KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Februari 15, 2011

Sembang Petang Pulut Kuning Tenang perlihat track record penting PAS Johor dalam catatan sejarah




Mengangkat Normala Sudirman, 38, atau Cik Mala sebagai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang, baru-baru menjadi sejarah penting parti Islam itu, tegas Naib Presidennya, Salahuddin Ayub.

Katanya, inilah kali pertama PAS meletakkan calon muslimat bertanding dalam sebuah PRK, sejak ia ditubuhkan; berbanding dalam pilihan raya umum, memang telah ramai di kalangan muslimat menjadi calon malah ada yang menang.

"Di Johorlah bermulanya sejarah ini. Saya berbangga kerana pimpinan semua peringkat memberi kepercayaan kepada PAS Johor," ujarnya kepada lebih 100 hadirin pada majlis "Sembang Petang Pulut Kuning Tenang" sempena kesyukuran meraikan para petugas PAS Batu dan Wilayah Persekutuan di sebuah restoran di Bandar Dalam, Sentul, dekat sini.

Program anjuran PAS Batu itu menjadi acara wajib setiap kali berakhirnya PRK yang membabitkan parti-parti Pakatan Rakyat bagi meraikan para petugas pilihan raya Salahuddin yang juga Pengarah PRK Dun Tenang yakin kerja kuat Cikgu Mala dan rakan-rakan Pakatan Rakyat telah berjaya "membuka minda" pengundi dengan pelbagai maklumat terkini.

Walaupun PAS tewas, tetapi TPM, Muhyiddin Yassin gagal menunaikan hasratnya untuk membuktikan Dun Tenang sebagai "kubu kuat" BN apabila tidak berjaya meningkatkan majoriti lebih 5,000 undi, kata beliau. Apapun, tegas Salahuddin, PAS Johor telah mencatat banyak sejarah sekalipun kekuatan parti itu jauh tertinggal berbanding negeri-negeri utara dan Pantai Timur.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu, pada PRU 2008, PAS Johor telah meletakkan buat pertama kalinya calon bukan Islam, Kamutha Raman's yang kini Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS bertanding diperingkat Dun.

Malah sebelum ini, satu-satunya Pesuruhjaya PAS daripada kalangan muslimat juga datang dari Johor, apabila Khadijah Sidek dilantik mengetuai parti itu di negeri ini dan kemudiannya bertanding di Parlimen Dungun menentang Perikatan, dan menang. 

Selain Salahuddin, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok juga pernah dipilih menjadi Naib Presiden PAS dan diangkat sebagai ahli Parlimen bagi kawasan Rantau Panjang selama dua penggal.

Terdahulu, Salahuddin mengucapkan tahniah kepada PAS Batu kerana pantas menganjurkan majlis kesyukuran berbanding belum ada lagi kawasan di Johor berbuat demikian setakat ini. Bagaimana pun, penganalisa politik, Ahmad Subky Abdul Latiff tidak dapat hadir pada petang itu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Harian PAS Wilayah Persekutuan, Kamaluddin Ahmad; Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Salbiah Abdul Wahab; Yang Dipertua, Ishak Surin; Timbalannya, Dato' Suhaimi Abdul Rahman dan pimpinan PAS Kawasan Batu. Selain pulut kuning, mi goreng mamak dan tea 'o' kosong turut dihidangkan sebagai penutup acara.

Tiada ulasan: