraja. Tetapi malangnya oleh kerana kes ini juga melibatkan individu yang berprofil tinggi di mana hari ini dapat dilihat Tun Dr Mahathir seoalah-olah bersama dengan Najib dalam isu ini.
Barangkali terdapat usaha-usaha mengatakan kes V.K Lingam ini sudah selesai dan merupakan usaha-usaha melindungi individu yang berprofil tinggi itu.

Akhir sekali, bagaimana Dato' Seri melihat Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM yang mahu meneliti semula kes ini?

Saya gembira sekiranya PPO berani membuka semula fail kes tersebut. Barangkali ada pihak tertentu berpendapat kes ini boleh mendapat laba tertentu kepada satu-satu kumpulan atau satu-satu parti.
Saya menyambut baik usaha tersebut dan janganlah separuh jalan. Oleh kerana tindakan ini dibuat, ada seorang yang berani mengaku, jadi saksi utama. Oleh kerana bukti cukup kuat dan apa yang diusahakan Ahli Parlimen Kelana Jaya tempoh hari mendapat gambaran yang cukup jelas.
Jika dibiarkan begitu, kita lihat populariti Najib sebagai Perdana Menteri agak turun khususnya di kalangan golongan intelek dan urban. Saya fikir terdapat desakan dan tekanan untuk menggunakan PPO bagi membuka semula fail ini.
Apabila Nazri mengatakan kes pita video V.K Lingam ini sudah selesai, rupanya tekanan pihak luar khususnya di rantau Asia, menyebabkan fail kes tersebut terpaksa dibuka kembali. Saksi-saksi utama yang memberikan maklumat terhadap kes ini tidak dapat dinafikan begitu sahaja. Saya menyambut baik tindakan PPO SPRM untuk membuka semula siasatan kes ini.

SPRM cuba lindungi pemimpin tertentu dalam PKFZ?

KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah badan yang mendapat kelulusan dan mandat dari semua ahli parlimen, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu lagi melengah-lengah siasatan ke atas projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), desak Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa.

Dalam kes PKFZ itu tegasnya, SPRM sewajarnya turut memanggil Pengerusi Kuala Dimensi Sendirian Berhad (KDSB), Dato' Seri Tiong Kim Sing.

Ini dakwanya, Tiong sendiri mengaku memberi RM10 juta kepada Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Ong Tee Keat untuk disalurkan kepada parti MCA tahun lepas. Apa yang pelik, sampai sekarang SPRM diam diri sedangkan perkara tersebut diakui Tiong.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasatnya.

"Bukan saja Ong Tee Keat yang kena siasat tetapi Tiong juga perlu dipanggil," katanya semasa dihubungi Harakah.

Beliau menegaskan, sikap diam diri SPRM ke atas Tiong yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) seolah-olah mereka cuba menyembunyi beberapa individu lain yang terlibat dalam isu PKFZ.

Ini katanya, beliau difahamkan terdapat beberapa orang Umno terlibat dalam kancah PKFZ itu yang telah menelan belanja hampir RM500 juta.

"Pergilah buat siasatan kerana beliau juga terbabit dengan isu PKFZ kerana pemberian RM10 juta itu mencurigakan. Atau adakah kerana isu PKFZ ini melibat pengaruh politik terutamanya Umno menjadikan SPRM terpaksa diam," soalnya.

Sehubungan itu dakwa Mujahid, beliau melihat kes tersebut dilengah-lengahkan kerana bimbang rahsia-rahsia dalam PKFZ terbongkar.

Sebaliknya beliau berkata, mana-mana kes yang melibatkan Pakatan Rakyat begitu pantas SPRM membuka siasatan, contoh isu tajaan menunaikan haji kepada Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Aziz Nik Mat dan kes Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang juga menantu Tok Guru Nik Abdul Aziz.

"Itu yang peliknya, apabila kena kepada Pakatan Rakyat semua disegerakan kononnya melawan rasuah tetapi apabila melibat Barisan Nasional dilambat-lambatkan sedangkan kes tersebut sudah jelas dan semua rakyat tahu," katanya.

PKFZ juga katanya sebuah projek mega negara melibatkan duit rakyat dan ia sepatutnya disegera bukan membiarkan ia menjadi projek terbengkalai atau seperti gajah putih.

Beliau menggesa Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak menunjukkan komitmennya agar siasatan tersebut dijalankan tanpa ada perbezaan atau kepentingan pihak tertentu kerana katanya lagi rasuah tetap rasuah.

Nazri cuba nak 'selamatkan' VK Linggam, pemimpin atasan Umno

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz dicabar meletakkan jawatan kerana tidak serius dalam melaksanakan reformasi terhadap undang-undang dan sistem kehakiman negara.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin berkata Nazri yang diamanahkan memegang jawatan menteri yang menjaga hal ehwal perundangan menunjukkan sikap yang tidak serius dalam usaha memulihkan imej undang-undang negara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim juga cukup kecewa dengan usaha pemulihan undang-undang yang cuba dilakukannya mendapat tentangan daripada pihak kerajaan sendiri, kata Hanipa kepada Harakah.

Cabaran Hanipa itu merujuk kepada pendirian Nazri berhubung isu siasatan Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau RCI ke atas peguam kanan, V.K. Lingam yang didakwa melakukan percaturan perlantikan hakim-hakim kanan.

Menurut Nazri, Lingam telah dibebaskan daripada sebarang dakwaan kerana perbuatannya tidak melanggar undang-undang.

Perbuatan Lingam itu, tegas Nazri lagi, mungkin hanya berlakon dalam menetapkan perlantikan hakim-hakim seolah-olah beliau menjadi broker dalam melantik hakim-hakim kanan bagi menarik hati orang.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan tersebut, Hanipa menempelak Nazri sambil menyifatkan kenyataan yang dikeluarkannya itu tidak meyakinkan malah ianya seolah-olah menyembunyikan sesuatu.

"Takkan selepas Suruhanjaya Siasatan DiRaja menyatakan terdapat kes, Nazri boleh pandai-pandai menyatakan tiada apa-apa? Apa alasan kerajaan yang tidak mahu menyiasat kes itu, malah ianya menunjukkan seolah-olah mereka ingin menyembunyikan sesuatu?" tegas Hanipa yang juga seorang peguam.

Selain itu, beliau sependapat dengan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan yang menyifatkan kenyataan Nazri itu sebagai satu keputusan yang terlalu mudah, tidak bertanggungjawab serta menghina siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Siasatan DiRaja sebelum ini.

"Ia juga suatu pendirian yang tidak bertanggungjawab serta menghina Suruhanjaya Siasatan DiRaja," katanya lagi.

Untuk itu, kerajaan ujarnya perlu membuat penilaian semula terhadap kes ini bagi membuktikan terdapat masalah seperti mana yang didakwa pihak RCI.

Nazri Aziz cuba pertahan 'rasuah' Chan Kong Choy

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menganggap tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz seolah-olah mempertahankan kedudukan rasuah atau korupsi yang semakin meruncing khasnya dalam siasatan yang sepatutnya dijalankan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy membabitkan skandal RM12.5 bilion projek Zon Bebas Perlabuhan Klang atau PKFZ.

"Saya menganggap Nazri sedang mempertahankan keadaan rasuah yang semakin teruk di negara ini daripada memeranginya, sebagaimana yang sedang melanda negara Indonesia sekarang ini," katanya melalui blog peribadi miliknya.

Beliau yang juga ahli parlimen Ipoh Timur menempelak Nazri yang mahu menunggu cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas Kong Choy dalam skandal tersebut sejak laporan pertama yang dibentangkan
Badan Pencegah Rasuah (BPR) sejak tahun 2004.

"Kenapa SPRM perlu menunggu PAC untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy malah bertindak seolah-olah mempertahankan jenayah dalam skandal melibatkan RM12.5 billion dalam projek Zon Bebas Perlabuhan Klang atau PKFZ ketika laporan pertama yang dibentangkan BPR sejak tahun 2004?

"Tidakkah ini menggambarkan kegagalan, tidak berkesan dan kelemahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan BPR sebelumnya?" ujarnya sambil menyatakan perkara tersebut ketika bertanya kepada Nazri dalam ucapan penggulungan Belanjawan menteri itu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menurut Kit Siang, Nazri dalam nada menafikan, juga tidak bersetuju terdapat keperluan untuk parlimen menerima pakai laporan PAC dalam skandal PKFZ bagi membolehkan kesemua ahli parlimen menyatakan pandangan terhadap cadangan yang dikemukakan oleh PAC.

Menurut satu laporan media sebelum ini, PAC di dalam laporannya mengenai PKFZ mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O C Phang membabitkan kes pecah amanah.

Berdasarkan laporan itu, kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga surat aku janji dikeluarkan Phang tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tidak wajar bagi mana-mana pihak mempertikaikan cadangan PAC yang mengesyorkan SPRM dan polis menyiasat Chan dan Phang.

Katanya, sebagai sebuah badan yang diperakui, PAC berhak membuat sebarang perakuan terhadap skandal PKFZ berdasarkan bukti yang ada.

Ong Tee Keat naik jet, 49 ahli parlimen BN lawat Taiwan: Siapa pula taja mereka?

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Dato Bung Mokhtar Radin dilaporkan berkata, selain beliau sendiri, anggota rombongan melawat sambil belajar ke Taiwan September lalu, terdiri daripada Pengerusi BNBBC, Dato' Seri Tiong King Sing, 10 anggota Parlimen Sabah, 12 anggota Parlimen Sarawak dan selebihnya dari Semenanjung.

"Kami dijangka pulang ke Malaysia pada 17 atau 18 September ini," katanya ketika dihubungi Bernama sejurus sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, lapor Urusan Malaysia, 8 September lalu.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa dalam blognya cuba membongkar siapakah yang menaja mereka ke Taiwan, September lalu.

Tiong dikaitkan dengan skandal PKFZ dan beliau mengaut untung yang banyak. Negara telah rugi lebih besar dari kerugian Skandal BMF. Tiong juga seorang yang pemurah dan mengaku telah mendermakan RM10 juta kepada Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat, ujar Husam dalam blognya.

Beliau juga membangkitkan semula penjelasan Tiong yang mengaku menaja penerbangan Menteri Pengangkutan itu menggunakan jet eksekutif milik anak syarikatnya sebanyak lima kali.

Blog Husam juga mendedahkan paparan Bernama, 13 Ogos lalu, melaporkan mengenai dakwaan Ong Tee Kiat menggunakan jet khas syarikat tersebut lima kali dengan kos AS$40,000. Ong berkata beliau hanya menggunakannya sebanyak empat kali pada tahun 2009.

"Pada kebiasaan, jika saya boleh naik pesawat komersial, saya akan ... hanya jika saya sangat memerlukan perkhidmatan seperti itu, disebabkan kesuntukan masa atau segera, barulah sebagai pilihan terakhir, saya cari perkhidmatan ini," kata Ong.

Ong Tee Kiat mempersoalkan keikhlasan syarikat tersebut membuat dakwaan seperti itu, dengan mengatakan jika ada pembayaran tertunggak, satu invois boleh dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

"Kewajipan itu terletak kepada mereka. Jika kita tidak bayar, mereka mesti beritahu kita," tambah Ong. Mengenai satu lawatan, katanya beliau ditawarkan tempat duduk selepas menghadiri satu majlis di Kuching.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi, Dato' Faizal Abdullah berkata invois-invois tidak dikeluarkan kerana pesawat itu dipinjamkan kepada Ong Tee Keat dan tidak pernah disewakan kepada menteri itu.

"Beliau meminta (menggunakan pesawat itu) melalui pegawainya kepada rakan seniaganya," jelasnya pada satu sidang akhbar waktu itu. Menurutnya pesawat itu milik anak syarikat Kuala Dimensi, Wijaya Baru Aviation Sdn Bhd.

Lawatan 49 ahli parlimen BN ke Taiwan, kata Bung Mokhtar tidak ada kaitan dengan usaha menghalang Pakatan Rakyat daripada menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada 16 September lalu.

Lawatan yang ditaja itu menimbulkan kontroversi apabila pada 11 September, sebuah portal berita internet melaporkan BNBBC menafikan dakwaan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Yong Teck Lee bahawa setiap Ahli Parlimen BN yang menyertai lawatan ke luar negara menerima duit sebanyak RM50,000.

Menurut Timbalan Pengerusi BNBBC, Dato' Bung Moktar Radin tiada ahli parlimen yang membuat lawatan ke Taiwan menerima wang termasuk dua Ahli Parlimen SAPP.

"Kita tidak ada buat tawaran memberikan wang kepada setiap ahli parlimen yang menyertai lawatan ini, kita pergi atas perbelanjaan sendiri dan tidak ada menawarkan sesuatu termasuk wang RM50,000 kepada setiap ahli parlimen yang menyertai lawatan ini," kata Bung Mokhtar.

Dua Ahli Parlimen SAPP yang dimaksudkan itu, Dato' Eric Majimbun dan Dato' Dr. Chua Soon Bui yang menolak pelawaan lawatan ke luar negara dan tawaran wang saku RM50,000.

Mengulas lanjut segala laporan tersebut, Husam bertanya, "Pilihlah mana satu anda nak percaya. MP BN pergi Taiwan belanja sendiri! Hebat. Apa yang pasti, kedua-dua isu ini tidak pernah disiasat oleh SPRM."

SPRM itu lagi hebat rupanya, sindir Husam yang juga Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat.

Sasterawan Negara jengah sendiri sekolah bawah flat SK Sri Perak

KUALA LUMPUR: Nasib 204 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Perak, Bandar Baru Sentul yang masih meneruskan persekolahan mereka di bawah flat 17 tingkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mendapat perhatian Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said.

Selasa lalu, Samad yang lebih dikenali sebagai Pak Samad turun padang untuk melihat dari dekat suasana sekolah itu setelah membaca pendedahannya dari Harakah. Beliau diiringi Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Peneroka Bandar PAS Wilayah Persekutuan, Haji Ishak Surin, dan Tarmizi Mohd Jam, Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) Husni Abas dan beberapa Exco PAS Kawasan Batu.

Mereka sempat bertanya khabar dari beberapa guru di sekolah itu dan meninjau persekitaran yang kurang selesa yang tidak mencerminkan ia sebagai sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. Ketika kunjungan, semua pelajar dan guru sedang bersiap untuk latihan menyambut Hari Anugerah Pelajar.

Pak Samad melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan nasib pelajar Melayu di sekolah itu, seolah-olah tanpa pembelaan untuk mendapatkan sekolah yang baru dan selesa. Beliau melihat sendiri keadaan yang tidak enak, sesak, bising dan mempersoalkan tahap keselamatan sekolah tersebut, baik di dalam bangunan mahupun di luar.

"Kami tidak sempat berjumpa dengan Guru Besar. Begitu juga Penolong Guru Besar. Kami hanya sempat bercakap dengan guru biasa di pejabat. Dia memang tidak boleh beri apa-apa ulasan. Itu kita tahu," katanya ketika ditemui sejurus melawat pejabat sekolah berkenaan.

Menurut Pak Samad, masalah sekolah ini wajar diambil perhatian yang serius oleh Kementerian Pelajaran memandangkan ia sudah lebih 20 tahun beroperasi.

Sebagai budayawan, mereka harus mengambil berat masalah ini kerana ia membabitkan orang Melayu tambahan pula para pelajar dan ibubapa mereka ini adalah rakyat yang bermaruah di negara ini.

"Kalau betul konsep 'Rakyat Didahulukan', inilah masanya. Rakyat kena didahulukan. Kecuali mereka (kerajaan) tidak merasakan pelajar-pelajar di sini adalah rakyat. Kalau mereka rasa, pelajar ini adalah rakyat, kenalah rakyat di dahulukan," tegas beliau.

Kata Pak Samad, budayawan cuma datang untuk berbincang dan mengingatkan dan memberi kesedaran kepada pihak yang bertangungjawab bahawa masalah sekolah ini adalah isu besar dan tidak patut dibiarkan berlarutan hingga lebih 20 tahun sekolah di bawah flat.

"Kalau ada aliran lain, politik masuk (kawasan sekolah), budayawan masuk menunjukkan perhatian kita terhadap masalah ini amat besar, cukup serius" katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah, Ishak Surin dalam kenyataan medianya mendesak agar Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak agar datang melawat ke sekolah ini bagi meninjau suasana sebenar dan tahap prasarana serta keselamatan di sini.

Beliau juga mendesak kedua-dua mereka, mengadakan rundingan semula, mengkaji pembatalan projek pembinaan sekolah yang baru bagi menggantikan penempatan Sekolah Kebangsaan Sri Perak yang kini berada di bahagian bawah empat blok flat 17 tingkat milik DBKL itu.

Terdahulu, PAS Kawasan Batu telah menghantar memorandum berkaitan isu ini kepada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan dan mendedahkan 'kepincangan' sekolah ini melalui media.

Ekoran itu, lima Ahli Parlimen PAS termasuklah Dato Mahfuz Omar (Pokok Sena), Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang), Firdaus Jaafar (Jerai), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang) dan Dr' Lo'Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), turut melawat dan tersentak untuk meninjau sendiri sekolah yang tidak menepati piawaian sekolah sebenar.

Sekolah ini ditubuhkan sekitar tahun 1987 bagi menampung murid yang terlalu ramai. Bersebelahan flat ini terdapat satu lagi sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul yang sarat dengan pelajar.

Terdapat 32 orang guru yang mengajar di sekolah ini, walaupun dalam suasana sekolah yang tidak memenuhi piawaian sistem pendidikan sebenar. Sekolah ini diklasifikasikan sebagai gred A iaitu memiliki 700 orang murid dan ke atas.

Sebelum ini, cadangan membina dan menyiapkan sekolah mengandungi 30 bilik darjah di atas sebahagian lot 133, Sekyen 85A Kuala Lumpur itu telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Contracthouse Sdn Bhd.

Menurut papan tanda projek sekolah itu dijangka siap pada 30 September 2009 dan dimulakan pada 1 April 2008 kira-kira setahun yang lalu. Bagaimanapun, ianya dibatalkan enam bulan yang lalu tanpa sebarang alasan.

SPR bertindak di luar bidang kuasa - Hanipa Maidin

MUQADIMMAH: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 November lalu mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Siputeh Kedah. Keputusan tersebut dibuat apabila mahkamah berjaya membuktikan Adun kawasan itu, Dato' Abu Hassan Sarif, telah tidak hadir dua kali sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker. Bagaimanapun, SPR dilihat melangkaui kuasanya dan membuat rayuan melalui Peguam Negara. Wartawan, NYZA AYOB mendapatkan butiran lanjut mengenai kes ini dari peguam Hanipa Maidin.

Apakah bidang kuasa SPR dalam memutuskan kekosongan kerusi di Dun Kota Siputeh berbanding Speaker?

HANIPA MAIDIN: Mahkamah pada 16 November lalu memutuskan SPR telah tersilap apabila menolak keputusan Speaker yang menyatakan kerusi Dun Kota Seputeh yang disandang Dato' Abu Hassan Sarif. Mahkamah mengatakan pihak Speaker telah membuktikan tiga elemen di bawah Artikel 51 Perlembagaan Negeri Kedah iaitu pertamanya, kerusi Dun itu boleh diisytiharkan kosong jika berlaku ketidakhadiran seseorang Adun sebanyak dua kali berturut-turut dan ketidakhadiran itu tanpa kebenaran pihak Speaker.
Dalam kes ini, Adun tersebut telah gagal hadir ke Sidang Dun Kedah pada 19 April 2008 dan pada 9 Ogos 2009. SPR ketika menolak keputusan Speaker itu mengatakan dua kali berturut-turut itu mestilah dalam penggal yang sama.
Maknanya, SPR menyatakan sebelum satu-satu kerusi diistiharkan kosong mestilah Adun itu gagal hadir dua kali mesyuarat Sidang Dun pada sesi atau penggal yang sama. Mahkamah menolak sebab Artikel 51 Perlembagaan Negeri Kedah itu sudah jelas dan tidak ada menyebut ketidakhadiran dalam sesi yang sama.
Jadi, mahkamah mengatakan SPR telah bertindak di luar bidang kuasanya. Yang kedua, ketika SPR menolak keputusan Speaker, SPR juga berhujah bahawa Speaker telah tersilap kerana tidak menerima Sijil Cuti Sakit (MC) yang dikemukakan Abu Hassan.
Mahkamah sekali lagi mengatakan, semasa menerima alasan tersebut di bawah bidang kuasa Speaker dan budi bicaranya secara betul tidak menerima alasan Sijil Cuti Sakit itu kerana walaupun kata Abu Hassan beliau tidak dapat hadir pada 9 Ogos serta mendapat cuti pada 9 dan 10 Ogos, tetapi Speaker telah berjaya membuktikan ketika beliau mengatakan 10 Ogos itu beliau sakit, beliau telah menghadiri satu program menyampaikan bantuan kepada rakyat.

Bagaimana mana bukti itu diketahui?

Bukti itu dapat dilihat dalam bentuk gambar dan disiarkan dalam akhbar Sinar Harian. Jadi mahkamah memutuskan Speaker telah menggunakan budi bicaranya secara betul. Mana mungkin jika orang itu sakit dua hari berturut-turut tapi pada 10 Ogos itu dapat hadir pada satu majlis.

Apa hujah yang ketiganya?

Yang ketiga, mahkamah juga memutuskan hujah SPR yang mengatakan kes ini perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Adun tidak timbul. Jadi, hujah itu meleset kerana ketidakhadiran seseorang Adun itu bukan isu hak istimewa.
Mahkamah juga menyatakan dalam peraturan mesyuarat atau Standing Order Sidang Dun Kedah menyatakan tidak ada peruntukan perkara itu kewajipan untuk pihak Speaker yang mewakili Dun untuk merujuk perkara itu kepada Jawatan Kuasa Hak dan Keistimewaan.
Jadi berdasar mahkamah menolak ketiga-tiga hujah itu, mahkamah memutuskan kerusi Dun itu diisyhtiharkan kosong.

SPR membuat rayuan di Mahkmah Tinggi. Apakah tindakan SPR ini seolah-olah mewakili Barisan Nasional?

Daripada segi undang-undang apabila SPR disaman dan kalah dalam kes tersebut, memanglah SPR berhak untuk membuat rayuan dan diwakili Jabatan Peguam Negara. Mana-mana pihak boleh merayu.
Speaker kalah pun dia boleh merayu. Cuma kita berasakan kalau SPR betul-betul tidak memihak, kita adakan pilihan raya kerana mahkamah memutuskan SPR tidak betul. Bagaimanapun, kita menghormati hak mereka untuk merayu sebab itu ada dalam undang-undang.
Tetapi dalam masa yang sama, perintah yang diberikan mahkamah itu tidak menggantung keputusan yang dibuat. SPR seharusnya akur dengan keputusan itu dengan mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari selepas tarikh keputusan mahkamah 16 November dan dalam masa empat hari selepas keputusan tersebut mengeluarkan writ (pemberitahuan) pilihan raya. Kecuali keputusan mahkamah itu digantung. Setakat ini (17 November) tidak ada.

Adakah kes ini merupakan kes yang pertama berlaku dan adakah ia mempunyai persamaan dengan kes yang berlaku di Perak?

Ini merupakan kes kali pertama mahkamah memutuskan apabila seseorang Adun itu gagal hadir dalam Sidang Dun. Daripada kes itu, itu merupakan kes pertama. Ia berbeza dengan kes di Perak. Kes ini boleh dikatakan kes pertama melibatkan perlembagaan negeri yang mana kerusi Dun itu disahkan kosong disebabkan ketidakhadiran Adun dalam Sidang Dun.
Kes di Perak melibatkan perletakan jawatan. Memang dalam peruntukan undang-undang apabila seseorang itu letak jawatan, kerusinya adalah kosong. Isunya, adalah siapa yang menentukan perletakan jawatan itu sah atau tidak sah.

Dalam kes di Perak itu, macam mana?

Dalam kes di Perak, SPR yang berkuasa menentukan kerusi itu kosong atau tidak. Dalam kes Kota Siputeh ini, mahkamah memutuskan SPR juga mempunyai kuasa menentukan Dun Kota Seputeh itu kosong atau tidak.
Tapi mahkamah mengatakan walaupun itu di bawah kuasa SPR, SPR telah melampaui kuasanya. Sebab, Speaker telah membuat keputusan berdasarkan undang-undang tetapi SPR mentafsirkan bercanggah dengan perlembagaan itu.

Jadi SPR melangkaui kuasanya?

Ya, SPR telah melangkaui kuasanya. Kuasanya hanya memutuskan apabila Speaker mengatakan Dun itu kosong, ia harus diterima dan mengadakan pilihan raya. Tapi SPR tafsirkan undang-undang, ia jadi Speaker. Ia yang mengatakan sijil cuti sakit boleh diterima.

Ini bermakna keputusan bagi kes di Kota Siputeh ini sangat jelas?

Kes ini memang 'straight forward' dan keputusan dibuat berdasarkan Artikel 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah. Ia amat jelas. Mahkamah menafsirkan apa yang ada dalam perlembagaan. Apabila seseorang Adun itu tidak dapat dapat menghadiri mesyuarat Dun, apa salahnya dia memberitahu Speaker.
Dalam kes seperti ini, ada beberapa orang Adun termasuk Adun BN yang tidak hadir meminta kebenaran dan diizinkan Speaker. Persoalannnya kenapa dia (Abu Hassan) tidak meminta kebenaran dan hanya memberitahu kepada Ketua Pembangkang, Dato' Mahadzir Khalid. Kalau dia boleh menghubungi Mahadzir, kenapa dia tak boleh menghubungi Speaker?

Mungkinkah terdapat kemungkinan rayuan SPR ini akan membawa keadaan sebaliknya seperti tidak akan berlaku Pilihan Raya Kecil Kota Siputeh?

Itu terlalu awal untuk kita menjangkakannya. Kita tidak boleh membuat spekulasi. Kita tidak tahu lagi keputusan rayuan tersebut.

Dalam tempoh membuat rayuan, SPR mesti mendapatkan perintah menggantungkan keputusan Mahkamah Tinggi?

Ya, SPR mesti mendapatkan perintah menggantungkan keputusan Mahkamah Tinggi. Jika ia berjaya mendapat perintah menggantungkan keputusan tersebut, maka ia bolehlah untuk tidak mengadakan pilihan raya sehinggalah keputusan rayuan itu diputuskan.
Tapi jika ditakdirkan ia tidak mendapatkan perintah tersebut, sama ada ia merayu atau tidak, SPR terpaksa juga mengadakan pilihan raya. Ia berdasarkan keputusan sama ada mahkamah membenarkan untuk menggantungkan atau menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu.
Pada 20 November ini, mahkamah akan mendengar sama ada mahkamah menerima atau tidak permohonan menggantung keputusan tersebut.

Mungkin terdapat pengajaran di sebalik kes yang berlaku...

Perkara ini menjadikan pengajaran baik kepada Adun BN atau Adun Pakatan Rakyat. Mungkin sebelum ini sewaktu BN memerintah, Adun BN tidak kisah jika meraka tidak hadir tiga atau empat hari dalam Sidang Dun. Tidak ada yang ambil tahu.
Dalam kes ini, kita juga diberitahu Speaker, apabila Abu Hassan dimaklumkan tidak hadir selama dua hari, dia menyatakan apa yang difahaminya jika tidak hadir tiga kali terakhir, barulah kerusi tersebut kosong. Tetapi mengikut perlembagaan, ketidakhadiran sebanyak dua kali diistihar kosong. Sebab itu dia terpaksa mencari pelbagai alasan.

Daripada keputusan Mahkamah Tinggi ini, maknannya Abu Hassan bukan lagi Adun?

Daripada keputusan mahkamah, beliau sekarang dipanggil sebagai bekas Adun dan beliau tidak boleh menghadiri Sidang Dun Kedah yang sedang berlangsung sekarang. Kecuali apabila Mahkamah Rayuan memutuskan balik perkara ini.

Salahuddin harap Nazri Aziz sedia berdebat isu royalti minyak Kelantan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz menunaikan janjinya untuk berdebat mengenai hak kerajaan negeri Kelantan untuk mendapatkan bayaran tunai royalti minyak.

"Nazri berkata beliau bersedia untuk berdebat mengenai perkara itu pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

"Saya dengan hormatnya mencadangkan kepada Nazri agar perdebatan itu diadakan di Kota Bharu agar rakyat Kelantan dapat mendengar sendiri hujah dan menteri dari kerajaan Barisan Nasional (BN) yang enggan menunaikan hak kerajaan Kelantan untuk mendapat royalti tersebut," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga mencadangkan agar pengakuan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengenai perkara itu menjadi asas perdebatan.

Ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat pada 12 November 1975, Abdul Razak memberitahu: "Semua negeri di Malaysia, melainkan Sabah dan Selangor, telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum, 1974.

"Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor pun telah bersetuju menandatangani perjanjian ini.

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing samada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya".

Ketika membantah jawapan Nazri mengenai isu royalti yang ditukar menjadi wang ihsan oleh kerajaan BN di Dewan Rakyat Selasa lalu, Salahuddin mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berdebat mengenai perkara tersebut.

Salahuddin menyifatkan jawapan Nazri banyak menyelewengkan fakta berhubung royalti minyak termasuk perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Negeri Kelantan pada 9 Mei 1975.

"Saya berdiri di sini mewakili rakyat Kelantan mencabar Yang Berhormat mewakili Perdana Menteri berani atau tidak kita berdebat di luar dewan, di Kota Bharu, atau di Kuala Lumpur untuk kita beritahu rakyat rakyat apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pembohongan ini," katanya.

Nazri membalas cabaran itu dan berkata beliau bersedia untuk berdebat mengenai perkara itu pada bila-bila masa dan di mana sahaja termasuk di markas PAS Taman Melewar.

"Saya tidak ada halangan sebenarnya malah kalau nak buat perbahasan di Markas PAS di Greenwood pun saya akan pergi. Tidak ada masalah,"katanya.

Sidang dewan menjadi kecoh apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) tidak berpuas hati dengan penyelewengan fakta dalam jawapan Nazri.

Antara yang bangkit membantah jawapan Nazri itu ialah Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) dan Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau).

Dr Dzulkefly malah menyifatkan Nazri menyelewengkan beberapa interpretasi perlembagaan mengikut pendapatnya sahaja sehingga ke peringkat menafikan apa yang telah dipersetujui bersama oleh pemimpin negara dan Petronas sebelum ini.

Nazri sebaliknya cuba mengalihkan perhatian wakil rakyat yang lain dengan menyentuh isu-isu dalaman PAS dan enggan menjawab isu sebenar yang ditekankan oleh Khalid mengenai hak kerajaan Kelantan untuk mendapat royalti minyak.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap berbohong di Dewan Rakyat apabila mendakwa "dari segi perundangan, kerajaan Negeri Kelantan tiada ada hak untuk menuntut pembayaran royalti petroleum seperti juga negeri Terengganu".

Kenyataan itu bukan sahaja bercanggah dengan kenyataan bapanya di dewan yang sama ketika menjawab soalan Kit Siang mengenai perkara itu pada 1975 lalu, malah bertentangan dengan apa yang dilakukannya ketika kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu awal tahun ini di mana beliau menyerahkan cek wang royalti bernilai RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu.

Kota Siputeh: Keputusan tidak rasional, SPR mesti dirombak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dirombak setelah Mahkamah Tinggi menyifatkan suruhanjaya itu tidak rasional dan bertindak bertentangan dengan undang-undang, kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

"Lembaga dan struktur SPR hendaklah dirombak apabila mahkamah tinggi menyifatkannya tidak rasional.

"Rakyat dan sistem demokrasi negara ini tidak sepatutnya berhadapan dengan SPR yang disifatkan tidak rasional oleh mahkamah," katanya mengulas keputusan mahkamah mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Siputeh.

Dalam keputusannya 16 November lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato Alizatul Khair Osman membatalkan keputusan SPR sebelum ini yang menetapkan Dato' Abu Hassan Sarif masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi Dun itu tidak kosong.

Hakim tersebut menyifatkan SPR melakukan tindakan-tindakan yang tidak rasional dan bertentangan dengan undang-undang ketika membuat keputusan itu.

SPR membuat keputusan tersebut setelah Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail menetapkan Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan Dun berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Mengulas lanjut, Mahfuz juga menyifatkan keputusan mahkamah itu menghakiskan lagi keyakinan umum terhadap SPR.

"SPR tidak dapat lari dari imej pro-Barisan Nasional (BN) dan berkerja untuk kepentingan BN," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau berharap rakyat dapat mengekalkan sokongan terhadap usaha menamatkan pemerintahan BN.

"Jika pemerintahan BN dapat ditamatkan, kita akan pastikan SPR bebas dari cengkaman kuasa parti yang memerintah dan suruhanjaya tersebut akan diletakkan di bawah jawatankuasa khas Parlimen," katanya.

Presiden PAS bahas persempadanan semula, kegagalan SPRM

MUQADIMMAH: Berikut ucapan Dato' Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) di Dewan Rakyat, Parlimen Ke-12, Penggal Ke-3 Bil. 52 - Isnin, 16 November 2009 jam 4.32 petang.

KUALA LUMPUR: Saya ingin menyentuh yang pertama B.4, 010000 - Suruhanjaya Pilihan Raya, 010100, 010200. Sebagaimana kita maklum bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiap-tiap sepuluh tahun mereka membuat persediaan baru. Melihat kepada perkembangan semasa dan terkini, apa yang mendukacitakan tiga buah negeri di utara dan Pantai Timur, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak mengalami perubahan sebagaimana ianya berlaku dan tidak ada penambahan kawasan parlimen.

Kawasan-kawasan di sana adakan juga satu kawasan parlimen seperti Baling, Sik,
Kuala Krai, Jeli, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman. Sebahagiannya sama besar dan lebih besar dari negeri Perlis.

Akan tetapi tidak ada perubahan oleh kerana kita telah mengalami keadaan yang berubah, penduduk yang bertambah, menyebabkan mereka yang menjadi Ahli-ahli Parlimen mengalami kesukaran untuk melawat dan mengendalikan anak buah mereka dalam keadaan yang berubah.

Oleh kerana itu, sangat wajar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya di bawah Jabatan Perdana Menteri membuat kajian untuk membuat perubahan kepada kawasan-kawasan di negeri tersebut.

Kedua, saya ingin menyentuh B.6, 020000 - Unit Perancang Ekonomi dan 020200 -
Perancangan Ekonomi, sebagaimana yang disebut oleh rakan-rakan yang lain dalam perbahasan tadi bersabit dengan royalti petroleum yang dibatalkan di Terengganu pada tahun 2000 dan terkini di Kelantan.

Saya melihat ianya lebih bersifat politik daripada bersifat perundangan dan perjanjian yang sebenarnya berlaku, kita perlu kembali kepada kronologi bagaimana royalti itu berlaku kepada negeri-negeri di Sabah dan Sarawak dan diikuti oleh negeri Terengganu.

Hasil dari perundingan antara Almarhum Perdana Menteri Tun Abdul Razak dengan kalangan perundangan dan kalangan ekonomi bagi menyelesaikan krisis di antara Malaysia Timur dan Barat pada masa itu.

Lalu mereka bersetuju menggubal dan meluluskan Akta Petroleum 1974 yang membawa
kepada penubuhan Petronas. Maka Petronas telah mengadakan perjanjian dengan semua
negeri-negeri, di mana ternyata dalam perjanjian itu, mana negeri yang ada hasil petroleum sama ada di laut ataupun di darat tanpa mengira berapa jaraknya di laut, maka diberi peruntukan royalti sebanyak 5%. Maka diberi kepada Sabah dan Sarawak.

Negeri Terengganu berlangsung pada tahun 1978 sehingga tahun 2000, ertinya 20 tahun lebih sehinggalah kerajaan PAS memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat memerintah di masa itu, maka berlaku perubahan.

Di mana kita melihat pemberian di negeri Terengganu sama dengan negeri Sabah dan Sarawak. Secara rasmi melalui kenyataan Perdana Menteri di masa itu.

Melalui jawapanjawapan di Parlimen, melalui kenyataan bertulis dan kenyataan lisan semuanya menggunakan perkataan royalti. In secara rasmi dan kenyataan yang jelas dan nyata. Saya melihat perubahan berlakunya rampasan terhadap negeri Terengganu adalah kerana lebih berunsurkan politik, berunsurkan hilangnya semangat patriotisme dan hilangnya semangat persaudaraan di kalangan negeri.

Menganggap Pembangkang adalah musuh dan kita perlu ingat bahawa pembatalan ini
berlaku hasil daripada peranan Umno, tahun 2000. Apabila adanya cadangan dari UMNO, kalau tidak silap saya usul yang mendesak supaya dibatalkan royalti petroleum pada negeri Terengganu kerana diperintah oleh parti yang dianggap tidak sama dengan Kerajaan Pusat. Maka berlakulah peristiwa yang malang dan mendukacitakan.

Bertukar kepada duit ihsan, yang malangnya ihsan ini bukannya rakyat diutamakan.
Akan tetapi kroni diutamakan. Kerana duit ihsan ini dikendalikan oleh tangan-tangan yang tertentu.

Sama ada tangan-tangan yang nyata atau tangan-tangan yang ghaib. Melalui projekprojek
yang besar, projek-projek yang mewah, maka diutamakan kroni-kroni yang tertentu, hanya kuah yang sedikit turun kepada rakyat. Ini ternyata, ini yang berlaku di negeri Terengganu yang menimbulkan krisis di antara istana dan di antara politik. Ini puncanya. Saya bimbang Kelantan akan mengalami nasib yang sama akan mengalami keadaan yang sama.

Yang ketiga, saya ingin menarik perhatian kepada 050000 - Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia berhubung dengan penguatkuasaan barangan halal. Barangan halal merupakan
barangan yang menarik minat seluruh dunia, bukan sahaja dari kalangan orang Islam termasuk di kalangan orang yang bukan Islam. Kerana apabila sebut halal bukan sahaja berkat pada orang Islam, termasuklah bersih, adanya unsur-unsur kebersihan. Maka ia mendapat satu pasaran yang luas.

Apa yang membimbangkan, di sana ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang
menyalahgunakan sijil halal. Oleh kerana itu, satu peraturan yang tegas, satu tindakan tegas perlu diadakan supaya persijilan halal ini tidak menjadi bahan yang dipermainkan dan berlakunya penyelewengan.

Seterusnya ialah berkait dengan 010000 - Khidmat Sokongan, Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM). Di mana dalam bahagian 010400 - Kecemerlangan Dan Profesionalisme. Saya melihat ini berlaku kegagalan. Mengapa gagal?

Walaupun kita telah berpuluh tahun mencapai kemerdekaan sedangkan indeks rasuah sangat menjunamkan negara kita ke suatu tahap yang sangat memalukan walaupun kita menobatkan dan menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.

Puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana tidak ada unsur Islam di dalam undangundang pencegahan rasuah. Unsur perhitungan dosa dan pahala. Undang-undang yang tidak roh, undang-undang yang menganggap hanya pandangan mata manusia. Tidak melihat diketahui oleh Allah SWT sedangkan dari segi Islam rasuah adalah perkara dosa besar yang diberi amaran oleh Al-Quran, yang diberi amaran oleh hadis-hadis Nabi SAW.

Dianggap amalan kaum Bani Israel, yang dilaknat oleh Allah SWT, mengapa roh ini tidak
masuk dalam diri orang Islam? Sebabnya kerana kita tidak memperkasakan undang-undang itu berdasarkan kepada roh dan sifat yang sebenar, maka berlakulah double standard di dalamtindakan.

Seperti disebut rakan-rakan tadi, maka ikan-ikan kecil sahaja yang ditangkap, ikan-ikan yang besar terlepas begitu sahaja, maka berlakunya tindakan yang terpilih. Kerajaan mestilah merasa malu dan mestilah membuat muhasabah diri dalam menangani masalah dan saya mengharap Perdana Menteri yang baru ini akan membuat perubahan dengan cara yang sebaikbaiknya.

Ahad, November 15, 2009

TERKINI: Talk show bincang imej PAS jatuh merudum malam ini

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Batu akan menganjurkan rancangan yang julung-julung kali diadakan ‘Bual Bicara: Persepsi Politik’ yang akan membincangkan tajuk ‘Benarkah Imej PAS Jatuh Merudum Selepas PRU 12?' malam ini, 15 Nov 2009, jam 9.30.

Rancangan talk show ini diadakan di Ibu Pejabat PAS Kawasan Batu, Taman Melewar dan Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam akan bertindak sebagai moderator.

Dua ahli panel diundang khas bagi membincangkan tajuk berkenaan iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hanipa Maidin dan AJK Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, Cikgu Ishak Surin.

Pada 7 Nov lalu, para peserta Seminar Memperkasakan Parti (PAS) dikejutkan dengan dapatan kajian Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Abu Hassan Hasbullah bahawa imej PAS selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu sedikit menurun dan perlu diatasi segera.

Abu Hassan menjangkakan PAS mungkin akan menghadapi masalah besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti berdasarkan kajian menunjukkan golongan muda mempunyai tanggapan negatif terhadap keupayaan kepimpinan parti itu sekarang.

Seminar berkenaan diadakan bagi menggantikan cadangan asal Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat agar diadakan Muktamar Khas (EGM) bagi membedah masalah dalaman parti.

Lebih 1,500 peserta dari seluruh negara hadir ke seminar yang julung-julung kali diadakan oleh sebuah parti politik untuk menyelesaikan isu dalaman mereka, sejak 52 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Terbuka kepada orang ramai.